Apabila kita membaca al-Qur’an, agak lazim ditemui ayat-ayat yang diakhiri dengan nama-nama Allah. Meski pun kedudukannya di akhir ayat, nama-nama yang indah ini (al-Asma al-Husna) memiliki maksud dan peranan yang amat penting. Di antara sekian banyak nama-nama Allah, Allah akan memilih apa yang selari dengan pengajaran, hukum atau mesej yang ingin disampaikan dalam ayat berkaitan.

Ayat 34 surah al-Nisa’ termasuk di dalam kategori di atas. Ayat ini memiliki banyak pengajaran dan hukum berkenaan suami dan isteri, khususnya suami. Setelah menyampaikan ajaran-ajaran dan hukum-hukum tersebut – seperti mana yang telah kita pelajari dalam edisi-edisi Pengantin yang lepas, Allah mengakhiri ayat 34 ini dengan nama-Nya “Yang Maha Tinggi (al-‘Aliy)” dan “Yang Maha Besar (al-Kabir)”. 

 

asma_alhusna.jpeg 

 

Mari kita perhatikan semula ayat 34 surah al-Nisa’ dan berilah perhatian khusus kepada dua nama Allah di akhir ayat: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Maka isteri-isteri yang soleh itu ialah yang taat dan yang memelihara (ketaatan tersebut) ketika suami tidak hadir bersama, dengan apa yang Allah pelihara.Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan yang bertujuan mengajarnya).Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.

Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. [al-Nisa’ 4:34]

 

Wahai Para Suami…

Kepada para suami yang Allah telah menerangkan peranan dan tanggungjawab mereka dalam ayat di atas, Allah akhiri dengan peringatan, bahawa Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

Ini kerana di kalangan para suami mungkin ada yang merasakan dirinya tinggi dan besar di atas isterinya, sehingga dia menzalimi isteri dengan tidak melaksanakan apa yang Allah wajibkan ke atasnya sebagai seorang qawwamun. Para suami hendaklah ingat, apa dan bagaimana mereka melaksanakan tanggungjawab mereka akan dipersoalkan oleh Allah pada Hari Akhirat kelak. Rasulullah mengingatkan:

Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. [Shahih al-Bukhari, no: 4801]

Tanggungjawab memberi nafkah misalnya, ia antara soalan yang pasti ditanya oleh Allah pada Hari Akhirat kelak. Allah akan bertanya ke manakah harta itu dibelanjakan, adakah untuk menafkahi isteri dan anak-anak atau dibazirkan untuk perkara-perkara kesukaan diri sendiri sehingga mengabaikan isteri dan anak-anak. Rasulullah menerangkan lima “soalan bocor” pada Hari Akhirat kelak:

Tidak berganjak dari sisi Allah kedua tapak kaki manusia pada Hari Kiamat (kelak) sehingga dia ditanya tentang lima perkara: (1) Tentang umurnya – untuk apa ia dihabiskan, (2) Tentang masa mudanya – untuk apa ia digunakan, (3) Tentang hartanya – dari mana ia diperolehi, (4) (Tentang hartanya) – kepada apa ia dibelanjakan dan (5) apa yang dia amalkan dari ilmu yang dimiliki. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2416]

Di antara para suami, mungkin ada yang merasakan dirinya tinggi (ego) dan besar (gagah) di atas isterinya sehingga menzalimi isterinya secara fizikal. Mereka memaki hamun serta memukul dan menyepak isterinya, lalu menjustifikasi tindakan mereka dengan alasan “membetulkan isteri yang nusyuz”. Maka Allah mengingatkan para suami bahawa yang sebenar-benarnya Tinggi dan Besar ialah Allah, dan semua tindakan mereka ke atas isteri di dunia ini akan dibalasi pada Hari Akhirat kelak.

Lebih dahsyat, lidah, tangan serta kaki mereka yang akan menjadi saksi, menerangkan apa yang pernah anda lakukan di dunia dahulu ke atas isteri anda. Firman Allah berkenaan Hari Akhirat: Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. [al-Nur 24:24] 

 

Wahai Para Isteri… 

Tidak ketinggalan, di kalangan para isteri mungkin ada yang merasakan dirinya tinggi dan besar di atas suami mereka. Mungkin atas faktor pendidikan, pendapatan atau darjat keluarga, isteri memandang rendah dan kecil suaminya. Maka terhadap isteri seperti ini, Allah turut mengingatkan bahawa yang sebenar-benar Tinggi dan Besar ialah Allah. Apa jua kelebihan yang Allah berikan kepada isteri, ia hanyalah ujian kepadanya. Apakah dia menggunakan kelebihan-kelebihan tersebut untuk kebaikan bersama (suami) atau menggunakannya untuk meremehkan suaminya.

Allah mengingatkan: Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat (berkenaan pangkat, harta, ilmu dan lain-lain), kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-An’aam 6:165]

 

Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

Ya, demikianlah Allah, Dialah yang sebenar-benarnya Maha Tinggi lagi Maha Besar. Hendaklah para suami dan isteri selalu mengingati dan saling mengingatkan dua nama Allah ini, agar kehidupan bersama dihiasi dengan sikap rendah diri dan kesederhanaan. Apabila saja timbul bisikan untuk bersikap tinggi diri atau besar diri, baik kerana ego atau hasutan syaitan, hendaklah segera sedar bahawa hanya Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. 

Hendaklah sedar bahawa apa sahaja kebaikan yang dilakukan untuk pasangan masing-masing, meski pun sekecil sesuap nasi, Allah akan memberi ganjaran yang sebaik-baiknya. Apa sahaja kezaliman yang dilakukan kepada pasangan masing-masing, meski pun sekecil satu makian, Allah akan membalas dengan seadil-adilnya. Ini kerana Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar sementara kita adalah hamba-hamba-Nya yang teramat hina lagi kecil.