Soalan 1: Pelindung Untuk Bayi.

Sebahagian orang meletakkan benda yang tajam seperti pisau dan gunting di bawah tilam bayi dengan tujuan untuk melindungi bayi dari perkara-perkara yang tidak baik. Adakah amalan seperti ini dibolehkan dalam Islam?

Farah, Ulu Tiram, Johor.

Jawapan:
Benda-benda tajam yang diletak itu termasuk dalam kategori tangkal yang digunakan sebagai pelindung. Ia dianggap dapat melindungi bayi dari gangguan makhluk ghaib seperti syaitan dan jin. Penggunaan tangkal di dalam Islam adalah dilarang dengan tegas tanpa membezakan apa alat yang dijadikan sebagai tangkal.

Pada zaman Rasulullah SAW, pernah sepuluh orang datang untuk berbai’ah kepada baginda (memberi janji taat setia). Baginda menerima bai’ah mereka kecuali seorang. Lalu ditanya kepada Rasulullah, kenapa tidak diterima bai’ah orang tersebut? Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya padanya terdapat tangkal”. Lalu orang tersebut memasukkan tangannya (ke dalam baju) dan melepaskan tangkal itu. Maka Rasulullah menerima bai’ahnya sambil bersabda: “Sesiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya dia syirik.” [Musnad Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5065]

 

Perhatikan dalam hadis di atas, Rasulullah tidak bertanya untuk apa orang itu menggunakan tangkal. Asalkan ia adalah satu objek yang diyakini dapat melindungi penggunanya, dia terus dianggap melakukan syirik terhadap Allah. Ini kerana perlindungan dari apa jua bahaya hanyalah daripada Allah. Orang yang menggunakan tangkal menyakini wujudnya pelindung selain Allah atau wujudnya orang tengah (iaitu tangkal) bagi memperoleh perlindungan Allah. Inilah yang menyebabkan dia berlaku syirik kepada Allah.


Orang yang menggunakan tangkal bukan sahaja berlaku syirik, tetapi menjauhkan dirinya dari perlindungan Allah. Dalam sebuah hadis lain Rasulullah mengingatkan: “Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput maka Allah tidak akan mententeramkan baginya (dengan siput tersebut).” [Musnad Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5064]


Pada ketika yang lain, Rasulullah melihat seorang lelaki yang ada ikatan di tangannya (umpama gelang), lalu baginda bertanya: “Apakah ini?” Lelaki itu menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung dari al-Wahinah (sejenis penyakit yang melemahkan badan).” Lalu Rasulullah menegur: “Tidaklah ia menambah bagi kamu (apa-apa) kecuali kelemahan. Lemparkanlah ia daripadamu kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atas mu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni pada Hari Akhirat).” [Musnad Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5067]


Penggunaan tangkal dilarang secara keseluruhan sekalipun ia digunakan di atas haiwan. Rasulullah memerintahkan: “Janganlah dibiarkan di leher unta kalung (yang diperbuat) daripada tali atau (apa-apa jenis) kalung kecuali dilepaskan.” [Shahih Muslim, no: 2115]


Satu perkara penting yang mesti diperhatikan dalam hadis-hadis di atas adalah, Rasulullah melarang penggunaan tangkal tanpa membezakan sama ada tangkal itu dijampi dengan al-Qur’an atau selainnya. Asalkan seseorang itu menggunakan tangkal, Rasulullah terus menghukumnya syirik, tidak akan mendapat perlindungan Allah dan akan menjadi sumber azab kepada penggunanya pada Hari Akhirat kelak.


Justeru penggunaan tangkal amatlah dilarang dalam Islam. Sama ada bayi, kanak-kanak atau orang dewasa, perlindungan sebenar adalah daripada Allah dan ini dapat diperolehi dengan berdoa terus kepada-Nya. Atas dasar ini juga, saya menasihati para ibubapa untuk bersikap tegas dalam persoalan tangkal. Jangan menggunakan atau membiarkan sebarang bentuk tangkal pada bayi anda atau ke atas diri anda sendiri. Jika sahabat handai, saudara-mara atau orang-orang tua ingin menghadiahkan tangkal kepada bayi anda, tolaklah ia sambil menjelaskan hukumnya tanpa lengah atau segan-segan.

 


Soalan 2: Hukum Memberi Susu Ibu.
Adakah memberi susu ibu kepada bayi hukumnya wajib dan adakah berdosa jika ibu memberi susu formula kepada bayinya?

Noor Faradillah Ismail, Kuala Lumpur.

Jawapan:
Hukum memberi susu ibu tidak wajib, ia hanya satu keutamaan. Ibubapa yang memberikan susu ibu kepada bayi mereka bererti telah memanfaatkan anugerah yang Allah cipta dan kurniakan kepada para ibu. Pemanfaatan ini secara tidak langsung merupakan satu kesyukuran dan Allah akan menggandakan kurniaan-Nya kepada para hamba yang bersyukur. Susu ibu juga adalah yang terbaik dari sudut perubatan kepada bayi berbanding mana-mana susu formula.


Namun diulangi bahawa hukumnya tidak wajib, maka tidaklah berdosa jika memberikan selain susu ibu kepada bayi.

 

Soalan 3: Wali Anak Luar Nikah.
Adik saya mempunyai seorang anak luar nikah dan saya telah menyusukan anak tersebut. Kini adik saya itu telah menikahi dengan lelaki yang merupakan ayah biologi anak itu. Kelak, siapakah yang berhak menjadi wali nikah anak itu?

Wan, Pahang.

Jawapan:
Hak wali nikah tetap terletak pada ayah biologi anak itu, dengan syarat kedua-dua ibubapa telah bertaubat atas kesalahan mereka berzina. Berdasarkan taubat mereka, apa-apa kesalahan lampau dimaafkan Allah dan segala rekod buruk “dipadamkan”. Lebih lanjut, sila rujuk artikel saya “Meninjau Semula Hukum Nikah, Iddah Dan Nasab Bagi Anak Penzina” dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) di www.hafizfirdaus.com