Soalan 1: Ziarah Orang Meninggal Dunia

Biasanya orang tua kita berpesan jika pulang dari menziarah orang meninggal jangan terus mendekati anak kecil dan asingkan pakaian yang dipakai dengan pakaian anak-anak. Kononnya nanti anak kecil akan meragam kerana terkena badi orang meninggal. Benarkah perkara itu dan apa pandangan agama Islam?

 

Jawapan:

Apabila seorang muslim meninggal dunia, apa yang diajar oleh Islam ialah mengikutinya, bukan menziarahinya. Ziarah dilakukan ketika seorang muslim masih hidup namun dalam keadaan sakit. Bezakan dua perkara ini berdasarkan hadis berikut, di mana Rasulullah bersabda:

Hak seorang muslim terhadap seorang muslim ada enam perkara (iaitu): (1) Apabila kamu bertemu dengannya, ucapkankanlah salam kepadanya. (2) Apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya. (3) Apabila dia minta nasihat, berilah dia nasihat. (4) Apabila dia bersin lalu dia membaca tahmid, doakanlah semoga dia beroleh rahmat. (5) Apabila dia sakit, ziarahilah dia. (6) Dan apabila dia meninggalkan dunia, ikutilah (jenazahnya). [Shahih Muslim, no: 4023/2162]

Maksud mengikuti jenazah ialah mengikuti jenazah dari saat dia meninggal dunia sehinggalah disolatkan (solat jenzah) dan dikuburkan. Ini berdasarkan hadis berikut: Sesiapa yang mengikuti jenazah muslim karena iman dan mengharapkan balasan (daripada Allah), dan dia selalu bersama jenazah tersebut sampai disolatkan dan selesai dikebumikan, maka dia pulang dengan membawa (pahala) dua qirath, setiap qirath setara dengan gunung Uhud. Dan sesiapa menyolatkannya dan pulang sebelum dikuburkan maka dia pulang membawa satu qirath. [Shahih al-Bukhari, no: 45/47]

Ada pun badi mayat, ia adalah kepercayaan masyarakat bahawa kononnya makhluk ghaib yang selama ini menemani jenazah ketika hidup telah berpindah kepada salah seorang yang mengikutinya setelah dia meninggal dunia. Badi mayat menyebabkan seseorang yang pernah mengikuti jenazah sering mengalami mimpi ngeri, menghidu, mendengar atau melihat sesuatu yang sebenarnya tidak ada, keresahan, ketakutan dan lain-lain gangguan.

Sebenarnya apabila seseorang mengalami gangguan seumpama di atas selepas mengikuti jenazah, ia adalah gangguan syaitan yang berkeliaran dan bukannya gangguan makhluk ghaib yang kononnya pernah menemani jenazah ketika hidup. Ia berlaku kerana dalam suasana terlalu kesedihan tatkala mengikuti jenazah, seseorang itu kerap kali lupa kepada Allah sehingga mudah dipengaruhi oleh syaitan. Tidak ketinggalan ialah pelbagai bid’ah yang dilakukan di sisi jenazah, ia menjadi daya tarikan kepada syaitan untuk datang menghinggap dan mengganggu. Bid’ah-bid’ah tersebut, meski pun kelihatan seperti amalan agama, sebenarnya adalah amalan yang tidak disyari’atkan oleh Allah. Bid’ah adalah amalan yang dikehendaki oleh pengamal itu sendiri dan bukannya apa yang dikehendaki oleh Allah. Justeru bid’ah menjauhkan pengamalnya daripada Allah sehingga mudah dijadikan mangsa oleh syaitan.

Oleh itu apabila mengikuti jenazah, lakukanlah apa yang disyari’at oleh Islam tambah menambah, mengurang atau mengubah suai. Selain itu jangan lupa kepada Allah, ingatilah bahawa kita semua milik Allah dan Allah berhak mengambil kita pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya.

Merujuk kepada soalan di atas, setelah pulang daripada mengikuti jenazah hendaklah menyebut nama Allah (membaca Bismillahi Rahmanir Rahim) ketika masuk rumah dan ketika menutup pintu rumah. Ini berdasarkan hadis berikut: Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”

Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam.” Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan, berkatalah (syaitan kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam.” [Shahih Muslim, nno 3762/2018]

Amalkan tunjuk ajar Rasulullah di atas setiap kali memasuki rumah, baik apabila pulang dari pejabat, pasar, bersukan, menziarahi orang sakit atau mengikuti orang yang meninggal dunia.

 

 


 

Soalan 2: Suami Curang

Sebelum berkahwin, saya dan suami mempunyai beberapa orang teman lelaki dan begitu juga suami. Kami saling menceritakan tentang hubungan tersebut. Setelah berkahwin saya memutuskan hubungan dengan semua bekas teman lelaki. Tetapi suami tetap menghubungi mereka malah menyimpan gambar mereka. Saya merasa tertipu dan amat marah dengan perbuatan suami saya. Apakah hukumnya suami yang berkelakuan begini? Walaupun sekarang ini beliau tidak lagi membuat perkara di atas, saya sukar untuk mempercayainya dan saya akan cepat mengesyakinya jika berlaku sesuatu yang mencurigakan. Saya berharap dapat pandangan daripada saudara. Terima kasih.

 

Jawapan:

Perkahwinan dibina atas dasar amanah dan kepercayaan di antara suami dan isteri. Setiap pasangan pada asalnya adalah tidak bersalah melainkan wujud bukti-bukti nyata bahawa dia bersalah. Tidak mempercayai pasangan, mencurigainya atau mengesyaki sesuatu adalah resepi yang boleh menghantar sesebuah perkahwinan kepada pergaduhan dan perceraian.

Oleh itu jauhilah berburuk sangka di antara pasangan dan berdoalah kepada Allah agar dipelihara daripada hasutan syaitan. Sesungguhnya syaitan suka menghasut di antara suami isteri agar saling berburuk sangka sehingga timbul pergaduhan dan perceraian.