Sebelum ini saya biasa mendengar perkataan “taqwa” ditafsirkan sebagai takut kepada Allah. Baik dari mimbar Jumaat mahu pun kuliah Maghrib, taqwa disinonimkan dengan takut kepada Allah. Sebegitu lazim, saya sangkakan memang itulah pengertian taqwa, yakni takut kepada Allah.

Akan tetapi baru-baru ketika sedang membaca al-Qur’an, saya menemui ayat berikut di mana Allah berfirman: Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan. [al-Nur 24:52]

sadaqah.jpeg

Jika dihalusi ayat di atas, Allah menyebut takut kepada-Nya dan bertaqwa kepada-Nya secara berasingan. Dalam disiplin ilmu al-Qur’an, apabila Allah mengasingkan dua perkataan, bererti ia merujuk kepada dua maksud atau dua perkara yang berbeza. Ia tidak boleh merujuk kepada dua maksud yang sama kerana yang sedemikian tidak selari dengan keagungan bahasa al-Qur’an.

 

Oleh itu apabila Allah menyebut “takut” dan “taqwa”, taqwa tidak lagi bererti takut kepada-Nya. Jika demikian, apakah pula maksud taqwa? Jawapannya boleh ditemui dengan merujuk kepada ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an di mana Allah bukan saja menerangkan maksud taqwa tetapi ciri-ciri orang yang bertaqwa. Salah satu daripadanya ialah ayat berikut:

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahu pun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. [Ali Imran 3:133-135]

 

Ciri-Ciri Muslim Bertaqwa

Berdasarkan ayat 133-135 surah Ali Imran di atas, dapat kita kenali bahawa antara ciri-ciri orang bertaqwa ialah mereka yang:

  • Menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahu pun sempit, 
  • Menahan amarahnya,
  • Memaafkan (kesalahan) orang, 
  • Berbuat kebajikan, 
  • Apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka,
  • Tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.

Di antara enam ciri muslim bertaqwa di atas, saya tertarik dengan ciri pertama iaitu bersedekah baik di waktu kelapangan mahu pun kesempitan. Memang, saya yakin ramai para pembaca sekalian yang bersedekah ketika memiliki kelapangan dan kelebihan wang ringgit. Sedekah itu sendiri melibatkan puluhan dan ratusan ringgit dalam sebulan, tidak lagi sekadar sekeping duit syling 50 sen ketika solat Jumaat seperti mana zaman sekolah dahulu.

Namun bersedekah ketika dalam kesempitan, ketika diri sendiri dalam keadaan tidak cukup, dalam keadaan memiliki beberapa perancangan jangka panjang dan amat memerlukan wang tersebut? Nah! Di sinilah terletaknya ciri khusus seorang muslim bertaqwa.

Berkenaan ciri khusus ini, saya teringat sebuah hadis di mana seorang lelaki pernah mendatangi Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sedekah yang bagaimanakah yang paling agung?” Maka baginda menjawab: “Kamu bersedekah saat sehat, kikir, takut miskin dan kamu berangan-angan untuk menjadi hartawan yang kaya raya. Dan janganlah kamu lalai hingga nyawamu sampai di tenggorok dan barulah kamu bahagi-bahagikan sedekahmu, ini untuk si Fulan dan ini untuk Fulan. Dan ingatlah (pada saat di hujung nyawa seperti itu), harta memang untuk si Fulan (yakni akan diwarisinya).” [Shahih Muslim, no: 1713]

 

Bersedekah Dengan Yang Terbaik

Menyebut tentang bersedekah, ia tidak semestinya dengan wang ringgit sahaja. Sedekah boleh juga dilakukan dalam bentuk yang lain seperti memberikan pakaian dan benda yang dapat dimanfaatkan oleh orang yang memerlukannya. Penting sekali, sedekah pakaian dan benda yang hendak disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan yang baik, bukan sesuatu yang buruk atau rosak yang kita sendiri sudah tidak menginginkannya. Berkenaan ciri mulia ini, Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Infaqkanlah (sedekahkanlah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu sedekahkannya), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. [al-Baqarah 2:267]

Oleh itu marilah kita bersegera menjadi muslim bertaqwa dengan bersedekah ketika kesempitan dan bersedekah apa yang baik lagi dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Tidak ketinggalan, marilah kita bersegera menjadi muslim bertaqwa dengan menerapkan ke dalam kehidupan harian kita ciri-ciri lain yang disebut oleh ayat 133-135 surah Ali Imran di atas. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan daripada Tuhanmu (Allah) dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi.