Tazkirah hari ini, Abi Umamah al-Bahili radhiallahu 'anh berkata:

 

ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ.

Disebut kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang dua orang lelaki, seorangnya ahli ibadah sementara yang lain ahli ilmu. Maka bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Keutamaan ahli ilmu di atas ahli ibadah adalah seperti keutamaan aku di atas orang yang paling rendah di antara kalian.

 

ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ.

Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melanjutkan: Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan paus di lautan, mereka benar-benar berselawat ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

[Berkata Abu 'Isa, hadis ini hasan gharib sahih. Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2609/2685]

 

-------

Selawat Allah bererti pengurniaan rahmatnya kepada manusia sementara selawat para malaikat bererti mendoakan kebaikan dan keampunan kepada manusia.

Merujuk kepada hadis di atas, para malaikat berselawat – yakni mendoakan kebaikan dan keampunan – kepada orang-orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia lain.

Mengajarkan kebaikan tidak semestinya bekerjaya sebagai guru, pensyarah dan ustazah, tetapi merangkumi semua usaha menyampaikan ilmu yang bermanfaat, sama ada sedikit atau banyak.

Pun begitu, hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa ilmu yang akan disampaikan itu adalah sahih dan betul, bukan sekadar cerita-cerita dan petua-petua yang masyur tersebar.

Hadis ini juga menerangkan keutamaan orang yang menuntut, mengamal dan menyebarkan ilmu di atas orang yang beribadah. Ini kerana orang yang beribadah hanya membawa manfaat kepada dirinya seorang sementara orang yang berilmu, mengamalkannya dan menyebarkannya membawa manfaat kepada dirinya dan orang lain.

Selain itu seorang ahli ibadah kadangkala beribadah tanpa ilmu sehingga dia melakukan bid’ah yang disangkanya sunnah. Berbeza dengan ahli ilmu, dia mampu membezakan antara sunnah dan bid’ah, mengamalkan sunnah dan meninggalkan bid’ah.

 

KHFA - 2 Januari 2016