al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

 
 

Kata Pengantar

            Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Subhanahu waTa’ala, Rabb sekalian alam. Salam serta Selawat ke atas Rasul-Nya Muhammad bin Abdullah, juga ke atas semua ahli keluarga baginda dan para sahabat, radiallahu-anhum.

            Sejak saat pertama syari’at Islam diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, kewajipan mentaati Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam merupakan dasar dan prinsip penting yang tidak boleh disisihkan. Allah Tabaraka waTa’ala telah berulang kali memerintahkan kewajipan mentaati Rasulullah di dalam al-Qur’an, seperti firman--Nya:

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman. [al-Anfal 8:01]

Senada dengan perintah ini ialah sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

           “Semua umat aku akan masuk syurga kecuali sesiapa yang enggan.” Bertanya para sahabat: “Siapakah yang enggan wahai Rasulullah ?” Jawab Baginda: “Sesiapa yang mentaati aku akan masuk syurga dan sesiapa yang mengingkari aku maka dialah yang enggan.” [1]

           Allah Azza waJalla juga menerangkan bahawa apabila Dia dan RasulNya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam menetapkan sesuatu hukum dan urusan agama, umat Islam lelaki dan perempuan tidak memiliki hak untuk menukar atau memilih ketetapan yang lain. Sesiapa yang ingkar akan perintah ini, maka sesatlah mereka dalam kesesatan yang nyata. Firman Allah:

            Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33:36]

Senada dengan ayat ini ialah wasiat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya – Kitab Allah dan sunnah NabiNya.[2]

Selain daripada perintah mentaati yang khususnya ditujukan kepada urusan yang berkaitan dengan syari’at agama, Allah Subhanahu waTa’ala juga telah menganjurkan umat Islam untuk mengikuti dan meneladani Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan duniawi seperti tingkah laku, etika dan perjalanan hidup. Ini selari dengan sifat Rasulullah yang memiliki akhlak mulia lagi terpuji. Firman Allah:

Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.[al-Qalam 68:04]

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. [al-Ahzaab 33:21]

Namun sayang sekali ada segelintir umat Islam yang menolak kedudukan, kepentingan dan peranan Rasulullah sallallahu-alahi-wasallam dalam Islam. Mereka berkata tugas Rasulullah hanyalah membawa al-Qur’an kepada manusia. Justeru yang sebenarnya patut ditaati, dirujuki dan diikuti adalah kitab al-Qur’an sahaja, tidak lebih dari itu. Umat yang segelintir inilah yang dikenali sebagai Golongan Anti Hadis.

Di Malaysia fahaman menolak hadis mula tersebar di sekitar tahun lapan puluhan akan tetapi fahaman ini terhalang sebentar apabila pihak-pihak berwajib mengambil tindakan menghalangnya, seperti mengeluarkan fatwa yang menerangkan kesalahan mereka dan melarang terbitan buku-buku mereka.[3] Namun hal ini tidaklah menyekat aktiviti dan gerakan dakwah Golongan Anti Hadis. Mereka kini memiliki medium yang lebih hebat dan berkesan, iaitu medium internet. Selain itu mereka juga berdakwah dengan kaedah menulis artikel dan rencana dalam akhbar tempatan, mengedarkan risalah percuma dari rumah ke rumah dan menampal poster di tempat-tempat awam.

Sasaran utama Golongan Anti Hadis adalah orang awam yang kurang ilmu pengetahuan tentang agama Islam. Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Golongan Anti Hadis nampak seolah-olah benar lagi sahih sehingga akhirnya terikutlah mereka menolak dan menyisihkan hadis Rasulullah sallalahu-alaihi-wasallam dari syari’at Islam.

Maka kerana itulah buku yang berada di tangan para pembaca ini diusahakan. Ia membahas, menjawab dan menerangkan kesalahan serta kekeliruan hujah-hujah dasar yang dikemukakan oleh Golongan Anti Hadis yang terdapat di laman-laman internet mereka. Sebenarnya hujah-hujah yang dikemukakan oleh Golongan Anti Hadis telahpun dibahas dan dijawab semuanya oleh para ilmuan Islam sama ada di negara-negara Timur Tengah, Asia Barat (India & Pakistan), Amerika Syarikat, Eropah dan di Asia Tenggara. Hanya sahaja hasil-hasil tulisan mereka sukar diperolehi oleh masyarakat awam, termasuk yang ditulis oleh ilmuan-ilmuan tanah air. Oleh itu peranan penulis dalam menyusun buku ini adalah lebih kepada menghimpun sumber-sumber rujukan tersebut dan menukilkan hujah-hujahnya.

Buku ini tidaklah khusus ditujukan kepada mereka yang pernah didakwah oleh Golongan Anti Hadis sahaja. Sesiapa sahaja boleh membaca buku ini dan menjadikan ia sebagai “perisai ilmu” seandainya di satu hari nanti mereka didakwah atau bersemuka dengan Golongan Anti Hadis. Adalah juga diharapkan buku ini dapat menyedarkan ahli-ahli Golongan Anti Hadis sendiri akan kesilapan mereka sehingga akhirnya dapat mengembalikan mereka ke jalan yang sebenar.

Buku ini disusun dalam 3 bahagian:

Bahagian pertama menganalisa, membahas, menjawab dan menerangkan kesalahan 20 hujah asas Golongan Anti Hadis. Di sini disenaraikan 20 hujah sahaja kerana sekalipun kelihatan seolah-oleh mereka mempunyai banyak hujah dan alasan, namun ketahuilah semua itu hanya merupakan terbitan dari 20 kelompok hujah asas ini. Dengan terjawabnya 20 hujah asas ini maka terjawablah juga puluhan hujah-hujah mereka yang lainnya.

Bahagian kedua menjelaskan secara mendalam akan kekuasaan dan authority yang diberikan oleh Allah Azza waJalla kepada Rasul-Nya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam untuk menggubal dan menjatuhkan hukum-hukum syari’at Islam. Penjelasan ini adalah perlu bagi menjawab persoalan apakah Rasulullah wajib ditaati dalam perkara-perkara yang dihukum oleh baginda tetapi tidak oleh al-Qur’an. Ia juga sebagai menjawab tuduhan Golongan Anti Hadis bahawa sunnah Rasulullah mengandungi banyak ajaran, perintah dan larangan yang tidak selari dengan al-Qur’an.

Bahagian ketiga pula membicarakan ragam serta kaedah kajian yang dilakukan oleh para sarjana orientalis terhadap hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Perbicaraan ini dirasakan perlu kerana ramai umat Islam yang terpengaruh dengan hasil kajian orientalis, kononnya kajian mereka adalah bersifat ilmiah, berfakta, dan berasal dari sumber-sumber rujukan Islam sendiri. Maka dalam bahagian ini akan dibongkar 10 jenis “kecacatan” yang terdapat dalam kajian para orientalis.

Terjemahan ayat-ayat al-Qur’an dalam buku ini penulis rujuk kitab Tafsiran Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an oleh Abdullah Basmeih. Diketahui bahawa Golongan Anti Hadis dalam salah satu laman internet mereka telah mengkritik kitab ini kerana terjemahannya memiliki beberapa tambahan berbanding teks Arab yang asal. Juga kerana beberapa istilah Arab al-Qur’an telah ditukar kepada istilah yang lain seperti istilah Solat Fajar yang telah diterjemahkan sebagai Sembahyang Subuh.

Kritikan ini tidak perlu diberikan perhatian yang mendalam kerana kita sama-sama mengetahui bahawa kekayaan dan kemukjizatan bahasa Arab al-Qur’an tidak dapat “diwakilkan” ke bahasa Melayu dengan kaedah terjemahan harfiyah semata-mata (word by word translation) melainkan perlu disertakan beberapa tambahan dan penjelasan.[4] Manakala penukaran istilah Solat Fajar kepada Sembahyang Subuh adalah kerana kitab ini ditujukan kepada orang Malaysia, bukan orang Arab. Istilah yang dikenali di Malaysia ialah Sembahyang Subuh dan bukannya Solat Fajar. Perbezaan istilah tidaklah menjejaskan apa-apa kerana kedua-duanya tetap mewakili perintah, perbuatan dan ibadah yang sama. Walaubagaimanapun penulis tidak nafikan beberapa kritikan yang benar dan patut diberikan perhatian seperti beberapa penjelasan tambahan yang tidak diletakkan dalam kurungan, mungkin kerana terlupa atau kesilapan penerbit dan tidak adanya penomboran bagi surah-surah dalam setiap mukasurat (bahagian header) bagi memudahkan rujukan dan kajian para pembaca.

Hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam pula diterjemahkan sendiri oleh penulis. Setiap hadis-hadis ini termasuk kata-kata sahabat dan tabiin penulis semak dahulu statusnya sama ada sahih, hasan atau daif berdasarkan penilaian yang diberikan oleh mereka yang pakar dalam bidang ini. Bagi hadis-hadis dan kata-kata sahabat yang tidak disemak oleh pakar hadis, maka penulis sendiri yang menilainya sekadar mampu.[5]

Inilah kaedah sebenar dalam menghujahkan sesuatu hadis. Harapnya para pembaca dapat mendisiplinkan diri dengan kaedah ini terutamanya apabila sahaja berinteraksi dengan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Atau paling tidaknya hendaklah setiap hadis diketahui secara pasti sumber rujukannya. Ini adalah penting memandangkan banyak hadis-hadis lemah dan palsu yang disebarkan merata-rata dalam bentuk lisan (ceramah & kuliah) dan bertulis (buku & artikel).

Insya-Allah diharapkan buku ini dapat mencapai tujuannya dan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan pembaca sepertimana yang penulis nyatakan di atas. Seandainya ada kebaikan dan manfaat dari buku ini maka ia adalah dari hidayah dan bimbingan Allah Subhanahu waTa’ala manakala seandainya ada kekurangan dan kesilapan maka ia adalah dari kelemahan penulis sendiri. Nasihat, tunjuk ajar dan teguran dari para pembaca amat dialu-alukan. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel atau surat-menyurat yang dialamatkan kepada penerbit.

Perlu juga diingatkan bahawa suatu hari nanti buku ini akan dibalas balik oleh tokoh-tokoh Golongan Anti Hadis dalam mana-mana website mereka. Para pembaca tidak perlu khuatir kerana apa yang akan mereka balas sebenarnya tetap berkisar kepada segala hujah-hujah asas yang telah penulis gariskan dalam buku ini, hanya hujah balas tersebut mereka sampaikan dengan kosmetik yang berlainan. Bagi menangani hujah balas ini, ketajaman, keluasan ilmu dan kebijaksanaan para pembaca sangat diperlukan.  Jika para pembaca sekalian menghadapi kesukaran, maka ia adalah petanda untuk mendalamkan lagi ilmu-ilmu agama yang para pembaca sedia miliki. Janganlah biarkan kejahilan orang lain menyebabkan kita juga menjadi jahil, sebaliknya jadikanlah ia pemangkin untuk terus mencari dan mendalami ilmu.

Sebelum mengakhiri muqaddimah ini, ingin penulis ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada ramai rakan-rakan yang telah membantu menjayakan penyelidikan dan penghasilan buku ini, antaranya ialah Ghafarullahhuddin bin Hj. Din, Heizal Hezry bin Omar dan Najah Nadiah binti Amran. Tidak ketinggalan adalah kedua ibubapa, isteri dan anak-anak penulis yang sentiasa memberi rangsangan dan sokongan agar buku ini dapat dilengkapkan sebaik mungin.

 

 

Hafiz Firdaus Abdullah
[email protected]
1 Jamadil Awal 1422

 


[1]               Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Bukhari dan al-Hakim, lihat Sahih Bukhari – no: 7280. (Kitab berpegang teguh kepada Kitab dan Sunnah).

[2]              Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Malik dalam al-Muwattha’ - no: 1619 (Kitab al-Jami’, Bab Larangan memastikan Takdir). Berkata Malik apabila meriwayatkan hadis ini: balaghni........ bermaksud“disampaikan kepada aku”  (atau dari sudut catitan anak murid beliau dengan kata-kata: “Dari Malik, disampaikan kepadanya……” ) bererti bahawa beliau telah menerimanya dari sejumlah tabiin, dari sejumlah sahabat dari jalan-jalan yang banyak sehingga tidak perlu disertakan isnadnya. Ini adalah kaedah periwayatan hadis yang sahih mengikut syarat Malik bin Anas. Lihat Qadi Iyad – Tartib al Madarik, jld 1, ms 136; Ibnu Abdil Bar - at-Tamhid, jld 1, ms 34; al-Zarqani - Syarah al- Muwattha’, jld 4, ms 307 dan Hassath binti Abdul Aziz Sagheir – Hadis Mursal: Baina Maqbul wa Mardud, jld 2, ms457-470.

[3]              Contoh salinan fatwa boleh dirujuk dalam buku Anti Hadis: Jarum Yahudi, ms 116 oleh Hj. Isa Ismail dan Yusuf Hj. Wanjor.

[4]              Lebih lanjut lihat A.L. Tibawi dalam artikelnya - Is The Qur’an Translatable ? – Early Muslim Opinion yang beliau muatkan dalam buku: Arabic and Islamic Themes: Historical, Educational and Literary Studies, pg 79-81. Bagi mengetahui pelbagai faktor dan unsur yang perlu dipertimbangkan oleh seseorang apabila menterjemahkan al-Qur’an, lihat bahagian muqaddimah buku The Qur’an: Translation and Commentary oleh al-Hajj Ta’lim Ali (dahulunya T.B. Irving).  

[5]              Penilaian status sahih, hasan atau daif bagi sesuatu riwayat yang dinilai oleh penulis adalah berdasarkan kepada penilaian isnad dan matannya. Oleh itu apabila penulis menilai sesuatu riwayat sebagai hasan, ia mewakili salah satu dari 3 kedudukan berikut:

[1]                 Isnadnya memiliki kelemahan yang tidak dapat mendudukkannya di tangga sahih tetapi kelemahan tersebut tidak memudaratkan hingga tidak sampai ke tangga daif. Oleh itu ia terletak di pertengahan antara sahih dan daif.

[2]                Isnadnya terdiri dari beberapa jalan (turuq) periwayatan, setiapnya adalah lemah dan memiliki kecacatan akan tetapi ia saling menyokong antara satu sama lain sehingga dapat dinaikkan ke tangga hasan, lebih tepatnya hasan li-ghairihi (hasan kerana jalan-jalan selainnya).

[3]                Isnadnya memiliki kelemahan dan kecacatan tetapi matannya – iaitu erti, maksud dan pengajaran teks disokongi oleh dalil-dalil lain yang sahih, atau selari dengan tujuan keseluruhan syari’at Islam. Hadis atau atsar seperti ini penulis mendudukannya di tangga hasan juga, lebih tepatnya isnaduhu daif wa matnuhu sahih (isnadnya daif dan maksudnya sahih).

 

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian