Tazkirah hari ini, Hasan bin ‘Ali radhiallahu 'anhuma berkata,

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الْوِتْرِ قَالَ ابْنُ جَوَّاسٍ فِي قُنُوتِ الْوِتْرِ:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajarku kalimat-kalimat yang dibaca ketika solat sunat Witir, (berkata Ibn Jawwas – perawi hadis) yakni pada doa qunut solat sunat Witir,

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ

Ya Allah, berilah aku petunjuk di kalangan orang-orang yang Engkau berikan petunjuk,

وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ

Dan berilah aku keselamatan di kalangan orang-orang yang telah Engkau berikan keselamatan,

وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ

Dan uruskanlah diriku di kalangan orang-orang yang telah Engkau uruskan,

وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ

Dan berkatilah aku pada apa yang telah Engkau berikan kepadaku,

وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ

Dan lindungilah aku dari keburukan apa yang telah Engkau putuskan,

إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ

Sesungguhnya Engkau Yang memutuskan dan tidak diputuskan (oleh sesiapa lain) ke atas aku,

وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ

Dan sesungguhnya tidak akan hina orang yang telah Engkau tolong,

وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ

Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.

تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.

Engkaulah yang Maha Berkat wahai tuhan kami dan Maha Tinggi.

[Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1214/1425 (Kitab al-Solat, Bab qunut dalam solat Witir)]

-----------

Di atas adalah lafaz doa qunut yang biasa di baca ketika solat Subuh.

Namun jika disemak sumber lafaz doa tersebut, didapati ia sepatutnya dibaca ketika solat sunat Witir pada waktu malam. Itulah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada cucu baginda, Hasan bin Ali.

Adapun untuk solat Subuh, maka pendapat yang lebih kuat adalah tidak dibacakan doa qunut padanya, kecuali qunut nazilah apabila perlu.

Tidak membaca doa qunut pada solat Subuh bukan bererti melupakan lafaz-lafaz doa itu. Sebaliknya ia tetap diamalkan apabila melaksanakan solat sunat witir pada waktu malam.

Mereka yang menyandarkan diri sebagai "orang sunnah", ukurannya bukanlah pada tidak membaca doa qunut pada solat Subuh. Sebab, boleh jadi dia tidak membaca kerana malas atau tidak menghafalnya.

"Orang sunnah", ukurannya adalah pada sebanyak mana sunnah Rasullullah yang dia melazimkan diri dengannya. Seperti bangun dari tidur untuk qiamulail, solat witir dan membaca doa qunut dalam solat witir tersebut.