Soalan:

Saya kini telah bertunang. Ketika rundingan dengan pihak bakal isteri, mereka telah meminta duit hantaran, mas kahwin (mahar) dan barangan dulang-dulang hantaran yang jauh di atas kemampuan saya. Apa yang perlu saya buat?

 

Jawapan:

Sebagai bakal suami, anda akan menjadi pemimpin ke atas isteri anda. Salah satu ciri pemimpin ialah tegas dan berani berkata “tidak”. Dalam kes ini, apabila bakal isteri atau pihak bakal isteri meminta sesuatu yang di luar kemampuan anda, maka jawablah secara terus bahawa anda tidak dapat memenuhinya. Seterusnya nyatakan apa yang mampu anda sediakan dan jika mereka tidak mahu menerimanya, maka batalkan saja pertunangan tersebut.

 

Semua ini mungkin sukar diterima, namun inilah hakikat yang perlu diperhatikan oleh semua bakal suami. Pertunangan dan perkahwinan merupakan kesefahaman di antara dua pihak, dengan masing-masing pihak cuba mencari jalan pertengahan yang adil (win-win situation). Jika satu pihak menuntut apa yang membebani pihak yang lain, maka jelas kelihatan tiada kesefahaman dan bertimbang rasa.

 

Di sini juga terdapat hikmah mengapa Islam melarang dua orang lelaki dan wanita bercinta sebelum berkahwin. Tanpa cinta, masing-masing akan menilai kesesuaian calon mereka secara adil, tanpa dipengaruhi oleh emosi. Tanpa cinta, bakal suami dengan mudah akan berkata “tidak” apabila pihak bakal isteri meminta sesuatu di luar kemampuannya. Berbeza jika sudah terlanjur bercinta, bakal suami tidak akan sanggup berkata “tidak”, bahkan akan menurut apa saja yang diminta sekalipun ia memudaratkan dirinya.