decision.jpeg

Jika saya menceritakan satu kisah berkenaan sekumpulan pemuda yang meninggalkan kampung halaman mereka kerana agama, mesti ada yang menginfakkan kata-kata kritikan umpama “Huh! Fanatik, taksub dan ekstrim sungguh mereka itu!”

Jika saya tambah bahawa pemuda-pemudi itu melakukan demikian kerana hendak menjaga tauhid, aqidah dan iman mereka, pasti ada yang bermurah hati menawarkan kata-kata negatif umpama “Islam ini luas dan mudah, kenapalah pemikiran mereka itu sempit sangat?”

Bahkan jika saya melengkapkan cerita bahawa belia-belia tersebut pergi bersembunyi dalam dalam sebuah gua agar terpelihara dari pengaruh buruk masyarakat, nescaya ada yang segera memberi komen “Mereka itu amatlah jumud, literalis dan anti sosial!”

 

 

Kisah Pemuda al-Kahfi

Bagaimana pula jika saya katakan, cerita dalam tiga perenggan di atas merupakan olahan dan ringkasan saya berkenaan sekumpulan pemuda yang Allah muliakan mereka dan rakam kisah mereka di dalam al-Qur’an? Ayat yang saya maksudkan ialah seperti berikut:

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). 

Kami ceritakan kepadamu perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” [al-Kahf 18:10-14]

Ayat-ayat ini merujuk kepada sekumpulan orang muda yang mengesakan Allah di hadapan kaum mereka yang syirik kepada-Nya. Mereka, dengan kekuatan dan kecekalan hati yang dikurniakan oleh Allah, bangun di hadapan kaum mereka sambil berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” Lalu mereka keluar dari kampung dan bersembunyi di dalam gua. 

Apabila kita membaca kisah ini dan menyemak lanjut dalam kitab-kitab tafsir, nescaya akan lahir perasaan hormat dan semangat. Malah mungkin juga kita bercita-cita agar memiliki kekuatan seperti para pemuda tersebut. Akan tetapi kenapakah kita tidak memiliki sikap yang sama terhadap para pemuda kita sekarang ini yang bersungguh-sungguh di dalam agama? 

 

 

Dilema Antara Dua Pilihan.

Para pemuda sekarang menghadapi dilema di antara dua pilihan. Jika mereka memilih untuk suka berhibur, mendengar muzik, pergi ke konsert, menonton wayang dan bergaul bebas, mereka dilabel sebagai menjauhi agama. Bahkan ada yang melabelkan mereka sebagai tidak beragama.

Akan tetapi apabila mereka memilih untuk bersungguh-sungguh dalam mengikuti al-Qur’an al-Sunnah, berpegang kepada Manhaj Salaf (generasi awal umat Islam) dan mengamalkan perintah serta larangan syarak, mereka dilabel pula sebagai fanatik agama dan pelbagai lagi seperti yang saya sebut di awal kolum ini. Akhirnya para pemuda kerap kali dalam suasana keliru dan teraba-raba.

 

 

Teringat Zaman Muda…

Semua ini mengingatkan saya ketika zaman muda-muda dahulu, zaman ketika saya mula cenderung kepada agama, zaman ketika saya juga bersemangat dan berdarah muda. Memang, dalam beberapa perkara agama baik pemikiran atau amalan, saya memiliki pandangan yang agak berlebihan. Malah boleh dikatakan ekstrim.

Namun – alhamdulillah – saya sentiasa mendapat sokongan dan motivasi daripada guru-guru yang saya kasihi. Mereka tidak meremeh atau mengkritik saya, sebaliknya terus membimbing saya untuk menuntut ilmu agama. Meski pun mereka tidak menerangkan sebabnya, kini saya faham bahawa dengan bertambahnya ilmu, seseorang itu dengan sendirinya akan bertahap-tahap beralih kepada kesederhanaan.

Demikianlah juga sikap saya kini kepada beberapa pemuda yang saya kenali, yang secara zahirnya kelihatan agak berlebihan. Saya menahan diri daripada mengkritik mereka, sebaliknya tetap menaruh harapan agar mereka secara bertahap-tahap akan beralih kepada kesederhanaan. Bagi saya, semua orang perlu melalui tahap “berlebihan” untuk sampai ke tahap “kesederhanaan”. Semua orang mesti mengetahui dan mengalami apa dan bagaimana sikap “berlebihan” agar mereka dapat menyesuaikan diri mereka ke zon “kesederhanaan”.

 

 

Doa Kepada Para Pemuda Agama

Kepada para pemuda agama yang saya kasihi sekalian, teruslah menuntut ilmu dan belajar dari pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain. Di samping itu lazimkanlah diri berdoa dengan doa daripada para pemuda al-Kahf yang telah Allah mulaikan dan rakam di dalam al-Qur’an: 

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”