Assalammualaikum ustaz,

Saya ada 2 soalan nak bertanya.

1. Saya ada baca iaitu kita digalakkan membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas dan Surah Kursi apabila hendak tidur. Dan antara kelebihan Surah Kursi ialah Allah SWT akan menjaga kita dari gangguan syaitan. Tapi, apakah Allah melindungi kita dari sebarang mimpi-mimpi spt yg kita alami jika tidak membaca Surah Kursi? Sebabnya, saya membaca surah-surah diatas, tetapi ada juga bermimpi yg bukan-bukan.

2. Ustaz, saya tahu jodoh itu ditangan Allah SWT. Tetapi adakah doa disertai dgn niat yg ikhlas dapat mengubah takdir Allah SWT. Saya ada membaca bahawa Allah SWT akan mengubah rezeki dan ajal seseorang jika kita berdoa disertai dgn amal perbuatan yg baik. Jadi, adakah jodoh juga begitu atau telah ditetapkan dan tidak akan berubah?

 

Jawapan HF:

wa'laikumussalam warahmatullah,

Bagi soalan pertama:

Kekuasaan atau kemujaraban Ayat al-Kursi dan 3 surah terakhir al-Qur'an tidak terletak pada penyebutan huruf-hurufnya. Akan tetapi ia terletak pada penghayatannya dan sejauh mana ia dapat memantapkan tauhid dan iman kita.

Hadis-hadis yang menganjurkan bacaan ayat-ayat tersebut adalah benar. Orang Arab apabila mereka membaca ayat-ayat tersebut mereka memahaminya dan ia membawa kesan kearah penghayatan dan pemantapan tauhid dan iman.

Berbeza dengan kita yang bukan orang berbahasa Arab, kita hanya menyebutnya huruf-hurufnya tanpa memahami maksudnya.

Oleh itu apabila membaca ayat-ayat tersebut, cuba untuk memahami maksudnya serta menghayati inti kandungannya. Hanya apabila ia memberi kesan kepada tauhid dan iman kita, barulah ia "berkuasa" untuk menjauhkan gangguan syaithan dan sebagainya.

Berkenaan mimpi yang bukan-bukan, sebahagiannya adalah daripada angan-angan kita sebelum tidur. Sebahagian lagi adalah daripada gangguan syaithan. Untuk menggelakkan mimpi daripada gangguan syaithan, buat sesuatu yang menghampakan syaithan sehingga akhirnya dia tidak berminat lagi untuk mengganggu kita.

Contohnya apabila syaithan mengganggu kita dengan mimpi yang bukan-bukan, kita terus bangun dan membaca beberapa doa dan zikir yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Atau terus bangun untuk bersolat malam. Jika ukhtie dalam keadaan uzur tidak dapat bersolat, tetap bangun untuk membaca buku agama sekadar 15-30 minit.

Tindakan-tindakan ini akan menghampakan syaithan kerana gangguannya kita jadikan penggerak untuk melakukan amal salih. Ini akhirnya akan menghampakan syaithan dan dia akhirnya tidak berminat lagi untuk mengganggu kita.

Jangan kerana mimpi yang bukan-bukan kita menjadi sedih, marah, takut, resah atau sebagainya. Ini sebenarnya memberi semangat kepada syaithan untuk terus mengganggu pada malam-malam seterusnya.

Bagi soalan kedua:

Doa memang mujarab akan tetapi hanya apabila ia disertai usaha daripada diri yang berdoa. Oleh itu langkah sepatutnya ialah:

[1] Merancang (plan)
[2] Berdoa agar rancangan tersebut adalah baik dan berjaya.
[3] Mengusahakan rancangan tersebut.
[4] Tawakkal dan redha akan hasil usaha.
[5] Menganalisa diri. Jika rancangan dan usaha berjaya, kita melakukan analisa untuk membuat sesuatu lain yang lebih baik. Jika gagal kita melakukan analisa untuk membetulkannya dalam percubaan seterusnya.

Adakah jodoh sudah ditetapkan oleh Allah? Jawapannya, semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Akan tetapi untuk mengetahui apakah yang telah ditetapkan itu, kita perlu berusaha untuk mencarinya.

Dan yang terpenting, usaha pencarian ini tidak ada titik noktahnya.

wassalam.