Soalan 1:Sebagai seorang ibu kadang kala bila menyuap anak-anak makan kita akan menghabiskan lebihan makanan yang mereka tidak habis bagi mengelak pembaziran. Ada pendapat yang mengatakan ia tidak baik kerana anak-anak tersebut akan tidak menghormati ibubapa mereka bila dewasa kelak. Betulkah? Ummu Iman, Klang.Jawapan:Menghabiskan lebihan makanan adalah satu tindakan yang terpuji dalam Islam. Anas bin Malik r.a. menerangkan: Apabila Rasulullah s.a.w. makan, baginda menjilat jari-jarinya tiga kali. Baginda juga bersabda: “Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”

 

 

Anas melanjutkan: “(Rasulullah) juga menyuruh kami untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.” Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan.” [Shahih Muslim, no: 2034]Adapun pandangan yang mengatakan tindakan sedemikian boleh menyebabkan anak tidak menghormati ibubapa apabila dewasa kelak, saya tidak mengetahui sumber mahupun kebenarannya. Malah yang benar anak akan memerhati sikap ibubapanya yang berusaha mengelak pembaziran dan apa-apa usaha baik seumpama ini akan melahirkan sikap hormat mereka kepada ibubapa mereka. Diyakini apabila dewasa kelak mereka akan mempraktikkan amalan yang sama terhadap diri mereka dan kepada anak-anak mereka.Pun begitu, ibubapa hendaklah melatih anak-anak menyukat kadar makanan mereka. Jangan layan rayuan anak “Nak itu, nak ini”, sebaliknya hendaklah diaudit jumlah makanan yang diberi bersesuaian dengan umur mereka serta pastikan mereka menghabiskannya. Ini bertepatan dengan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w.: “Sukatlah makanan kalian, nescaya kalian akan diberkati.” [Shahih al-Bukhari, no: 2128]Soalan 2:Kebiasaan tradisi Melayu apabila bayi dilahirkan, ayah bertanggungjawab untuk menanam uri bayinya. Ada pula yang menggalakkan amalan menanam sekali alat tulis, gunting dan sebagainya bersama uri tersebut dengan alasan anak akan menjadi seorang yang bijak bila dewasa kelak. Ada juga yang menyuruh memasang pelita di atas tempat uri ditanam. Boleh tolong jelaskan secara terperinci mengenai hukum amalan tersebut. Apakah sebenarnya tata cara menanam uri secara syar’i? Abdul Rafie, Seberang Jaya.Jawapan:Asal usul amalan menanam uri ialah bagi mengelakkan ia dari dimakan oleh binatang liar. Pada zaman dahulu, kebanyakan kelahiran berlaku di kampung, di dalam rumah. Setelah melahirkan, tentu ibu perlu berehat serta menyusukan bayi. Maka uri yang merupakan bahan buangan dari kelahiran diserahkan kepada ayah untuk ditanam. Pada zaman sekarang di mana kebanyakan kelahiran berlaku di hospital, ibubapa boleh meminta pihak hospital untuk menguruskan pembuangan uri.Adapun kepercayaan bahawa uri wajib ditanam dan penanaman itu diikut serta dengan sekian-sekian benda kerana ia akan memberi nasib baik atau buruk kepada anak, maka ia adalah kepercayaan yang boleh membawa kepada syirik. Ini kerana nasib baik atau buruk bagi semua bayi telah ditulis oleh Allah s.w.t. dan yang diwajibkan ke atas bayi itu – apabila sudah baligh kelak – ialah berusaha mencari apa yang telah ditulis ke atasnya.Sesuatu yang seumpama kepercayaan di atas ialah apa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w., di mana masyarakat mempercayai nasib baik atau buruk mereka ditentukan oleh arah penerbangan burung. Maka Rasulullah menekankan: Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali). [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910]Soalan 3:Dahulu saya dan suami bukanlah individu Muslim yang baik. Kini kami sudah bertaubat dan berusaha menjadi Muslim yang baik. Persoalan saya, adakah sikap kami yang lampau akan diwarisi oleh anak-anak kami? Ibu bimbang, Sentul, Kuala Lumpur.Jawapan:Alhamdulillah, tahniah ke atas penghijrahan yang diusahakan. Soalan puan sebenarnya merujuk kepada kepercayaan “Dosa Warisan”. Ia asalnya adalah aqidah agama lain yang telah menyelinap ke dalam kepercayaan sebahagian umat Islam. Atas aqidah “Dosa Warisan” ini, ramai orang memandang hina kepada anak yatim kerana merupakan hasil hubungan luar nikah dan menghukum anak-anak yang mengalami sesuatu kecacatan sebagai kesan dari kesalahan lampau ibu atau bapa mereka. Dalam Islam, dosa atau kesalahan tidak diwarisi. Seseorang itu tidak akan dizalimi dengan dosa orang-orang sebelum mereka atau selain mereka sebagaimana firman Allah s.w.t.: Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada Hari Kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dizalimi (sedikitpun). [al-An’aam 6:160]