Bolehkah qadha puasa sunat?

Jika tak sempat puasa 6 hari pada bulan Syawal, bolehkah qadha selepas bulan Syawal?

Jawapannya boleh.

 

Dalilnya adalah hadis berikut daripada Abu Sa'id al-Khudri, bahawa dia berkata,

صَنَعْت لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا

فَلَمَّا وُضِعَ قَالَ رَجُلٌ أَنَا صَائِمٌ

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : دَعَاك أَخُوك وَتَكَلَّفَ لَك , أَفْطِرْ فَصُمْ مَكَانَهُ إِنْ شِئْت

Aku pernah menyediakan makanan untuk Nabi s.a.w..

Apabila siap dihidangkan, berkata seorang lelaki (yang turut hadir), “Saya berpuasa.”

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saudara kamu menjemput kamu dan dia telah bersusah-payah (menyediakan makanan) untuk kamu. Berbukalah dan gantikan puasa itu pada hari lain jika kamu mahu.”

[Hadis ini dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari, jld 4, ms 209-210 (Maktabah Syamilah, syarah kepada hadis no.: 1967) dan beliau berkata, "Sanad hadis ini hasan, dikeluarkan oleh al-Baihaqi."]

Berkata al-Syaukani setelah mengemukakan hadis ini dan beberapa yang lain,

وَالْأَحَادِيثُ الْمَذْكُورَةُ فِي الْبَابِ تَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ يَجُوزُ لَمَنْ صَامَ تَطَوُّعًا أَنْ يُفْطِرَ لَا سِيَّمَا إذَا كَانَ فِي دَعْوَةٍ إلَى طَعَامِ أَحَدٍ مِنْ الْمُسْلِمِينَ.

وَيَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ لِلْمُتَطَوِّعِ الْقَضَاءُ لِذَلِكَ الْيَوْمِ.

وَقَدْ ذَهَبَ إلَى ذَلِكَ الْجُمْهُورُ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ

Hadis-hadis yang dikemukakan dalam bab ini menjadi dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa sunat untuk berbuka, khasnya apabila dijemput untuk makan oleh salah seorang kaum Muslimin.

Dan ia juga menjadi dalil bahawa disukai bagi orang yang berpuasa sunat untuk menggantikan (qadha) hari itu.

Demikianlah pandangan kebanyakan (jumhur) ahli ilmu.

[Nail al-Authar, jld. 4, ms. 306 (Maktabah Syamilah)]

 

Saya berkata, kebolehan untuk mengqadha puasa sunat tidak terhad kepada sebab memenuhi jemputan makan, tetapi meluas kepada apa-apa sebab lain. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.,

الصَّائِمُ المُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ، إِنْ شَاءَ صَامَ، وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Orang yang berpuasa sunat memegang amanah ke atas dirinya sendiri. Jika dia mahu, dia meneruskan puasanya dan jika dia mahu, dia boleh berbuka. [Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 664/732]

 

Berbeza hukumnya bagi orang yang qadha puasa wajib, maka tidak boleh bagi dia berbuka melainkan dengan sebab-sebab yang dibenarkan syari'at seperti sakit, musafir, hamil, menyusukan bayi dan kerja berat.

Kesimpulan yang dinantikan orang ramai:

Boleh qadha puasa sunat 6 hari bulan Syawal setelah bulan Syawal jika sibuk memenuhi undangan "Open House" hari Raya sepanjang bulan Syawal.

Syaratnya, hendaklah terlebih dahulu merancang untuk puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Jika tidak berjaya dipenuhi, maka boleh qadha selepas Syawal.

Pun begitu, hendaklah terlebih dahulu dihabiskan qadha puasa Ramadhan (jika ada) kerana keutamaan puasa sunat 6 hari bulan Syawal hanyalah untuk mereka yang telah menyempurnakan puasa Ramadhan sepenuhnya.