Tazkirah hari ini, Rasulullah s.a.w. bersabda,
مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ،
وَإِنَّ اللَّهَ لَيُبْغِضُ الفَاحِشَ البَذِيءَ.
Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin pada Hari Kiamat kelak melainkan akhlak yang baik.
Dan sesungguhnya Allah membenci (lisan) yang kotor lagi lucah (obscene).
[Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 1925/2002. Berkata Imam al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih. Juga dinilai sahih oleh al-Albani]
Dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa amalan yang paling memberatkan timbangan (mizan) pada Hari Kimat kelak adalah akhlak yang baik.
Termasuk dalam akhlak yang baik adalah perkataan yang baik dan sopan. Sesuatu yang secara jelas menyelisihi serta menjauhi akhlak yang baik adalah perkataan yang kotor dan lucah. Oleh kerana itulah Rasulullah menyebut tentangnya sebaik sahaja menerangkan tentang akhlak yang baik. Bahkan perkataan yang kotor dan lucah itu merupakan sesuatu yang dibenci oleh Allah.
Pada masa kini, sesuatu yang kotor dan lucah boleh juga merupakan simbol-simbol yang dibuat dengan jari tangan dan gambar-gambar. Moga kita semua berusaha memberatkan timbangan amal di Hari Kiamat kelak dan menjauhi apa yang sebaliknya.