Majalah i (Okt 2015)

 

Sesiapa yang membaca hadis-hadis tentang aqiqah pasti akan menemui sebuah hadis yang agak memusykilkan, iaitu sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Seorang anak itu tergadai dengan aqiqahnya. Disembelih pada hari ketujuh, pada hari itu dia diberi nama dan dicukur rambutnya. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1442/1522]

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dalam Sunannya, hadis no: 1442/1522 dan beliau menilainya hasan sahih. Ia turut dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi. Selain itu hadis ini turut dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah.

Apa yang memusykilkan ialah bahagian awal hadis, iaitu sabda Rasulullah: Seorang anak itu tergadai dengan aqiqahnya. Apakah maksudnya? Kenapa seorang bayi tergadai? Atau siapakah yang sebenarnya tergadai?

Bahagian awal hadis ini memang menjadi fokus para ilmuan. Memandangkan tidak ada ayat al-Qur’an atau hadis lain yang menjelaskan maksudnya, mereka berijtihad dengan memberi pandangan masing-masing.

Pendapat Imam Ahmad

Di antara beberapa pendapat yang cuba menjelaskan hadis ini, boleh dikatakan yang paling masyhur ialah pendapat Imam Ahmad. Beliau diriwayatkan berkata: “Yang dimaksudkan ialah, jika seorang anak tidak diaqiqahkan lalu dia mati ketika masih bayi, dia tidak akan dapat memberi syafaat kepada ibubapanya (di Akhirat kelak).” [Riwayat al-Baihaqi dalam Ma’rifat al-Sunan wa al-Atsar, no: 19138]

Berkata Imam al-Khaththabi: “Orang ramai berbeza pendapat tentang (hadis) ini, pendapat yang terbaik ialah apa yang disebut oleh (Imam) Ahmad bin Hanbal. Beliau berkata: Ini berkaitan masalah syafaat. Yang dimaksudkan ialah, jika seorang anak tidak diaqiqahkan lalu dia mati ketika masih bayi, dia tidak akan dapat memberi syafaat kepada ibubapanya (di Akhirat kelak).” [Dikemukakan oleh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi, syarah bagi hadis no: 1442/1522]

Jika disemak lanjut, ini asalnya merupakan pendapat seorang ulama zaman awal (tabi’ al-tabi’en) yang bernama Imam Atha’ al-Khurasani (50-135H). Beliau terkenal sebagai seorang ahli tafsir dan fiqh. Diriwayatkan bahawa apabila ditanya tentang maksud bayi yang tergadai dengan aqiqahnya, beliau menjawab: (Ibubapa bayi) diharamkan daripada mendapat syafaat anaknya (pada hari Akhirat kelak).” [Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, no: 19743]

Kritikan Ke Atas Pendapat Imam Ahmad

Imam Ibn al-Qayyim adalah seorang ilmuan dalam Mazhab Hanbali. Beliau telah mengarang puluhan buah kitab dan dalam hampir setiap kitab beliau tidak ketinggalan dari menyebut atau menukil pendapat imam mazhabnya, yakni Ahmad bin Hanbal. Namun ini tidaklah bererti beliau setuju atau mengikuti secara membuta (taqlid buta) setiap pendapat Imam Ahmad. Ini adalah satu sikap yang mulia lagi terpuji.

Dalam kitabnya Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, ms. 146-149, beliau telah mengkritik pendapat Imam Atha’ dan Imam Ahmad dalam menafsirkan hadis Seorang anak itu tergadai dengan aqiqahnya.

Antara lain beliau berhujah, hubungan anak kepada ibubapa bukanlah penentu seorang anak itu dapat memberikan syafaat kepada ibubapanya. Ini sebagaimana hubungan ibubapa kepada anak bukanlah penentu ibubapa tersebut akan dapat memberikan syafaat kepada anak mereka pada Hari Akhirat kelak. Ini berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikitpun. [Luqman 31:33]

Pada Hari Akhirat kelak, seseorang itu tidak dapat memberi syafaat kepada orang lain kecuali apabila dia memperoleh izin Allah dan dia mensyafaati orang yang diizinkan oleh Allah. Keizinan ini pula hanya Allah berikan kepada orang yang diredai-Nya, iaitu orang yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala sepenuhnya dalam seluruh aspek kehidupan, sehingga ke saat kematiannya. Para pembaca boleh melihat dalil-dalilnya dalam penulisan saya sebelum ini yang berjudul Syafaat (Majalah i edisi Feb 2015).

Rasulullah Tidak Dapat Menolong Ahli Keluarganya

Selain itu Imam Ibn al-Qayyim juga berhujah, Rasulullah sebagai Nabi yang dijanjikan Allah dapat memberi syafaat pada Hari Akhirat juga tidak dapat membantu ahli-ahli keluarganya. Ini kerana syafaat baginda kepada ahli keluarga dan umatnya tetap bergantung kepada izin Allah.

Ketika turunnya ayat al-Qur’an: Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat [al-Syu’ara 26:214], Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Wahai golongan Quraisy, belilah (peliharalah) diri kalian dari Allah kerana aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah walau sedikit jua. Wahai Bani Abdul Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah walau sedikit jua. Wahai Abbas bin Abdul al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah walau sedikit jua. Wahai Shafiyyah, bibi Rasulullah, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah walau sedikit jua. Wahai Fatimah binti Rasulullah, mintalah kepadaku apa yang kamu kehendaki (akan tetapi ketahuilah bahawa) aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah walau sedikit jua. [Shahih Muslim, no: 305/206]

Ini menunjukkan bahawa syafaat Rasulullah juga dibatasi kepada orang-orang yang telah Allah izinkan sahaja. Hubungan kekeluargaan bukanlah penentu setiap ahli keluarga dapat saling mensyafaati satu sama lain.

Justeru – lanjut Imam Ibn al-Qayyim – dari sisi manakah dikatakan seorang anak dapat memberikan syafaatnya kepada ibubapanya sehingga apabila anak itu tidak diaqiqahkan, maka dia terikat (tertahan) dari memberikan syafaat kepada ibubapanya? Demikian juga, tidak dapat dikatakan bahawa orang yang tidak diizinkan (oleh Allah) untuk memberikan syafaatnya kepada orang lain bahawa dia dalam keadaan tergadai. Sama sekali tidak ada teks (al-Qur’an mahupun al-Sunnah) yang menunjukkan ke arah hal itu.

Pendapat Imam Ibn al-Qayyim

Seterusnya Imam Ibn al-Qayyim mengemukakan pendapatnya sendiri tentang maksud hadis: Seorang anak itu tergadai dengan aqiqahnya. Memandangkan perkataan “tergadai” bererti tertahan atau terikat, beliau berpendapat aqiqah ialah cara untuk melepaskan anak daripada tahanan dan ikatan syaitan. Ini kerana syaitan sejak dahulu kala telah berjanji untuk mengganggu dan menyesatkan setiap anak Adam. Sebaik saja seorang anak lahir, syaitan terus menahan dan mengikatnya dengan pelbagai bentuk gangguan. Maka acara aqiqah membebaskan anak dari tahanan dan ikatan syaitan.

Imam Ibn al-Qayyim juga mengemukakan pendapat yang kedua berdasarkan sebuah hadis yang lain: Bersama seorang anak satu aqiqah, maka tumpahkan untuknya darah (yakni sembelihan aqiqah) dan bersihkan kotorannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5049/5472] Beliau berpendapat aqiqah membersihkan kotoran fizikal seorang anak (melalui cukur kepala) sementara penyembelihan kambing membersihkan kotoran rohaninya.

Namun akhirnya Ibn al-Qayyim menutupi perbicaraan tentang maksud hadis Seorang anak itu tergadai dengan aqiqahnya dengan berkata: “Demikianlah, hanya Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui hakikat maksudnya yang sebenar.” [Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, ms. 151]

Saya juga setuju dengan kesimpulan tersebut. Ini kerana setelah mengkaji pelbagai pendapat ilmuan tentang maksud hadis Seorang anak itu tergadai dengan aqiqahnya, saya dapati semuanya adalah ijtihad peribadi yang masih terbuka kepada perbahasan lanjut dan kritikan. Justeru memandangkan Allah dan Rasul-Nya tidak memberikan penjelasan lanjut tentang maksud hadis tersebut, adalah lebih baik kita berdiam diri dan menyerahkan maksud sebenarnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Memadailah hadis tersebut berperanan memberi penekanan kepada hukum aqiqah, yakni dari sunat kepada sunat muakkadah (yang amat dituntut).