"Mayday! Mayday! Mayday!"mayday.jpg

Demikian panggilan kecemasan yang saya yakin para pembaca sekalian pernah mendengarnya dalam tayangan filem atau di kaca TV. Panggilan ini yang asalnya dari bahasa Perancis "m'aider" membawa maksud "marilah tolong saya". Dikatakan, ia mula digunakan dalam dunia penerbangan pada tahun 1920an apabila seorang pengawal lalulintas udara di London diminta untuk mencari sebuah perkataan yang sesuai bagi menandakan suasana kecemasan yang memerlukan pertolongan.

          Pada masa kini ia digunakan secara meluas oleh mereka yang berinteraksi melalui gelombang radio seperti para juruterbang dan pelaut. Suasana ruang radio yang sentiasa sibuk dengan pelbagai panggilan dan jawapan akan terus menjadi senyap jika ada panggilan “Mayday! Mayday! Mayday!”, memberi laluan kepada pihak yang dalam kecemasan menyatakan keadaan mereka dan bantuan yang dikehendaki. 

          Perkara lain yang menarik berkenaan panggilan kecemasan ini adalah, suasana kecemasan yang dihadapi oleh pihak yang membuat panggilan kemudiannya akan dikaji secara mendalam. Tujuan kajian bukanlah untuk menghukum juruterbang yang berada dalam kecemasan tetapi untuk diambil iktibar daripada pengalaman mereka dan berusaha untuk diperbaiki apa yang boleh. Pengambilan iktibar tersebut bukan sahaja bermanfaat untuk dunia penerbangan tetapi boleh dikaitkan juga dengan kehidupan sehari-harian.

          Justeru pada peluang ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu pengalaman yang dihadapi oleh sebuah pesawat dari syarikat penerbangan benua Afrika yang mengalami kecemasan beberapa dekad yang lalu. Kecemasan yang dihadapi menyebabkan mereka terpaksa membuat pendaratan di atas laut. Sementara para juruterbangnya membuat panggilan “Mayday! Mayday! Mayday!”, pramugara dan pramugari pula sibuk menerangkan kepada para penumpang cara-cara menggunakan jaket keselamatan.

          “Ambil jaket keselamatan di bawah tempat duduk anda, sarungkan melalui kepala dan ikat tali keselamatan. Jangan mengembungkannya melainkan apabila anda bersiap-sedia di pintu pesawat untuk terjun ke air”, demikian pesanan berulangkali yang diberikan oleh ketua pramugara melalui sistem pengumuman pesawat.

          Beberapa ketika kemudian pesawat membuat pendaratan cemas di atas laut. Kedua-dua belah sayap patah, akan tetapi badan utama pesawat masih dalam keadaan baik. Air laut mula meresap masuk melalui celah-celah rekahan di badan utama pesawat. Pasukan penyelamat yang tiba tidak lama selepas itu berjaya menyelamatkan sebahagian penumpang sementara sebahagian yang lain kandas dalam pendaratan cemas itu.

          Pemeriksaan dan pembedahan ke atas mayat mereka yang terkandas menghasilkan penemuan yang agak memeranjatkan. Mereka tidak menemui maut kerana kesan hentakan pendaratan cemas, bahkan masih hidup selepas itu. Mereka semua memakai jaket keselamatan, hanya mereka telah mengembungkannya di tempat duduk masing-masing, bukan di pintu pesawat. Jaket keselematan yang dikembungkan awal bersama air laut yang memenuhi badan utama pesawat menyebabkan mereka terapung-apung di siling pesawat. Memandangkan paras siling adalah lebih tinggi dari paras pintu, mereka tidak dapat berenang keluar dari pesawat. Akhirnya mereka mati lemas, terperangkap di siling pesawat.

          Penemuan ini memang memeranjatkan, kalau tidak mengharukan. Para penumpang itu selamat dari pendaratan cemas dan memakai jaket yang sepatutnya menyelamatkan mereka dari tenggelam di dalam air. Akan tetapi kecuaian dalam mengikuti cara menggunakan jaket keselamatan menyebabkan mereka tidak terselamat.

          Peristiwa di atas boleh kita ambil iktibar dalam kehidupan seharian, khasnya apabila memandu kereta atau menaiki motosikal. Berapa ramai yang memandu tanpa memakai tali keselamatan kecuali apabila ternampak pemeriksaan polis di hadapan. Tidak ketinggalan, betapa ramai yang membiarkan anak kecil berdiri di ruang hadapan tempat duduk sebelah kiri kereta. Juga yang menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar, atau memakai topi keledar tanpa mengikatnya. Apabila ditegur, mereka menjawab mudah: “Jangan bimbang, ana memandu dengan perlahan dan berhati-hati.” Saya tertanya: “Apa bezanya jika orang lain yang datang melanggar?”

          Mulai Januari 2009 ini, penumpang di kerusi belakang kereta dimestikan memakai tali pinggang keselamatan. Harap syarat ini dipraktikkan bukan kerana ada pemeriksaan polis di hadapan, tetapi kerana keselamatan seluruh warga kereta. Kemalangan adalah sesuatu yang tidak boleh diduga dan faktor yang mengakibatkan kecederaan atau kematian juga tidak boleh diduga. Akan tetapi yang boleh diduga ialah anda sudah dikira terlambat jika cuba membuat panggilan “Mayday! Mayday! Mayday!” dari kereta anda, itupun kalau anda masih dapat membuatnya.