Soalan:

Satu perkara yang sering bermain di fikiran saya ialah poligami. Meski pun suami saya tidak pernah bertanya berkenaan hal ini, saya bimbang jika pada satu hari kelak dia akan bertanya dan menyatakan hajatnya untuk berkahwin lagi. Jika ini berlaku saya terfikir jika suami memiliki hak untuk berpoligami, apakah pula hak isteri jika dia enggan untuk terima poligami? Bagaimana jika saya tidak mahu diri saya dimadukan dan memilih untuk bercerai jika suami tetap mahu berkahwin lagi? Ini kerana saya merasakan poligami amat bertentangan dengan fitrah diri saya sebagai wanita dan isteri.

 

Jawapan:

Poligami memang sesuatu yang berat bagi kebanyakan wanita dan isteri masa kini. Moga penjelasan saya berikut ini dari prespektif yang berbeza dapat meringankan bebenan dan melapangkan fikiran puan. Apabila berfikir atau berbicara berkenaan poligami, hendaklah melihatnya dari aspek tauhid dan iman. Dari aspek tauhid, hendaklah kita sedar bahawa kehidupan ini hendaklah seluruhnya kerana Allah sahaja. Apa yang kita suka atau benci, buat atau tidak buat, adalah kerana Allah. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala yang juga merupakan sebahagian dari doa iftitah yang lazim kita baca di permulaan solat: 

Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya). [al-An’aam 6162-163]

Oleh itu – sebagai contoh – kerana Allah seorang isteri membenci perjudian dan membenci suaminya yang mahu berjudi. Jika telah dinasihatkan berulang kali dan suami tetap mahu berjudi, isteri boleh meminta cerai. Ini kerana Allah tidak pernah mengeluarkan hukum membolehkan suami untuk berjudi dan kerana Allah, seorang isteri tidak akan redha untuk hidup bersama seorang penjudi.

Contoh lain, seorang isteri kerana Allah membenci arak dan membenci suaminya yang minum arak. Jika telah ditegur berulang kali dan suami tetap mahu minum arak, isteri boleh meminta cerai. Ini kerana Allah tidak pernah mengeluarkan hukum membolehkan suami untuk minum arak dan kerana Allah, seorang isteri tidak sanggup hidup bersama seorang peminum arak.

Berbeza pula dengan poligami, Allah telah membolehkan suami untuk berpoligami. Maka kerana Allah, isteri hendaklah menerima andai suaminya hendak berkahwin lagi. Isteri usah membenci poligami atas alasan cinta yang satu telah dikhianati atau cemburu, kerana beralasan demikian bererti isteri telah menyekutukan Allah dengan menjadikan cinta dan cemburu sebagai tuhan di samping Allah. Inilah yang dimaksudkan dalam ayat di atas: Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan…

Kenyataan ini mungkin menyebabkan isteri terasa bahawa dirinya telah dinafikan haknya. Di sini hendaklah disedari bahawa hak-hak tersebut berkaitan dengan peraturan hidup dan daripada siapakah kita mahu menerima peraturan itu? Apakah daripada para cendekiawan yang menjadikan nafsu dan fikiran mereka sebagai tuhan atau daripada Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam ? Oleh itulah Allah bertanya setelah ayat 162-163 surah al-An’aam di atas: Katakanlah: Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? [al-An’aam 6:164]

Dari aspek keimanan, hendaklah kita beriman bahawa apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah pasti memiliki kebaikan meski pun kita membencinya. Kita juga beriman bahawa apa sahaja yang diharamkan oleh Allah pasti memiliki keburukan meski pun kita menyukainya. Apabila Allah menghalalkan poligami, pasti ia memiliki kebaikan di dalamnya baik untuk suami, isteri sedia ada dan isteri yang baru. Allah mengingatkan: Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. [al-Baqarah 2:216]

Dari aspek keimanan juga, hendaklah juga kita beriman bahawa syari’at Islam ini selari dengan fitrah manusia. Ini kerana kedua-duanya dicipta oleh Allah dan mustahil Allah mencipta syari’at yang bertentangan dengan fitrah manusia atau mencipta fitrah manusia yang bertentangan dengan syari’at.

Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); fitrah Allah yang (dengannya Allah) telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [al-Rum 30:30]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa agama atau syari’at yang diciptakan-Nya ini adalah satu fitrah yang selari dengan fitrah manusia. Seandainya berlaku konflik antara fitrah manusia dengan fitrah Allah (yakni syari’at Islam), maka hendaklah manusia mengubah-suai fitrahnya agar kembali selari dengan fitrah Allah. Ini kerana fitrah Allah tidak akan mengalami perubahan sementara fitrah manusialah yang berubah-ubah setelah pada asalnya selari dengan fitrah Allah.

Oleh itu tidak benar jika dikatakan poligami bertentangan dengan fitrah seorang wanita dan isteri. Apa yang berlaku ialah fitrah sebahagian wanita masa kini telah dicemari dengan celupan nafsu, kecemburuan dan kesamaan hak lelaki-wanita sehingga ia tidak lagi selari dengan fitrah Allah. Maka apa yang patut dilakukan ialah membersihkan diri dari celupan-celupan asing tersebut dan kembali mewarnai diri dengan celupan Allah agar selari semula dengan fitrah Allah. Berkenaan celupan ini, Allah bertanya: Celupan (shibghah) Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? [al-Baqarah 2:138]

Moga subjek poligami di bawah suluhan tauhid dan iman dapat membantu puan agar lebih terbuka terhadapnya. Cara lain agar lebih terbuka kepada poligami ialah menuntut ilmu mengenainya kerana sering kali kejahilan seseorang berkenaan satu perkara menyebabkan dia memusuhinya. Oleh itu kajilah buku-buku yang positif berkenaan poligami, antara yang dicadangkan ialah buku saya 202 Pelajaran Berkenaan Poligami. Selain itu bergaullah dengan orang yang hidup di alam poligami agar dapat mengikuti kebaikan mereka dan belajar dari kekurangan mereka. 

Terakhir dan paling penting, berdoakan kepada Allah agar diberi ilmu, kefahaman dan kematangan dalam subjek poligami. Ini kerana meski pun suami puan tidak bertanya berkenaan poligami, amatlah penting bagi setiap muslim untuk berbaik sangka kepada Allah dan seluruh syari’at-Nya.