Hari ini nak cerita tentang cendol lagi. Kali ini sebagai jawapan kepada beberapa komen di posting saya sebelum ini, tentang kenapa saya sanggup makan cendol jualan nyonya cina padahal ada cendol jualan melayu / muslim.

Maka jawapan saya adalah seperti berikut:

(1) Kenapa pergi gerai Cina?

Dari sudut hukum fiqh, jual beli dengan non-muslim adalah sah, asalkan telah dipenuhi syarat-syaratnya seperti persetujuan untuk jual beli dan saling reda. Justeru tidak ada perbezaan hukum jual beli antara peniaga muslim dan non muslim.

(2) Halal ke?

Makanan dan minuman adalah halal untuk muslim sehinggalah terdapat petunjuk kuat bahawa ia tidak halal. Apa yang kelihatan secara zahir di gerai cendol tersebut, maka ia adalah halal bagi saya. Apa yang berlaku di belakang yang tidak kelihatan, seperti kaedah penyediaan cendol dan santan, maka Islam tidak mewajibkan kita untuk menyelidiknya.

(3) Nyonya penjual cendol mungkin makan khinzir dan bekas-bekasnya tercemar dengan kesan khinzir?

Ketahuilah bahawa kita umat Islam hanya dilarang makan khinzir. Adapun bekas-bekas yang mungkin terkena kesan khinzir, maka cukup dengan basuhan air biasa. Hukum kenajisan khinzir sudah banyak kali saya ulas di FB, tak perlu diulangi di sini.

(4) Gerai cina tidak bersih?

Gerai yang saya pergi memang bersih sementara nyonya penceduk cendol memakai sarung tangan di kedua-dua tangannya. Bandingkan dengan sebahagian pekerja restoran nasi kandar muslim yang mengambil ayam goreng dengan tangan saja. Di salah satu restoran nasi kandar muslim yang saya pergi, lalat sangat banyak sehingga benar-benar mengganggu keselesaan saya makan.

(5) Bukankah lebih bagus mengutamakan peniaga muslim berbanding non-muslim?

Betul. Gerai yang saya pergi ada 2 pekerja lelaki Indian Muslim dan seorang pekerja wanita Indonesia Muslim. Apabila saya minum cendol di sana, saya turut membantu ekonomi pekerja-pekerja muslim tersebut.

(6) Ada peniaga cendol muslim yang lebih sedap.

Itu adalah pilihan peribadi, dipersilakan. Satu contoh, pada hari sebelumnya saya ada singgah di sebuah gerai muslim untuk minum cendol. Santan instant, cendol hijau terasa keras, kacang merah amat keras, gula melaka terlebih. Mega tak sedap.

Sekian.