Soalan 1: Harta Sepencarian.

Di sini saya ingin bertanyakan berkenaan takrif harta sepencarian serta bagaimana cara pembahagiannya.

Ummu Najah, Setapak, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh secara bersama sejak kedua-dua suami isteri bernikah. Harta sepencarian ada yang diperolehi secara langsung, yakni kedua-dua suami isteri bekerja untuk mendapatkan harta tersebut. Contohnya rumah yang didiami di mana kedua-dua suami isteri berkongsi bayaran pendahuluannya dan bayaran bulanan kepada pihak bank daripada gaji masing-masing.

Harta sepencarian ada yang diperolehi secara tidak langsung, seperti hanya suami yang bekerja tetapi isteri turut membantu dengan cara memberi sokong moral, membuat kerja rumah dan mendidik anak sebagai suri rumah.

 

Isu harta sepencarian hanya timbul apabila berlaku perceraian di mana suami dan isteri sudah bercerai masing-masing mendakwa sekian-sekian harta adalah miliknya. Harta sepencarian ini tidak terhad kepada duit di dalam akaun bank atau rumah, tetapi meliputi pelbagai yang lain seperti meja makan, set sofa, karpet, kipas angin dan pinggan mangkuk.

Apa yang merumitkan, harta sepencarian bukanlah sesuatu yang memiliki dalil khusus di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah serta ia juga tidak dikupas secara terperinci di dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar. Ia merupakan ijtihad masa kini atas dasar kemaslahatan kepada suami dan isteri yang bercerai (maslahah al-mursalah). Oleh itu tidak ada panduan terperinci tentang pembahagian harta sepencarian yang adil lagi terbaik.

Atas dasar ini, hakimlah yang akan menentukan bahagian harta sepencarian yang berhak dimiliki oleh isteri dan yang berhak dimiliki oleh suami. Kerap kali pembahagian bergantung kepada kepetahan peguam dalam berhujah. Kerap kali keputusan hakim tidak dipersetujui oleh suami dan isteri yang telah bercerai tersebut.

Semua ini mengacu kepada satu pelajaran lain, bahawa perceraian bukanlah satu perkara yang mudah. Justeru jangan mudah menceraikan isteri, jangan mudah meminta cerai daripada suami. Ini kerana proses perceraian itu sendiri amat berat, rumit, menekan (stressful) dan menelan kos yang tinggi serta mengambil masa yang lama. Di akhir proses perceraian, tidak ada sesiapa yang menang.

 

 

 

 

Soalan 2: Menyusukan Anak Dalam Keadaan Hadas Besar.

Apakah hukum memberi susu kepada anak selepas melakukan hubungan seks suami isteri dan belum mandi wajib. 

 

Jawapan:

Boleh menyusukan anak ketika dalam keadaan hadas besar. Tidak ada hukum dalam perkara ini kerana hadas besar hanya menjadi penghalang untuk solat dan tawaf. Demikian juga, boleh memotong kuku, menggunting rambut, mencukur bulu dan lain-lain ketika dalam keadaan hadas besar. Tidak ada dalil al-Qur’an mahu pun al-Sunnah yang menghalang melainkan adat sebahagian masyarakat tempatan.

 

 

 

 

Soalan 3: Merakam Kelahiran Anak.

Saya bakal bergelar bapa akhir tahun ini dengan keizinan Allah. Saya teringin untuk merakamkan detik kelahiran bayi pertama menerusi video rakaman. Apatah lagi ia boleh ditonton oleh isteri yang melahirkan anak ketika itu. Tetapi saya musykil mengenai hukum perbuatan tersebut di sisi agama. Minta saudara tolong jelaskan.

 

Jawapan:

Boleh membuat rakaman video, akan tetapi saya tidak menggalakkannya. Ini kerana aurat isteri pasti terdedah ketika hendak melahirkan dan semua ini akan turut dirakam. Meski pun anda merancang hasil rakaman hanya ditonton oleh isteri, kita tidak tahu siapakah yang sebenarnya akan menonton rakaman tersebut pada masa-masa akan datang. Boleh jadi ada rakan atau jiran yang secara tidak sengaja menontonnya dan mendedahkan aurat isteri kepada mereka adalah haram hukumnya.

 

 

 

 

Soalan 4: Menamakan Anak “Muhammad”.

Bolehkah menamakan anak dengan nama “Muhammad”? Saya dengar ada orang yang kata tidak boleh.

 

Jawapan:

Boleh memberikan nama “Muhammad” berdalilkan hadis berikut:

Jabir bin Abdullah berkata: (Isteri) seseorang di antara kami melahirkan anak lelaki lalu diberi nama Muhammad. Maka keluarganya berkata: “Kami tidak membolehkan anda menamai anakmu dengan nama Rasulullah.” Maka dia menemui Nabi sambil menggendong anaknya seraya berkata: “Ya Rasulullah! Anakku lahir seorang lelaki lalu kuberi nama Muhammad. Keluargaku mengatakan tidak boleh memberi nama dengan nama Rasulullah. Bagaimana?” Rasulullah menjawab: “Namailah dengan namaku tetapi jangan menggelari dengan gelaranku. Aku bergelar 'Qasim' (yang membahagi), kerana aku membahagi-bahagikan rahmat Allah di antara kamu sekalian.” [Shahih Muslim, no: 3976]

Kemungkinan orang yang mengatakan tidak boleh bermaksud, tidak boleh berkeyakinan bahawa nama “Muhammad” akan memberi sesuatu keutamaan bagi pemiliknya di Hari Akhirat kelak. Hadis-hadis yang menyatakan keutamaan nama “Muhammad” setahu saya tidak ada yang sahih sehingga tidak boleh dijadikan hujah untuk urusan di Hari Akhirat.

Seperkara lain, nama “Muhammad” adalah nama yang baik lagi indah, maka cukuplah dengan nama “Muhammad” sahaja. Tidak perlu menambah nama lain seperti Muhammad Fadzli, Muhammad Ikram atau lain-lain. Jika diperhatikan semua nama para Nabi dan Rasul di dalam al-Qur’an, semuanya satu perkataan sahaja.