Soalan:

Saya akan melaksanakan perkahwinan beberapa bulan lagi. Satu perkara yang bermain di fikiran ialah bulu roma saya di kedua-dua tangan agak lebat berbanding perempuan yang lain. Apakah hukumnya jika saya mencukurnya agar tidak terlihat oleh para hadirin kelak?

 

Jawapan:

Sebagai seorang wanita, kewajipan anda ialah menutup aurat. Tangan, dari bahu sehingga ke pergelangan tangan termasuklah aurat yang wajib ditutup. Oleh itu sama ada ketika majlis perkahwinan atau selainnya, anda hendaklah menutup auart melainkan apabila anda bersama suami. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya wanita apabila telah baligh, tidak boleh terlihat daripadanya kecuali ini dan ini: baginda mengisyaratkan wajah dan kedua tangannya, (selepas pergelangan tangan).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4104]

Ada pun hukum mencukur bulu roma, maka hendaklah diketahui bahawa bulu dan rambut di tubuh badan manusia terbahagi kepada tiga hukum agama:

Pertama: Apa yang dianjurkan untuk dicukur, dicabut atau digunting pendek, iaitu bulu kemaluan, bulu ketiak dan misai. Rasulullah bersabda: “(Sunnah-sunnah) fitrah itu ada lima, atau lima dari sunnah-sunnah fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan mencukur misai (kumis).” [Shahih al-Bukhari, no: 5439]

Kedua: Apa yang dilarang untuk dicukur, dicabut atau digunting pendek, iaitu bulu-bulu di muka seperti bulu mata dan bulu kening semata-mata untuk kecantikan. Rasulullah bersabda: “Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang meminta disambungkan rambut, orang yang mentato dan yang meminta ditato, begitu pula orang yang mencabut rambut pada wajah dan yang meminta dicabut.” [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 9225]

Termasuk yang dilarang ialah mencabut uban. Rasulullah bersabda: “Janganlah mencabut uban kerana uban adalah cahaya pada Hari Kiamat nanti. Siapa saja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, maka dengan uban itu akan dicatat baginya satu kebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan satu kesalahan, juga dengannya akan ditinggikan satu derajat.” [Shahih Ibn Hibban, no: 3047]

Ketiga: Apa yang didiamkan oleh agama, maka ia terserah kepada pilihan masing-masing. Bulu roma termasuk yang didiamkan, tidak disuruh atau dilarang daripada mencukurnya. Oleh itu boleh mencukurnya jika dirasakan perlu, namun adalah lebih baik untuk dibiarkan. Ini kerana bulu roma tersebut diciptakan oleh Allah dengan peranan-peranannya yang tersendiri, seperti memerangkap selapisan udara sebagai penebat haba. Sudah tentu kita beriman bahawa semua yang Allah ciptakan ada hikmahnya, bukan sia-sia untuk dibuang begitu saja.