Soalan :

Apabila membicarakan perkahwinan, kita lazim mendengar perkataan “jodoh”. Orang yang belum berkahwin disebut “belum ada jodoh” sementara yang bercerai disebut “dah tiada jodoh”. Apakah sebenarnya maksud jodoh dan kaitannya dengan perkahwinan?

 

Jawapan:

Jodoh dari sudut bahasa bererti pasangan hidup baik lelaki atau perempuan. Apabila dikatakan Fatimah belum ada jodoh, bererti Fatimah belum memiliki suami yang dijadikan pasangan hidup.

Di sisi masyarakat, apabila mereka menyebut “jodoh”, secara tidak langsung mereka bermaksud “taqdir”. Ia bererti orang itu belum ditaqdirkan menemui pasangan hidup yang sesuai baginya. Atau orang itu sudah ditaqdirkan bercerai, maka mereka pun bercerailah.

Memaksudkan jodoh sebagai taqdir ada betulnya dan ada salahnya. Ia betul kerana semua yang berlaku di dalam kehidupan kita ini sudah diketahui oleh Allah dan telah ditulis sejak alam ini belum tercipta. Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya dan mencipta apa yang dikehendaki-Nya. Semua ini merupakan taqdir, disebut juga Qadha’ dan Qadar.

Apabila kita beriman bahawa Allah adalah satu-satunya tuhan, kita juga beriman bahawa Allah adalah satu-satunya yang pencipta, pentadbir, pemberi dan pengatur kehidupan. Dengan itu juga, kita beriman bahawa Allah mengetahui apa yang berlaku dalam kehidupan kita, tidak ada yang berlaku secara kebetulan atau di luar pengetahuan Allah. 

Kita juga beriman bahawa berdasarkan hikmah dan keadilan-Nya, apa yang Allah taqdirkan kepada kita adalah baik semuanya. Rasulullah menegaskan: “Aku penuhi panggilan-Mu dengan penuh kebahagiaan, kebaikan semuanya di tangan-Mu dan keburukan tidaklah disandarkan kepada-Mu.”[Shahih Muslim, no: 1290]

Hanya kadangkala kita sebagai manusia tidak dapat mengesan kebaikan tersebut lalu menafsirkannya sebagai keburukan. Sebagai contoh, Allah mentaqdirkan kita mendapat penyakit kronik lalu kita menafsirkannya sebagai keburukan. Padahal ia sebenarnya adalah satu kebaikan kerana dengan penyakit itu seseorang kembali ingat kepada Allah, insaf akan kesalahannya dan mula mengenal erti kehidupan yang berbaki.

Atas dasar inilah Rasulullah bersabda: “Engkau beriman kepada taqdir sama ada yang baik mahupun yang buruk.” [Shahih Muslim, no: 9] Dalam erti kata lain, kita menerima semua taqdir Allah sama ada yang baik mahupun buruk. Jika buruk, ia hanyalah pada tafsiran kita sementara apa yang Allah kehendaki di sebaliknya tetap baik.

Merujuk kepada perkahwinan, Allah sejak awal sudah mentaqdirkan siapakah pasangan hidup setiap seorang daripada kita. Pasangan yang Allah taqdirkan itu memiliki pelbagai kebaikan dan hikmah di dalamnya. Hanya Allah tidak memberitahu maklumat ini kepada kita dan menyerahkan pencariannya kepada kita. 

Justeru orang yang memiliki kefahaman yang benar tentang taqdir akan berusaha mencari jodohnya. Dia tidak takut atau was-was kerana yakin (beriman) bahawa pasangan yang telah Allah taqdirkan kepadanya tentu baik. Jika dia belum menemui pasangan tersebut, dia akan terus mencarinya. Jika sudah ditemui lalu secocok, maka dia bersyukur atas nikmat Allah kepadanya. Jika sudah ditemui namun tidak secocok, maka dia bersabar atas ujian Allah kepadanya dengan keyakinan di sebalik ujian itu tersedia pahala besar dan ganjaran syurga.

Sebaliknya orang yang salah faham tentang taqdir, dia hanya menunggu jodoh datang bergolek kepadanya. Jika dia menemui jodoh yang secocok, dia merasa bangga dan memuji-muji dirinya sambil lupa kepada Allah. Namun jika dia menemui jodoh yang tidak secocok, dia menyalahkan Allah kerana mentaqdirkan yang sedemikian.