Soalan 1: Seks Pada Siang Ramadhan

Sempena bulan Ramadhan ini, bolehkah diterangkan dengan terperinci berkenaan hukum hubungan seks di antara suami isteri. Ini kerana maksud seks adalah agak luas, maka apakah semuanya dilarang pada siang Ramadhan?

 

Jawapan:

Ya, seks adalah sesuatu yang agak luas cakupannya. Berikut diperincikan hubungan seks dan kaitannya dengan larangan pada siang Ramadhan serta hukuman kafarat. Ia adalah seperti berikut:

Pertama: Seks Yang Disepakati Membatalkan Puasa dan Wajib Hukuman Kafarat.

Sesiapa yang melakukan hubungan seks dalam bentuk lelaki memasukkan zakar ke dalam faraj wanita, maka puasanya batal dan dia dikenakan hukuman kafarat tanpa mengira sama ada keluar air mani atau tidak. Tidak ada perselisihan di kalangan para ilmuan dalam hukum ini.

 

Kedua: Seks Yang Diperselisihkan Hukuman Kafarat. 

Ada hubungan seks yang membatalkan puasa, namun diperselisihkan sama ada dikenakan hukuman kafarat atau tidak. Seks yang dimaksudkan ialah:

  1. Seks antara lelaki dan wanita tanpa memasukkan zakar ke dalam faraj.
  2. Seks antara jantina yang sama, iaitu lelaki dengan lelaki (gay) atau perempuan dengan perempuan (lesbian). Tidak dibezakan sama ada jenis kemaluan adalah semula jadi atau melalui pembedahan.
  3. Seks bersendirian seperti onani (masturbation) atau menggunakan alat-alat mainan tertentu.
  4. Seks dengan selain manusia, seperti seks dengan mayat (manusia yang telah meninggal dunia), jin, haiwan dan makhluk asing.

Apa yang benar, aktiviti seks di atas membatalkan puasa dan diwajibkan hukuman kafarat. Malah sebahagian daripada aktiviti seks di atas adalah haram hukumnya pada bila-bila masa, dan ia menambahkan lagi dosa ke atas pelakunya pada siang Ramadhan. 

Terdapat beberapa aktiviti berkaitan seks yang dikecualikan atau diberi kelonggaran, iaitu:

 

Cium. Dibolehkan bagi orang yang dapat mengawal nafsunya untuk berciuman dengan pasangannya. Berciuman tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat. Dalilnya adalah keterangan A’isyah radhiallahu 'anha: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mencium (isterinya) padahal baginda sedang berpuasa dan pernah bermesra-mesraan (dengan isterinya) padahal baginda berpuasa. Akan tetapi baginda adalah orang yang paling mampu mengendali nafsunya di antara kalian. [Shahih Muslim, hadis no: 1854/1106]

 

Bermesra-mesraan. Dibolehkan bagi suami isteri yang tua untuk bermesra-mesraan. Bagi orang yang tidak dapat mengawal nafsunya, seperti orang muda, ditegah daripada bermesra-mesraan pada siang Ramadhan kerana dibimbangi akan berlanjutan kepada melakukan seks (zakar dimasukkan dalam faraj). Bermesra-mesraan tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan:

Seorang lelaki bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkenaan bermesra-mesraan (dengan isteri pada siang) Ramadhan dan baginda memberi keringanan baginya (boleh melakukannya). (Kemudian) datang pula seorang lelaki lain yang bertanya soalan yang sama namun baginda melarangnya. Maka yang diberi keringanan ialah orang tua manakala yang dilarang ialah orang muda. [Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2039/2387]

 

Dalam keadaan junub sesudah terbit fajar. Tidak mengapa jika seseorang itu dalam keadaan junub sesudah terbit fajar. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersetubuh dengan isteri baginda pada malam Ramadhan dan hanya Mandi Wajib sesudah terbitnya fajar [Shahih al-Bukhari, hadis no: 1791/1925]. Walaubagaimanapun hendaklah Mandi Wajib sebelum luput waktu Subuh agar dengan itu dapat melaksanakan solat Subuh dalam waktunya.

 

Keluar air mazi. Air mazi ialah cecair pelincir yang keluar di zakar dan faraj. Ia lazimnya keluar sebelum keluarnya air mani, bertujuan memperlincirkan pergerakan antara zakar dan faraj ketika melakukan hubungan seks. Keluarnya air mazi, sama ada sengaja atau tidak sengaja, tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat kerana ia bukanlah hubungan seks tetapi pengantar kepada hubungan seks. Air mazi juga tidak mewajibkan Mandi Wajib, sebaliknya cukup dengan membasuh kemaluan dan mengambil wudhu’.

 

Air mani yang meleleh keluar. Wujud kemungkinan air mani meleleh keluar kerana penyakit atau baki daripada hubungan seks sebelum fajar. Air mani yang meleleh keluar tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat, juga tidak mewajibkan Mandi Wajib. Ini kerana yang diambil kira sebagai mewajibkan Mandi Wajib ialah air mani yang terpancut keluar (ejaculation). Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Apabila kamu memancutkan air mani, maka mandilah (Mandi Wajib). [Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 178/206]

 

Tidak sengaja. Orang yang melakukan aktiviti seks secara tidak sengaja, tidak batal puasanya dan tidak wajib kafarat atas dirinya. Ini kerana Allah tidak mengambil kira kesalahan yang tidak disengajakan. Seks tidak sengaja yang dimaksudkan ialah: 

  • a) Mimpi sehingga memancutkan air mani (mimpi basah).
  • b) Jahil, iaitu tidak tahu tentang larangan seks di siang Ramadhan atau tidak tahu hukum-hukum perinciannya.
  • c) Tersilap, seperti orang yang tersilap dalam menentukan waktu fajar dan waktu Maghrib lalu dia membuat hubungan seks kerana disangkakan fajar belum terbit atau Maghrib sudah berlalu.
  • d) Terlupa, iaitu orang yang terlupa dia sedang berpuasa.
  • e) Dipaksa. Seperti orang yang dirogol, dia dipaksa kepada hubungan seks tanpa kerelaan dirinya.