Diana duduk termenung saja di gerai kecilnya. Beberapa orang lalu-lalang di situ ada yang berhenti untuk melihat-lihat dan bertanya berkenaan produk-produk kesihatan yang dijualnya. Akan tetapi mereka tidak memperoleh layanan daripada Diana. Dirinya masih terkesan daripada kesilapan yang dilakukannya di pejabat petang tadi. Kesilapannya itu menyebabkan pegawai atasannya marah dan seluruh jabatannya menerima padah.

Diana melihat jamnya, “Ahh, baru pukul 9 malam!” hatinya merungut. Dia tertunggu-tunggu pukul 9.30 malam agar dapat menutup gerai kecilnya itu, segera pulang ke rumah dan membuat semula presentation yang petang tadi ditolak oleh pegawainya. Esok, pukul 3 petang dia perlu membuat presentation itu semula dan kali ini dia mesti pastikan tiada lagi kesilapan. Selepas itu pukul 5.30 petang dia mempengerusikan mesyuarat Biro Kebajikan Wanita (BKW) pejabatnya, mereka merancang untuk membuat satu lawatan kebajikan sempena cuti sekolah bulan depan.

 stress.jpeg 

 

“Alamak, mesyuarat BKW! Aku satu apa pun belum buat lagi” Diana tiba-tiba tersedar, dirinya terlupa langsung berkenaan mesyuarat tersebut. “Hmm...pukul 10.30 malam sampai rumah. Tengok anak sekejap dan tidurkan mereka sekejap, 11 malam aku mandi dan makan malam, 11.30 malam aku buat semula presentation untuk petang esok, 1 pagi aku siapkan untuk mesyuarat BKW, 2 pagi aku tidur”….Diana berbisik kepada dirinya, membuat perancangan agenda malam itu. Namun dirinya ragu-ragu sama ada mampu membuat semua itu atau tidak kerana semalam dia tidur pukul 3 pagi membuat presentation tersebut manakala pukul 6 pagi jam loceng sudah berdering.

Demikianlah, setiap hari pukul 6 pagi Diana sudah bangun. Selain mempersiapkan dirinya ke pejabat, dia juga mempersiapkan anak-anaknya ke sekolah. Anak-anaknya dua orang masih di bangku sekolah rendah. Diana perlu pastikan mereka membawa buku-buku yang betul mengikut jadual mata pelajaran setiap hari. Diana juga menyiapkan sedikit bekalan makanan untuk mereka sarapan di sekolah pada waktu rehat. 

Tiba-tiba talifon bimbitnya berbunyi, muka suami Diana tersenyum di skrin. Akan tetapi Diana tidak tersenyum kerana dia tahu ada satu masalah baru yang timbul. “OK abang, saya dalam perjalanan….trafik jam ni. Abang tunggu ya, nanti Diana sampai” jawab Diana terus, tanpa sempat suaminya berkata apa-apa. Diana segera menutup gerainya dan bergegas ke arah kereta. Dia terlupa lagi bahawa dia sudah berjanji untuk mengambil suaminya yang pulang dari Pulau Pinang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 9 malam itu. “Nampak gaya malam ini aku tidur pukul 3 pagi sekali lagi” Diana memberitahu dirinya.

 

Masalah Diana Sahaja?

Membaca watak Diana di atas, mungkinkah ada di antara para pembaca sekalian yang memiliki jadual harian yang seumpama? Yakni sibuk dengan pelbagai kerja, urusan dan aktiviti sehingga merasakan terkejar-kejar dengan masa. Atau lebih tepat, telah jauh ditinggalkan masa?

Jika kita menganalisa watak Diana di atas, kita akan menemui bahawa jadual harian Diana dipenuhi dengan (1) Berniaga produk kesihatan Multi Level Marketing, (2) Bekerjaya, merangkap ketua jabatannya, (3) Pengerusi kepada Biro Kebajikan Wanita, (4) Ibu dan isteri.

Empat urusan besar ini menyebabkan Diana sering kali ketinggalan jauh di belakang masa. Diana cuba untuk menguruskan masa agar dapat mengurusi empat urusan ini dengan baik. Namun sehingga kini masa masih tidak menyebelahinya sehingga hampir setiap malam Diana tidur lewat. Semua ini benar-benar menjejaskan prestasi Diana dalam empat urusan di atas, semakin hari ia semakin menurun sehingga akhirnya memberikan tekanan (stress) kepada Diana.

 

Bagaimana Kita Dapat Membantu Diana?

Diana menghadapi satu penyakit yang tanpa disedari, juga dihadapi oleh ramai orang lain. Penyakit itu ialah ingin mencapai banyak kejayaan dengan melakukan banyak urusan dalam 24 jam. Penyakit ini akhirnya menyebabkan Diana kelihatan seperti melakukan banyak urusan akan tetapi semua urusan tersebut dilakukan dengan kadar kejayaan yang rendah. Dalam erti kata lain, Diana mengutamakan kuantiti sehingga mengorbankan kualiti.

Ketahuilah bahawa orang yang berjaya bukan sahaja memiliki pengurusan waktu yang baik, akan tetapi dia juga memiliki pengurusan kualiti yang baik. Orang yang berjaya bukanlah orang yang melakukan banyak urusan, namun dia melakukan beberapa urusan dan memastikan semua urusan itu mencapai kualiti dan kejayaan yang sebaiknya. 

Bagi kes Diana di atas, dia sepatutnya mengurangi jumlah urusan yang dilakukannya dalam sehari. Dalam masa 24 jam yang ada, Diana perlu fokus kepada dua urusan sahaja, iaitu:

  1. Kerjaya yang paling mulia di dunia dan akhirat, yakni sebagai isteri dan ibu.
  2. Kerjaya kedua sebagai ketua jabatan.

Perniagaan MLM mesti ditinggalkan kerana pendapatan yang diperolehi dari kerjayanya sudah mencukupi. Urusan sampingan seperti pengerusi biro juga perlu ditinggalkan kerana jawatan sebagai ketua jabatan sudah banyak menelan masa, fikiran dan tenaga. Bagaimana pula dengan para pembaca sekalian? Cubalah nilai jumlah urusan yang dibuat dalam sehari agar kualiti sentiasa mengungguli kuantiti.