Soalan:

Sebaik sahaja selepas bernikah, ada upacara membatalkan air sembahyang. Adakah upacara ini termasuk hukum agama?

 

Jawapan:

Upacara membatalkan air sembahyang tidak termasuk dalam hukum agama. Ia bukan di antara syarat-syarat atau rukun-rukun nikah dan tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan umat Islam zaman awal. Melakukannya atau tidak melakukannya tidak memberi apa-apa pengaruh kepada sah atau tidak pernikahan mahupun keberkatan hidup bersama selepas itu.

Upacara ini sebenarnya merupakan adat masyarakat tempatan sebagai kiasan bagi membolehkan atau menganjurkan pasangan suami isteri yang baru bernikah untuk bersalaman. Ini kerana sebelum bernikah, lelaki dan wanita tidak boleh bersentuhan, baik secara terus mahu pun berlapik. Pernikahan membolehkan, bahkan menghalalkan sentuhan tersebut. 

Pun begitu, ada pula di kalangan pasangan baru bernikah yang malu-malu di antara satu sama lain sehingga enggan bersalaman. Maka di adakan upacara membatalkan air sembahyang sebagai satu kiasan bagi menganjurkan mereka bersalaman.

Pada waktu yang sama, ada pasangan yang langsung tidak malu sehingga berpelukan dan berciuman di hadapan juru nikah dan orang ramai. Tindakan ini sebenarnya tidak baik dan tidak mencerminkan sifat malu yang sepatutnya menjadi penghias bagi setiap muslim. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Iman terdiri daripada tujuh puluh bahagian dan malu ialah salah satu daripada bahagian itu. [Shahih Muslim, no: 50/35] Dalam sebuah hadis yang lain baginda menekankan: Malu tidak akan datang melainkan dengan kebaikan. [Shahih Muslim, no: 53/35]