HafizFirdaus.com

  • Decrease font size
  • Default font size
  • Increase font size
Utama
Dara.com
Dis 2008 PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Pengendali Laman   
Wednesday, 14 January 2009
Mutiara Doa
“Ya Allah! Hanya bagiMu segala pujian. Engkaulah yang memberi pakaian ini kepadaku. Aku memohon kepadaMu untuk memperoleh kebaikannya dan kebaikan dari tujuan dibuatnya pakaian ini. Aku berlindung kepadaMu dari keburukannya dan keburukan tujuan dibuatnya pakaian ini.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4020]

 

Beberapa pengajaran doa:

1.      Apabila mengenakan pakaian, kita dahulukan dengan bersyukur kepada Allah yang telah memberi kita pakaian itu. Sekalipun ia mungkin pakaian yang biasa dan sederhana, kita tetap bersyukur kepada-Nya.

2.      Kita juga berdoa kepada Allah agar pakaian itu memberikan kebaikan kepada kita, iaitu menutup aurat, melindungi dari kesan cuaca dan memelihara maruah diri.

 3.      Tidak ketinggalan, kita berdoa kepada Allah agar tujuan pemakaian itu tidak melahirkan sifat ujub, sombong dan banding-membanding dengan orang lain.

 

Be first to comment this article | Add as favourites (124) | Quote this article on your site | Views: 2081

 
Dis 2008: Fesyen Seorang Muslimah PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah   
Wednesday, 07 January 2009

          Baru-baru ini Rofbaniah Hamzah menghubungi saya bertanya bagaimana sepatutnya pertandingan “Pencarian Cover Girl” dilakukan dengan cara yang lebih Islamik, bermula dengan fesyen pakaian para pesertanya. Saya menyambut baik pertanyaan ini, membuktikan bahawa majalah Dara.com komited untuk menyampaikan mesej yang Islami kepada para pembacanya tanpa mementingkan nilai komersil sahaja.

          Kebetulan saya saat itu sedang terfikir-fikir, topik apa yang hendak saya tulis untuk ruangan “Cahaya Rohani” edisi Disember 2008 ini. Alang-alang mendapat pertanyaan di atas, saya merasakan ada baiknya dijelaskan tentang syarat-syarat fesyen atau pakaian seorang muslimah.

 

Ciri Pertama: Bukan merupakan pakaian yang meraih kemasyhuran.

          Dalam Islam, segala sesuatu bermula pada niat atau tujuan. Fesyen tidak ketinggalan, di mana syarat pertama adalah ia tidak dipakai demi meraih kemasyhuran. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran, maka Allah akan memakaikannya pada hari Kiamat (pakaian) yang semisal, kemudian membakarnya di dalam pakaian tersebut dengan api neraka.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4029]

          Tidak bertujuan meraih kemasyhuran bukanlah bermakna seorang muslimah tidak boleh memakai pakaian yang baru, kemas, berwarna dan indah. Ini kerana ukuran dalam ciri pertama ini ialah tujuan pemakaian dan bukan apa yang dipakai. Adakalanya seseorang itu turut mencari kemasyhuran dengan memakai pakaian yang buruk, robek dan kelihatan selekeh. Kemasyhuran yang dicarinya adalah mengharapkan pujian daripada orang ramai bahawa kononnya dia memiliki sifat zuhud. Ini juga adalah tujuan pemakaian yang dilarang.

 

Ciri Kedua: Tidak menyerupai pakaian kaum bukan Islam.

          Islam adalah agama yang unik dan sebagai seorang muslimah, anda dituntut meraikan keunikan tersebut. Di antara caranya ialah memakai fesyen yang unik kepada Islam dan menjauhi fesyen yang unik kepada kaum bukan Islam. Ia juga menggambarkan kecintaan dan kebanggaan kita kepada Islam. Seorang sahabat menceritakan: “Rasulullah s.a.w. melihat saya memakai dua buah kain yang berwarna “Ushfur”, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya ini adalah daripada pakaian orang-orang kafir maka janganlah memakainya.” [Shahih Muslim, no: 2077]

 

Ciri Ketiga: Tidak menyerupai kaum lelaki.

          Selain daripada fesyen yang tidak menyerupai orang bukan Islam, seorang muslimah juga dituntut untuk berpakaian yang tidak menyerupai kaum lelaki. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya, no: 5885: “Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

          Hikmah larangan adalah kerana pakaian merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi akhlak dan perbuatan seseorang. Apabila seorang muslimah berpakaian seperti lelaki, dia akan cenderung untuk berakhlak dan bertindak sebagai seorang lelaki. Ini akan menyebabkan berlakunya kesongsangan dalam peranan dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita.

 

Ciri Keempat: Tidak jarang kainnya.

          Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pada akhir umatku nanti akan ada wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang.” [Mu’jam al-Thabarani dengan sanad yang sahih] Maksud Rasulullah dalam hadisnya di atas adalah wanita yang mengenakan pakaian yang jarang kainnya sehingga menampakkan tubuh badan mereka di sebaliknya. Justeru sekalipun mereka berpakaian, mereka sebenarnya tetap telanjang. Oleh itu dalam memilih sesuatu pakaian, hendaklah diperhatikan agar kainnya tidak jarang atau nipis.

 

Ciri Kelima: Tidak menampakkan bentuk badan.
          Rasulullah s.a.w. pernah melihat isteri seorang sahabat yang memakai pakaian yang diperbuat dari kain yang tebal, tetapi menampakkan bentuk badannya. Lantas baginda menegur kepada suaminya: “Suruhlah dia memakai baju dalam di sebaliknya kerana aku bimbang ia menggambarkan bentuk tulangnya.” [Sunan al-Baihaqi dengan sanad yang hasan]

          “Bentuk tulang” ialah kiasan kepada bentuk badan. Akhlak mulia yang ada pada baginda menyebabkan baginda tidak menyebut “bentuk badan” secara terus. Berdasarkan hadis ini, hendaklah seorang muslimah mengenakan pakaian yang dapat menghindari daripada menampakkan bentuk badannya semampu mungkin, seperti memakai baju dalam, baju tambahan di luar, pakaian yang longgar atau pakaian yang diperbuat daripada kain yang tidak mudah mengikut bentuk badan.

 

Ciri Keenam: Menutup aurat.

          Jika diperhatikan segala yang berharga di dunia ini, akan didapati ia dalam keadaan tertutup. Ambil saja contoh emas, berlian dan minyak, ia tertutup jauh di dalam perut bumi. Demikianlah juga bagi seorang muslimah, Islam memandangnya sebagai sesuatu yang berharga sehingga menutupinya, agar kemuliaan dan kehormatannya tetap terjaga. Oleh kerana itulah Allah berfirman:

          “Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya …… jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” [Sebahagian dari ayat 31 surah an-Nur]

          Maka fesyen seorang muslimah hendaklah menutupi keseluruhan dirinya kecuali muka dan apa yang berada di bawah pergelangan tangan. Sebahagian ilmuan berpendapat muka juga patut ditutup. Maksud “belahan leher”, iaitu bentuk “V” di antara buah dada yang lazim didedahkan oleh fesyen masa kini. Justeru apabila memakai tudung, pastikan ia dilabuhkan sehingga menutupi ke bahagian bawah dada.
 

Be first to comment this article | Add as favourites (93) | Quote this article on your site | Views: 5107

 
Nov 2008: Malu - Antara Manusia dan Robot PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah   
Wednesday, 07 January 2009

          Saya diminta menulis tentang malu. Permintaan ini bukan dua tiga hari yang lepas, tetapi dua tiga bulan yang lepas. Namun memandangkan saat itu merupakan musim untuk menulis berkaitan Ramadhan dan Aidil Fitri, maka saya menangguhkannya sehingga edisi bulan November ini. Saya tetap ingat akan tajuk “Malu” ini kerana pada pandangan saya, ia memang amat penting kepada umat Islam. Apatah lagi dalam suasana umat Islam masa kini yang terbahagi kepada dua ekstrim berkenaan sifat malu ini sendiri. Akan tetapi sebelum saya menerangkan tentang kedua-dua ekstrim tersebut, izinkan saya menerangkan terlebih dahulu maksud malu.

Erti Malu.

          Malu dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Haya’. Para ahli bahasa, sebagaimana nukil Imam al-Nawawi rahimahullah, berkata al-Haya’ berasal dari kata Hayah yang bererti kehidupan. Seolah-olah ia bermaksud, antara ciri utama yang menandakan kehidupan sesuatu ialah sifat malu yang ada pada dirinya. Dengan sifat malu inilah seseorang itu memiliki akhlak yang mulia, budi pekerti yang luhur, prinsip hidup yang tinggi, nilai kemanusiaan yang peka dan keprihatinan kepada apa jua perkara yang buruk lagi dilarang agama.

          Lawan kepada hidup ialah mati, maka orang yang tidak memiliki sifat malu seumpama robot yang tidak hidup. Dia mungkin memiliki tubuh manusia tetapi sikapnya lebih kepada sebuah jentera yang tidak memiliki sifat-sifat mulia sebagaimana yang saya sebutkan di atas. Justeru tidaklah memeranjatkan apabila Islam memberi penekanan yang amat tinggi terhadap sifat malu. Bahkan Rasulullah s.a.w. telah menyifatkan malu sebagai salah satu ciri keimanan seseorang. Baginda bersabda: “Iman terdiri daripada tujuh puluh bahagian dan malu ialah salah satu daripada bahagian itu.” [Shahih Muslim, no: 35] Tidaklah seseorang itu menghiasi dirinya dengan sifat malu melainkan ia membawanya kebaikan dalam kehidupan ini. Rasulullah s.a.w. menyatakan hakikat ini: “Malu tidak akan datang melainkan dengan kebaikan.” [Shahih Muslim, no: 35]

          Tentu saja hal ini akhirnya akan membawa seseorang itu ke syurga: “Malu ialah sebahagian daripada iman dan iman itu tempatnya ialah syurga. Sedangkan perkataan yang kotor ialah sebahagian daripada hati yang keras (yakni tidak malu) dan hati yang keras itu tempatnya ialah neraka.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2009]

 

Malu Kepada Siapa?

          Pertama sekali, sifat malu hendaklah ditujukan kepada Allah sw.t., yakni dengan cara menjalani hidup menurut cara yang Allah redhai. Seolah-olah sifat malu itu ialah akhlak seseorang kepada Allah yang sentiasa memerhatikan tingkah-laku kehidupannya. Seorang yang malu kepada Allah tidak akan melakukan satu perkara jua melainkan dia sedar bahawa Allah sedang memerhatinya, lalu dia malu untuk melakukan apa yang tidak diredhai oleh Allah, apatah lagi melakukan apa yang dilarang oleh Allah. Sifat malu seperti ini pernah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.:

          “Malulah kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya!”

          Lalu para sahabat yang hadir bersama berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami memang malu, alhamdulillah.”

          Rasulullah membetulkan: “Bukan itu (malu yang dimaksudkan), akan tetapi (yang dimaksudkan) sebagai malu kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya ialah dengan memelihara kepala dan apa yang ada padanya (yakni ilmu, pemikiran dan imaginasi), perut dan apa yang berhubung dengannya (yakni makanan, minuman dan gerak hati) dan mengingati mati serta kehancuran (yakni Kiamat). Sesiapa yang menginginkan (kejayaan) akhirat, maka hendaklah dia meninggalkan perhiasan dunia. Maka sesiapa saja yang melakukan semua itu, sungguh dia telah malu kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2458]

          Malu seorang manusia kepada manusia yang lain hanya akan menjadi benar jika dia terlebih dahulu malu kepada Allah. Ini kerana dengan malu kepada Allah, dia akan tahu bagaimana seharusnya dia malu kepada sesama manusia. Ketidaktahuan inilah yang menyebabkan manusia terbahagi kepada dua ekstrim tentang sifat malu.

 

Ekstrim Pertama: Tidak Malu.

          Sepertimana yang saya nyatakan di awal penulisan ini, umat Islam terbahagi kepada dua ekstrim berkenaan sifat malu. Ekstrim yang pertama ialah tidak malu langsung, sama ada kepada Allah mahupun kepada sesama manusia. Dia tidak merasakan kehadiran Allah memerhatikan tingkah-lakunya, sehingga dengan itu dia merasa bebas melakukan apa saja yang disukainya dalam kehidupan ini.

          Orang seperti ini ialah manusia yang hidup dari sudut jasmani, tetapi mati dari sudut rohani. Dia seumpama robot, bahkan mungkin lebih buruk dari robot. Ini kerana sebuah robot tidak akan melakukan tindakan yang buruk selagi mana perekanya tidak memprogramkannya untuk melakukan hal itu. Lebih dari itu sebuah robot tidak akan melawan perekanya kerana pereka itu telah berpesan, yakni memprogramkan robot itu, agar tidak melawannya. Berbeza dengan seorang manusia, dia berani melawan Penciptanya sekalipun Pencipta itu telah berulangkali berpesan dalam al-Qur’an dan melalui lisan Rasul-Nya, agar tidak melawan-Nya. Pencipta yang saya maksudkan ialah Allah s.w.t..

 

Ekstrim Kedua: Terlebih Malu.

          Iyya! Ekstrim kedua ialah terlebih malu sehingga dia lebih rela mendiamkan diri daripada melakukan sesuatu tindakan, sekalipun tindakan itu dituntut oleh Allah dan memiliki manfaat untuk dirinya dan manusia yang lain. Atas alasan malu, dia enggan mengajak orang lain ke arah kebenaran. Atas alasan malu, dia berdiam diri melihat orang lain melakukan kesalahan. Atas alasan malu, dia menzalimi dirinya sendiri dengan tidak bertanya tentang sesuatu ilmu, sekalipun dia mengetahui ilmu itu penting dan bermanfaat bagi dirinya.

          Sikap-sikap di atas bukanlah malu yang terpuji, yang dituntut oleh Islam. Sebaliknya ia adalah malu yang tercela kerana menyebabkan hak-hak Allah diabaikan. Padahal malu yang benar kepada Allah akan menyebabkan seseorang itu tidak rela membiarkan hak-hak Allah dilanggar, melainkan diusahakan sesuatu bagi membetulkannya.

          Selain itu, seseorang yang memiliki sifat malu yang benar tidak akan merelakan dirinya dizalimi oleh dirinya sendiri. Para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak pernah malu untuk bertanya soalan-soalan agama, sekalipun ia terhadap isu peribadi seperti mandi hadas dan haid. Sehinggakan Aisyah, isteri Rasulullah s.a.w., pernah berkata: “Sungguh bagus para wanita Ansar ini (warga Madinah) di mana sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka daripada mempelajari ilmu agama.” [Shahih Muslim, no: 332-3].

Be first to comment this article | Add as favourites (91) | Quote this article on your site | Views: 3045

 
Okt 2008: Peliharalah Kemuliaan Aidil Fitri PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah   
Wednesday, 07 January 2009

          Umat Islam memiliki dua hari sambutan atau hari perayaan, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Memandangkan kita hanya memiliki dua hari perayaan, maka amatlah penting untuk kita memelihara ketulenan dan kemuliaannya agar ia benar-benar selari dengan kehendak agama. Justeru pada kesempatan ini, saya ingin memberi tumpuan kepada perkara yang merosakkan kemuliaan Aidil Fitri dan Aidil Adha. Kerosakan yang saya maksudkan bukanlah sambutan secara berpesta (party) atau acara yang melibatkan pencampuran bebas antara lelaki dan wanita. Saya yakin para pembaca Dara.com sekalian telah mengetahui kesalahannya dari sudut Islam dan tidak akan menyambut hari perayaan Islam dengan aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam.

          Namun kerosakan yang maksudkan mengarah kepada beberapa hadis yang amat lemah dan palsu yang sering dibaca dan ditulis dalam media berkenaan Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hadis-hadis tersebut ada yang menganjurkan ibadah di malam atau pagi hari raya, sama ada Aidil Fitri atau kedua-dua Aidil Fitri dan Aidil Adha. Bagi para pembaca yang kurang faham apa maksud hadis yang amat lemah dan palsu, silalah merujuk ke majalah Dara.com edisi September 2008.

 

Ibadah Di Malam Hari Raya.

          Tidak ada apa-apa ibadah khusus yang disyari’atkan pada malam Aidil Fitri dan Aidil Adha kecuali takbir hari raya. Akan tetapi di kalangan umat Islam ada yang memperbanyakkan ibadah pada malam atau pagi hari raya. Kesalahan ini tidak terletak di bahu mereka secara keseluruhan kerana diketahui ada beberapa pihak yang suka menyebarkan hadis-hadis yang amat lemah lagi palsu yang menganjurkan tambahan ibadah tersebut.

          Antaranya ialah hadis yang berbunyi “Sesiapa yang berqiamulail pada malam dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) kerana mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati.”

          Hadis lain menyebut “Sesiapa yang menghidupkan empat malam berikut (dengan ibadah), maka wajiblah baginya syurga: malam Tarwiyah, malam Arafah, malam Aidil Adha dan malam Aidil Fitri.”

          Kemudian terdapat juga hadis “Tidaklah seorang hamba yang solat enam rakaat pada malam hari raya (Aidil Fitri atau Aidil Adha) melainkan dia akan dapat memberi syafaat kepada ahli rumahnya (kaum keluarga) yang semuanya telah ditentukan hukuman neraka.”

          Ada juga hadis yang menjanjikan “Malam Aidil Fitri ialah malam rahmat, Allah memerdekakan padanya hamba-hamba-Nya dari neraka. Maka sesiapa yang bersolat dua rakaat pada malam itu nescaya Allah menulis baginya pahala puasa Ramadhan yang menyamai pahala kanak-kanak dan orang tua – lelaki mahupun wanita.”

          Terdapat sebuah hadis yang panjang, di mana permulaannya adalah “Demi Allah yang telah mengutuskan aku sebagai Nabi dengan membawa kebenaran bahawa Jibrail telah memberitahu kepadaku daripada Israfil daripada Tuhannya, bahawa sesiapa bersolat seratus rakaat pada malam Aidil Fitri, pada tiap-tiap rakaat dia membaca al-Fatihah sekali dan surah al-Ikhlas sepuluh kali…(hingga akhir)”.

          Terdapat juga hadis yang konon menjanjikan kemakbulan doa “Ada lima malam yang tidak akan ditolak doa padanya: malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, malam Aidil Fitri dan malam Aidil Adha.” Hadis ini dan hadis-hadis lain di atas semuanya bertaraf amat dhaif dan palsu sehingga tidak boleh dijadikan sandaran mahupun hujah untuk beramal ibadah.

          Ringkasnya, tidak ada ibadah khusus untuk malam Aidil Fitri mahu pun Aidil Adha. Jika para pembaca sekalian lazim bangun malam untuk berqiamulail, maka teruskanlah ia sekali pun pada kedua-dua malam tersebut. Akan tetapi jika tidak lazim, maka tidak perlu mengkhususkan malam Aidil Fitri mahu pun Aidil Adha untuk apa-apa ibadah. Ini kerana kedua-dua malam tersebut tidak memiliki apa-apa kelebihan berbanding malam-malam yang lain.

 

Ibadah Di Pagi Aidil Fitri.

          Tidak ada apa-apa ibadah khusus pada pagi Aidil Fitri dan Aidil Adha melainkan takbir hari raya dan solat sunat Aidil Fitri sebanyak 2 rakaat diikuti dengan khutbah hari raya selepas solat. Hukum solat sunat tersebut adalah sunat muakkadah (sunat yang amat dituntut) manakala hukum khutbah hari raya ialah sunat. Tidak ada solat sunat sebelum (qabliyah) atau sesudah (ba’diyah) solat sunat Aidil Fitri mahu pun Aidil Adha. Dalam bab ini terdapat hadis yang menganjurkan solat sunat sesudah solat sunat Aidil Fitri atau Aidil Adha, akan tetapi hadis tersebut adalah palsu.

          Antaranya ialah “Sesiapa bersolat empat rakaat pada hari Aidil Fitri sesudah dia mengerjakan solat hari raya, pada rakaat pertama dia membaca al-Fatihah dan surah al-‘Ala, pada rakaat kedua surah asy-Syamsi, pada rakaat ketiga surah adh-Dhuha dan pada rakaat keempat surah al-Ikhlas, maka seakan-akan dia membaca semua kitab Allah yang telah diturunkan ke atas para Nabi, dan seakan-akan dia telah mengenyangkan semua anak yatim… (hingga akhir).”

          Terdapat juga sebuah hadis lain “Termasuk sunnah ialah mendirikan solat sunat dua belas rakaat sesudah solat Aidil Fitri dan mendirikan solat sunat enam rakaat sesudah solat sunat Aidil Adha.” Kedua-dua riwayat di atas adalah palsu dan tidak boleh dijadikan hujah dalam beribadah.

 

Kebaikan Ialah Mengikut Ukuran Allah
          Mungkin di kalangan pembaca ada yang bertanya “Apa salahnya kalau kita mengkhususkan malam dan pagi Aidil Fitri serta Aidil Adha dengan tambahan ibadah? Bukankah itu sesuatu yang baik?” Ketahuilah bahawa kebaikan dalam urusan ibadah tidak terletak pada ukuran manusia tetapi terletak pada ukuran Allah. Ini kerana kita sebagai hamba hanya menyembah kepada Allah sebagai Tuhan dengan bentuk dan kadar ibadah yang ditentukan oleh-Nya. Kita tidak tahu apakah ibadah yang baik melainkan apa yang dikhabarkan oleh Allah melalui al-Qur’an dan hadis-hadis yang kuat darjatnya.

          Lebih dari itu Aidil Fitri dan Aidil Adha ialah hari perayaan bagi umat Islam. Hari perayaan yang disambut dengan kegembiraan dan keceriaan. Oleh kerana itulah Allah sekadar mensyari’atkan ibadah yang sedikit kadarnya agar masa selebihnya dapat diluangkan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Be first to comment this article | Add as favourites (113) | Quote this article on your site | Views: 3667

 
Sep 2008: Peliharalah Kemuliaan Bulan Ramadhan PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah   
Wednesday, 07 January 2009

     Alhamdulillah bulan Ramadhan menyusul kembali. Bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam. Bulan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi pengampun bagi dosa-dosa kecil dari Ramadhan yang sebelumnya, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan sehingga kita semua amat bermotivasi untuk beramal ibadah dan melakukan kebajikan. Dalam bulan ini pada sepuluh malam yang terakhir, terdapat satu malam yang lebih baik berbanding bulan yang lain.

     Akan tetapi sayang sekali ada sebahagian orang yang merosakkan kemuliaan bulan Ramadhan. Kerosakan yang dimaksudkan bukanlah mereka yang tidak berpuasa pada siang hari dan bukanlah mereka yang melakukan aktiviti maksiat pada malam hari. Akan tetapi ia merujuk kepada mereka yang suka menyampaikan hadis-hadis yang amat lemah lagi palsu berkaitan bulan Ramadhan.

Sekelumit Tentang Ilmu Hadis.

     Sebelum meneruskan, izinkan saya berkongsi sedikit berkenaan ilmu hadis. Hadis merujuk kepada ucapan dan tindakan Rasulullah s.a.w.. Umat Islam pada zaman kehidupan Rasulullah s.a.w., yang masyhur dikenali dengan gelaran “para sahabat”, sangat memerhatikan segala ucapan dan tindakan baginda. Mereka menghafalnya, mempraktikkannya dan menyampaikan kepada generasi umat Islam yang baru. Pada mulanya hadis-hadis tidak dicatit secara formal. Catitan tidak dianggap penting kerana sebutan dan praktik harian generasi demi generasi dapat menggantikan pena dan kertas. Hanya kira-kira seratus tahun selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., usaha membukukan hadis-hadis baginda dimulakan secara formal.

     Apabila disebut generasi demi generasi, di kalangan mereka ada yang baik agamanya, jujur lagi kuat ingatan. Mereka benar-benar telah bersemuka di antara satu generasi ke generasi yang lain. Hadis-hadis yang mereka amal dan sampaikan dibukukan secara rapi dan dikenali sebagai “hadis sahih”. Ada juga yang menepati ciri-ciri di atas tetapi memiliki daya ingatan yang sederhana. Hadis-hadis yang mereka amal dan sampaikan dikenali sebagai “hadis hasan”. Di antara generasi tersebut ada yang memiliki ingatan yang lemah atau diragui sama ada pernah bersemuka antara generasi ke generasi yang lain. Hadis-hadis mereka dikategorikan sebagai “hadis dhaif”.

     Perhatian kita ditumpukan kepada orang-orang yang menyampaikan hadis padahal mereka dikenali sebagai orang yang buruk agamanya. Mereka lazim mencipta hadis-hadis sendiri atau mengambilnya dari sumber yang tidak diiktiraf lalu mendakwa ia adalah sabda Rasulullah s.a.w. Hadis-hadis ini telah ditapis dan dikenal pasti oleh para ahli hadis dan mereka mengkategorikannya sebagai “hadis dhaif jiddan (hadis yang amat lemah)” atau “hadis maudhu’ (hadis palsu)”.

 

Beberapa Contoh Hadis Amat Lemah Dan Palsu.

     Pertama dan yang paling masyhur ialah hadis: “Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan pengakhirnya adalah kebebasan dari neraka.” Kedua ialah hadis: “Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.” Hadis lain yang berbeza menyebut: “Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan Allah” manakala yang lain menyebut: “Bulan Ramadhan adalah bulan Allah dan bulan Sya’ban adalah bulanku. Sya’ban menyucikan dan Ramadhan menghapuskan dosa.” Semua ini adalah hadis palsu atau yang amat lemah.

     Seterusnya ialah hadis: “Awasilah bulan Ramadhan kerana ia adalah bulan Allah. Allah menjadikan untuk kamu sebelas bulan untuk kamu mengenyangkan perut dan melepaskan dahaga. Bulan Ramadhan adalah bulan Allah, maka hendaklah kamu jaga diri kamu padanya.” Termasuklah juga hadis: “Sesiapa mengerjakan puasa bulan Ramadhan secara diam, tenang dan menahan pandangan dan anggota-anggota dari melakukan yang haram dan bohong, maka Allah mendekatinya pada Hari Kiamat sehingga lututnya bersentuh dengan lutut Nabi Ibrahim.” Kedua-dua hadis ini adalah palsu, ia dibuat-buat sendiri lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w..

     Termasuk hadis palsu ialah: “Ramadhan di Madinah lebih baik dari seribu Ramadhan di negeri-negeri lain dan Jumaat di Madinah lebih baik dari seribu Jumaat di negeri-negeri lain.” Juga hadis: “Apabila awal malam pertama bulan Ramadhan, Allah memandang kepada makhluk-Nya dan apabila Allah memandang kepada para hamba-Nya, nescaya Dia tidak akan mengazabnya untuk selama-lamanya. Dan pada tiap-tiap malam Allah mempunyai seribu orang yang dibebaskan dari neraka.”

     Demikian beberapa contoh hadis-hadis yang amat lemah lagi palsu yang sering dikemukakan secara bertulis atau lisan dalam majalah, akhbar dan ceramah agama. Terdapat banyak lagi hadis-hadis seperti ini berkaitan Ramadhan. Para pembaca dijemput mengkaji buku Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’, jilid 1 dan 2 susunan Drs. Abdul Ghani Azmi rahimahullah, terbitan al-Hidayah, Kuala Lumpur.

 

Hukum Menyampaikan Hadis Amat Lemah Dan Palsu.

     Sebahagian pembaca mungkin bertanya: “Apa salahnya menyampaikan hadis-hadis tersebut? Bukankah ia baik?” Jawapannya, baik atau buruk ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Agama Islam milik Allah dan hanya Dia yang berhak menentukan apa yang baik dan buruk melalui pesuruh-Nya, Muhammad bin Abdullah s.a.w.. Apabila kita berkata itu dan ini baik mengikut pertimbangan sendiri, seolah-olah agama Islam ini adalah milik kita dan kita adalah tuhan yang mensyari’atkannya. Sudah tentu ini adalah kesalahan besar yang masuk ke dalam bab syirik. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w. memberi amaran keras: “Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku maka dia akan memasuki neraka.” [al-Lu’ Lu’ wal Marjan, no: 1]

     Orang yang menyampaikan hadis yang amat lemah atau palsu termasuk dalam kategori orang berdusta atas nama Rasulullah. Tidak ketinggalan ialah orang yang menyampaikan hadis sesuka hati tanpa mengetahui sumber mahupun darjat, dia juga termasuk orang yang berdusta atas nama Rasulullah. Imam al-Thohawi rahimahullah (321H) menjelaskan:“Sesiapa yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah s.a.w. berdasarkan sangkaan, bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara batil. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadis. Mereka termasuk dalam sabdanya: “Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka.”  Kami berlindung daripada Allah Ta‘ala daripada yang sedemikian.” [Musykil al-Atsar (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld. 1, ms. 123]
 

Be first to comment this article | Add as favourites (83) | Quote this article on your site | Views: 3016

 
<< Mula < Sebelum 31 32 33 34 35 Kemudian > Akhir >>

Keputusan 289 - 297 terhadap 310
 
 

Statistik

822,448Visitors:
643Visitors today:
825Visitors yesterday:
352.47Visitors per day: Ø
3,810,444Page views:
3,042Page views today:
3,721Page views yesterday:
1,633.01Page views per day: Ø
4.63Page views per visitor: Ø
7Page views this page:
81Your own page views:
max.
64Max. online:
2009-05-21, 14:45:31at (date):
1,334Max. visitors per day:
2010-08-11at (date):
21,487Max. page views per day:
2010-08-19at (date):
 
2007-11-13Statistics started:
Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 3.0 Unported License.