"Wahai orang kafir!"

Tazkirah hari ini merujuk kepada beberapa bentuk seruan dalam al-Qur'an,

 

يَا بَنِي آدَمَ

Wahai anak Adam! (al-A'raaf 7:26)

 

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ

Katakanlah, Wahai manusia! (al-A'raaf 7:158)

 

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ

Wahai Ahli Kitab! (Ali Imran 3:65)

 

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ

Katakanlah, Wahai orang kafir! (al-Kafirun 109:01)

 

Jika dikaji keseluruhan al-Qur'an, akan ditemui kata-kata seruan di atas yang Allah gunakan.

Menarik untuk diperhatikan bahawa kata seruan "Anak Adam, manusia dan Ahli Kitab" Allah gunakan meskipun di kalangan mereka yang Allah seru itu adalah orang-orang musyrik dan kafir.

Contohnya di kalangan Ahli Kitab terdapat orang Yahudi yang mendakwa Uzair adalah anak Allah dan orang Nasrani (Kristian) yang mendakwa Jesus adalah anak Allah (rujuk al-Taubah 9:30).

Bahkan Allah secara jelas menyatakan orang Kristian telah kafir kerana keyakinan Trinity yang mereka pegang (rujuk al-Maidah 5:73)

Namun di sebalik kekafiran mereka itu, Allah tetap menyeru mereka dengan "Wahai Ahli Kitab!"

Apakah hikmah di sebalik seruan sopan "Wahai anak Adam, manusia dan Ahli Kitab"? Salah satu daripada hikmahnya adalah supaya ia memberi kesan positif di hati dalam rangka berdakwah kepada mereka. Ini selari dengan firman Allah s.w.t.,

 

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Serulah (dakwahlah) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl 16:125)

 

Pun begitu, dibolehkan menyeru mereka dengan "Wahai orang kafir!" jika semua usaha dakwah yang terbaik telah dilakukan ke atas mereka.

Diriwayatkan bahawa surah al-Kafirun diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai jawapan kepada orang kafir Quraish yang cuba berunding dengan Nabi s.a.w. agar menyembah berhala mereka dan Allah setahun-setahun secara bergilir-gilir.

Menarik juga untuk diperhatikan bahawa seruan "Wahai orang kafir!" hanya berlaku sekali di dalam al-Qur'an sementara seruan yang lain berlaku berulang kali di dalam al-Qur'an.

Ini menunjukkan bahawa dalam rangka menyeru mereka yang belum Islam, adalah lebih utama menggunakan seruan berhikmah yang memberi kesan positif di hati dalam rangka berdakwah, berbanding seruan "Wahai orang kafir!"