Soalan 1: Hukum Khatan Bagi Anak Perempuan.

Saya memiliki dua cahaya mata perempuan, alhamdulillah. Saya terfikir, apakah hukum agama untuk mengkhatan (sunat) anak perempuan? Selama ini yang lazim dilakukan oleh masyarakat kita ialah mengkhatan anak lelaki. Jadi bagaimana dengan anak perempuan?

 

Jawapan:

Mengkhatankan (atau khitan) anak perempuan disyari’atkan dalam Islam. Dalilnya adalah sabda Rasulullah: (Sunnah-sunnah) Fitrah terletak pada lima perkara: Berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan memotong misai.” [Shahih al-Bukhari, no: 5889] Berkhitan yang sebut dalam hadis ini adalah umum, ditujukan kepada lelaki dan perempuan.

Dalam sebuah hadis lain baginda bersabda: Apabila bertemu dua khitan, maka wajib mandi. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 608] Hadis di atas merujuk kepada hubungan seks antara suami dan isteri, yakni apabila penis telah memasuki faraj maka hendaklah mandi wajib. Perhatikan bahawa ketika merujuk kepada penis dan faraj, Rasulullah menggunakan istilah “dua khitan”, menunjukkan kedua-dua anggota tersebut telah pun dikhatan.

Rasulullah juga berpesan kepada Umm Athiyah: Apabila engkau mengkhitan wanita maka potonglah sedikit (sahaja) dan janganlah berlebihan kerana yang sedemikian boleh menceriakan wajah dan disukai oleh suami. [Shahih al-Jami’ al-Shageir, no: 509] Hadis ini menunjukkan bahawa khatan bagi wanita dianjurkan dan berlaku pada zaman Rasulullah.

Berdasarkan hadis-hadis di atas, para ilmuan Islam menyatakan bahawa mengkhatankan (atau khitan) anak perempuan adalah disyari’atkan. Hanya mereka berbeza pendapat, apakah hukumnya wajib atau sunat. Secara terperinci, hukum khatan bagi perempuan adalah seperti berikut:

  • Haram: Yakni apabila keseluruhan bahagian kelentit (clitoris) dipotong atau dibuang. Dilaporkan bahawa perbuatan seperti ini pernah dilakukan di Afrika agar hanya lelaki yang dapat menikmati hubungan seks sementara perempuan tidak. Ini adalah perbuatan yang jelas haram. 
  • Wajib: Sebahagian perempuan ada yang memiliki kelentit yang agak besar sehingga kerap kali menimbulkan ransangan seks dalam pergerakan harian mereka. Bagi kes seperti ini, khatan adalah wajib agar dapat memelihara mereka daripada kecenderungan ke arah aktiviti seks yang tidak sihat atau yang dilarang oleh agama.
  • Sunat: Bagi perempuan yang memiliki kelentit saiz normal, dan ini adalah kebiasaan bagi kebanyakan wanita, maka dianjurkan (sunat) untuk khatan sebagaimana yang disentuh oleh hadis-hadis di atas.

Seperkara lain yang penting berkenaan khatan bagi anak perempuan, hendaklah ia dilakukan oleh doktor yang memiliki ilmu agama berkenaan hukum khatan dan berpengalaman melakukannya. Ini kerana di antara doktor ada yang terpengaruh dengan gerakan pembelaan hak wanita lalu enggan melakukannya. Mereka menganggap khatan adalah kezaliman ke atas wanita, padahal kezaliman hanyalah apabila keseluruhan kelentit dipotong atau dibuang.

Ada juga doktor yang hanya menggores kelentit sekadar mengeluarkan sedikit darah. Mereka menjadikan khatan bagi anak perempuan sekadar satu amalan simbolik. Perbuatan seperti ini tidak menepati hukum khatan.

 

 


 

Soalan 2: Suami Memakai Cincin.

Apakah hukumnya lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada suasa atau platinum? Ia telah menjadi satu fesyen di kalangan pasangan yang mendirikan rumahtangga masa kini.

Jawapan:

Ramai yang menganggap hukum lelaki memakai cincin hanya bergantung kepada jenis logam. Haram memakai cincin yang diperbuat daripada emas dan halal memakai cincin yang diperbuat daripada logam-logam lain seperti perak, platinum dan lain-lain. Sebenarnya terdapat beberapa faktor lain yang mempengaruhi hukum lelaki memakai cincin.

Pertama: Lelaki dilarang daripada memakai cincin yang diperbuat daripada emas kuning [Shahih al-Bukhari, no: 5414]. Larangan ini sudah diketahui ramai.

Kedua: Lelaki dilarang memakai cincin atas tujuan perhiasan diri. Ini kerana cincin adalah barang perhiasan khusus kaum wanita dan Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (Shahih al-Bukhari, no: 5546).

Ketiga: Lelaki dilarang memakai cincin pertunangan mahupun perkahwinan. Cincin pertunangan mahupun perkahwinan adalah budaya orang bukan Islam dan kita sebagai umat Islam dilarang daripada menyerupai mereka. Tidak mengapa jika seorang isteri memakai cincin pertunangan atau perkahwinan dengan tujuan ia adalah perhiasan dirinya. Namun bagi seorang suami, cincin bukanlah barang perhiasan baginya. Berkenaan larangan penyerupaan ini, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka adalah dia daripada mereka. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4031]

Mungkin ada di antara pembaca yang tertanya-tanya, bukankah Rasulullah juga memakai cincin? Ya, benar bahawa Rasulullah memakai cincin. Namun baginda tidak memakainya sebagai perhiasan diri atau sebagai cincin perkahwinan. Baginda memakainya sebagai cop mohor.

Di mata cincin Rasulullah, diukir tulisan “Muhammad Rasulullah”. Cincin ini baginda gunakan untuk menurunkan cop mohor ke atas surat-surat rasmi yang baginda utus kepada para pemimpin dan pembesar kaum lain. Ketika tidak digunakan sebagai cop mohor, baginda akan memusing mata cincin ke dalam, ertinya menghadap ke tapak tangannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5417]

Jika dikaji tujuan dan cara Rasulullah memakai cincin, jelaslah kesalahan dakwaan sebahagian orang yang memakai cincin atas alasan ingin mengikuti sunnah Rasulullah. Mereka memakai cincin di beberapa jari, setiapnya dihiasi dengan mata cincin yang diperbuat daripada batu-batu yang cantik lagi berharga. Ini adalah amalan yang menyelisihi sunnah Rasulullah. 

Merujuk kepada soalan di atas, apa yang penting bukanlah jenis logam tetapi tujuan cincin itu dipakai. Sudah dijelaskan lelaki tidak boleh memakai cincin atas tujuan perhiasan atau tanda sudah berkahwin. Selain dua tujuan ini, saya tidak mengetahui apa tujuan lain untuk seorang lelaki muslim memakai cincin, baik yang diperbuat daripada suasa, platinum atau apa-apa logam lain.