PEDOMAN-PEDOMAN BERMAZHAB DALAM ISLAM
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
{ al-Firdaus.Com }

 

 

6 Beberapa Contoh Sikap Taksub Mazhab

 

 

Flowchart: Document: Sikap taksub mazhab juga boleh menye-babkan para pengikut sesebuah mazhab sanggup mencipta hadis-hadis palsu bagi membenarkan mazhab sendiri.Dalam bab sebelumnya kita telah dapat mengetahui beberapa sifat terbuka para imam mazhab apabila menghadapi perbezaan dalam pendapat mereka. Sifat yang mulia ini malangnya tidak diteladani oleh sebahagian umat Islam. Mereka dengan semampu boleh mempertahankan kebenaran mazhab mereka, bukan sahaja dari sudut ilmiah tetapi juga dari sudut politik, keturunan dan sebagainya.

Berikut ini akan dikemukakan beberapa contoh dari sikap taksub mazhab yang pernah dan sedang dialami oleh dunia Islam masa kini. Tujuannya ialah untuk menyedarkan kita akan kekerdilan fikiran sesetengah pihak sehingga menyebabkan timbulnya perselisihan yang besar daripada satu perkara yang asalnya tidak berselisih.

Contoh Pertama:

Suasana taksub bermazhab yang paling jelas ialah apabila jamaah yang melaksanakan solat fardhu dibahagikan kepada 4 kumpulan di Masjid al-Haram. Perkara ini berlaku sebelum tahun 1342H/1924M. Lebih menyedihkan, suasana begini berlaku di hadapan Ka�bah padahal Ka�bah itu sendiri merupakan binaan yang mengisyaratkan persatuan umat Islam.

Suasana sebegini masih berlaku di beberapa masjid yang lain di negara yang rakyatnya mengikuti lebih dari satu mazhab. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh al-Albani rahimahullah tentang apa yang berlaku di Syria:

Adakalanya didapati sebahagian jemaah itu masih menunggu kedatangan imam mazhab mereka padahal di sebelah mereka jamaah mazhab lain sudahpun memulakan solat bersama imam mereka. Mereka enggan berjamaah bersama di belakang satu imam hanya kerana perbezaan mazhab. Mereka berpendapat solat imam mazhab lain diragu-ragukan dan boleh dipersoalkan, malah ada yang mengatakan ianya tidak sah.[1]

Contoh Kedua:

Contoh yang lain ialah berkenaan membaca doa qunut dalam solat Subuh. Dalam Mazhab al-Syafi�e, membaca doa qunut dihukum sunat manakala dalam mazhab Hanafi dan Hanbali ianya tidak sunat.

Dalam menghadapi suasana perbezaan seperti ini, segelintir ulama� al-Syafi�eyyah[2] yang berfatwa bahawa seorang jamaah mazhab al-Syafi�e wajib melakukan sujud sahwi di akhir solat subuhnya apabila dia menjadi makmum kepada seorang imam dari mazhab lain yang tidak membaca doa qunut.[3]  Di samping itu ada pula yang memfatwakan bahawa seorang jamaah mazhab al-Syafi�e yang menjadi makmum di belakang imam mazhab lain yang tidak membaca doa qunut boleh mengangkat tangannya membaca doa qunut subuh selagi sempat ketika imam tersebut sedang iktidal mahupun sedang turun ke posisi sujud.[4]

Kedua-dua fatwa di atas jelas merupakan sesuatu yang dikeluarkan kerana sikap taksub kepada mazhab. Ia jelas menyalahi perintah Rasulullah shallallahu �alaihi wasallam yang menerangkan bahawa imam itu adalah untuk diikuti oleh jamaah dalam setiap perlakuannya. Perintah baginda:

Sesungguhnya dijadikan seorang imam hanyalah untuk diikuti, maka janganlah kamu berbeza dengannya. Maka apabila (dia) rukuk maka rukuklah, apabila dia membaca �Sami Allahuliman Hamidah� maka bacalah �Rabbana lakalhamdu�. Dan apabila (dia) sujud maka sujudlah dan apabila (dia) solat duduk maka bersolatlah kamu semua dengan cara duduk.[5]

Fatwa dan pendapat di atas juga menyalahi contoh yang ditunjukkan oleh al-Syafi�e sendiri di mana dalam satu riwayat yang terkenal, beliau telah mengimami solat subuh bersama ahli jamaah mazhab Hanafi tanpa berqunut. Apabila ditanya kenapa dia tidak berqunut, al-Syafi�e menjawab bahawa ia adalah sebagai menghormati Abu Hanifah.[6]

Contoh Ketiga:

Sikap taksub mazhab tidak terhad kepada persoalan ibadah sahaja. Ia juga melibatkan perkara-perkara lain seperti keturunan, politik dan kehidupan harian. Sebahagian pihak dalam Mazhab al-Syafi�e pernah mengagungkan Muhammad bin Idris al-Syafi�e rahimahullah sehingga menghina para imam mazhab lain dengan alasan sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Para pemimpin (mestilah) daripada (keturunan) Quraish.[7]

Berdasarkan hadis ini mereka berkata:

Kita tidak dapati di kalangan imam-imam mujtahid (para imam mazhab) yang berketurunan Quraish selain Imam al-Syafi�e.

Sedangkan Imam Abu Hanifah berketurunan bekas hamba, Imam Malik bin Anas daripada qabilah Zi-Asbah, Imam an-Nakha�e daripada qabilah Nakha� al-Yaman. Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muhammad al-Hassan, keduanya dari Bani Syabani dan bukannya dari Mudhar. Imam al-Tsauri berasal dari Bani Thaur dan Imam al-Awza�e pula juga dari bekas keturunan hamba. [8]

Sikap taksub mazhab oleh golongan di atas menyebabkan mata hati mereka tertutup daripada ayat Allah Subhanahu wa Ta�ala yang menyatakan bahawa sebaik-baik manusia bukanlah berdasarkan keturunan atau bangsa akan tetapi ketaqwaannya kepada Allah. Firman Allah:

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. [al-Hujerat 49:13]

Adapun maksud sebenar hadis Para pemimpin (mestilah) daripada (keturunan) Quraish� ialah bahawa sesuatu negara atau komuniti Islam itu seharusnya memilih pemimpin mereka daripada kalangan kaum atau bani yang majoriti jumlahnya dan besar pengaruhnya supaya kepimpinan rakyat lebih teratur dan baik. Sebaliknya jika pimpinan dipegang oleh pihak minoriti ia akan membawa kekecohan di kalangan orang ramai.

Bani Quraish disebut dalam hadis ini kerana merekalah kumpulan terbesar dan terpengaruh di Semenanjung Arab pada ketika itu. Akan tetapi hadis ini tidaklah membatasi Bani Quraish sahaja kerana mereka sebenarnya hanya sebagai kaum minoriti berbanding dengan dunia Islam yang kini menjangkau jumlah 1 billion umatnya. Hadis ini juga lebih khusus kepada persoalan pimpinan duniawi tidak dalam persoalan pimpinan agama kerana banyak dalil-dalil lain yang menyatakan bahawa hal agama tiada bersangkut paut dengan keturunan dan bangsa.[9]

Contoh Keempat:

Sikap taksub mazhab juga boleh menyebabkan para pengikut sesebuah mazhab sanggup mencipta hadis-hadis palsu bagi membenarkan mazhab sendiri. Contohnya ialah hadis berikut yang dicipta oleh pengikut Mazhab Hanafi yang bencikan Mazhab al-Syafi�e bahawa kononnya Rasulullah shallallahu �alaihi wasallam ada berkata:

 

Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (al-Syafi�e)  yang akan mendatangkan kerosakan kepada umatku lebih buruk daripada Iblis dan akan muncul pula di kalangan umat aku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan menjadi cahaya penyuluh umat aku.

Riwayat palsu ini dikenal pasti oleh Ibn al-Jawzi dalam kitabnya al-Maudu�at, jld. 1, ms. 457 dan diutarakan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Dha�ifah wa al-Maudhu�ah, no: 570.

Pengikut Mazhab al-Syafi�e juga tidak kurang hebatnya dengan mencipta sebuah hadis lain bagi menentang Mazhab Hanafi. Diketahui bahawa bagi Mazhab Hanafi disunatkan mengangkat tangan ketika membaca takbir bagi setiap pergerakan rukun solat manakala bagi Mazhab al-Syafi�e mereka tidak menyunatkannya. Oleh itu pengikut Mazhab al-Syafi�e telah mencipta suatu hadis bahawa kononnya Rasulullah shallallahu �alaihi wasallam telah berkata:

 

Sesiapa yang mengangkat tangan ketika solat maka tiadalah solat itu baginya (iaitu tidak sah).

Riwayat ini juga telah dinyatakan kepalsuannya oleh beberapa tokoh hadis seperti Ibn al-Qayyim, al-Dzahabi dan lain-lain sebagaimana terang al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis al-Dha�ifah wa al-Maudhu�ah, no: 568.[10]

Demikian empat contoh yang sempat dikemukakan tentang sikap taksub sebahagian pengikut mazhab.

Sikap taksub sebegini timbul hanya kerana ikutan mereka kepada tuntutan nafsu lalu mereka mengunggulkan imam serta mazhab mereka kepada kedudukan yang terbaik. Pada waktu yang sama mereka menghina imam dan mazhab yang lain padahal pengunggulan dan penghinaan mereka hanyalah berdasarkan anggapan semata-mata, bukan berdasarkan kajian dan perbandingan ilmiah. Seandainya dilakukan kajian dan perbandingan ilmiah, pasti mereka akan menyedari bahawa semua para imam dan mazhab fiqh Islam adalah baik. Sikap taksub sebegini akhirnya akan membawa kepada perdebatan, pergaduhan dan perpecahan kepada umat Islam. Ibn Taimiyyah rahimahullah mengulas fenomena ini:

Adapun mengunggulkan sebahagian imam atau syaikh di atas sebahagian yang lain seperti orang-orang yang mengunggulkan imam mazhab mereka sebagai yang paling faqih atau yang mengunggulkan syaikh mereka sebagai sebaik-baik pembimbing di atas selainnya, sepertimana sebahagian orang yang mengunggulkan al-Syaikh �Abd al-Qadir (al-Jailani) atau al-Syaikh Abu Madyan atau (al-Imam) Ahmad (bin Hanbal) atau selain mereka, maka kebanyakan manusia di dalam hal ini berbicara tentangnya berdasarkan sangkaan dan kecintaan yang berlebih-lebihan.

Sesungguhnya mereka tidak mengetahui hakikat sebenar akan martabat para imam dan syaikh tersebut mahupun bermaksud mengikuti mereka kerana kebenaran yang sebenar-benarnya. Akan tetapi setiap mereka hanya mengikut nafsu dengan mengunggulkan tokoh ikutan mereka dengan pengunggulan yang merupakan anggapan demi anggapan semata-mata.

Mereka tidak memiliki apa-apa bukti bagi anggapan tersebut. Sikap seperti inilah yang sering kali menyebabkan perdebatan, pergaduhan dan perpecahan di antara mereka. Ini semua diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [�Ali Imran 3:102-105][11]

Oleh itu yang benar, semua mazhab dan para imamnya adalah baik. Orang yang mencenderungi satu mazhab, sebagaimana ulas Ibn Taimiyyah, tidak boleh mengkritik mazhab yang lain dan begitulah sebaliknya. Beliau rahimahullah menulis:

Maka sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) al-Syafi�e tidak boleh mengingkari sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) Maliki dan sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) Ahmad tidak boleh mengingkari sesiapa yang pada pendapatnya adalah lebih baik untuk mengikuti (Mazhab) al-Syafi�e dan begitulah seterusnya.[12]

Sikap taksub hanya dibolehkan dalam satu perkara, iaitu dalam mentaati Allah dan Rasul-Nya. Ini akan kita huraikan dalam bab berikut insya-Allah.

   

   

   

^Kembali Ke Atas

| 7. Perintah Allah Mentaati Al-Qur'an dan Rasul-Nya

 

 



[1]               The Prophet�s Prayer Described, ms. xxix.

[2]               al-Syafi�eyyah bermaksud ulama�-ulama� dalam Mazhab al-Syafi�e yang hidup selepas Imam Muhammad bin Idris al-Syafi�e.

[3]               Lihat Fiqh dan Perundangan Islam (edisi terjemahan oleh Syed Ahmad Syed Hussain; Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka, K.Lumpur 1994), jld. 01, ms. 856 oleh Wahbah al-Zuhaili.

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili ialah seorang ahli fiqh yang masyhur di Damsyik, Syria. Beliau juga pensyarah dalam Fakulti Fiqh dan Syariah Islam di Universiti Islam Damsyik. Kitabnya di atas masyhur dijadikan sumber rujukan ajaran fiqh Islam dari sudut mazhab-mazhab yang empat. Antara karangan beliau yang lain ialah kitab tafsir al-Qur�an yang berjudul al-Tafsir al-Munir.

[4]               Lihat Reliance of The Traveller (Amana Publications, Maryland, 1994), F12-23 oleh Ahmad ibn Naqib al-Misri, terjemahan dan nota tambahan oleh Nuh Ha Min Keller.

Ahmad ibn Naqib al-Misri lahir di Antakya, Turki pada tahun 702H/1302M dan ialah seorang tokoh Sufi Mazhab al-Syafi�e. Beliau sempat berguru dengan al-Subki dan Ibn Mulaqin dalam bidang hadis. Banyak meluangkan masa menulis dan menyusun semula kitab-kitab Mazhab al-Syafi�e yang terdahulu. Kitabnya Reliance of The Traveller (tajuk Arab - 'Umdat al-Salik ) ialah ringkasan daripada kitab al-Shirazi yang berjudul al-Tanbih dan al-Nawawi yang berjudul Minhaj al-Thalibin. Ahmad al-Misri meninggal dunia di Kaherah pada 769H/1368M.

Nuh Ha Min Keller lahir di Washington, Amerika Syarikat pada tahun 1373H/1954M dan membesar sebagai seorang Roman Katolik. Memeluk Islam pada tahun 1977 ketika belajar di al-Azhar, Mesir dan kemudiannya cenderung ke arah ajaran tasawwuf Islam bersama Abd al-Rahman Shaghouri. N.H.Min Keller mempunyai minat yang mendalam kepada kitab 'Umdat al-Salik karangan al-Misri dan beliau seterusnya menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris untuk tatapan ramai terutamanya pengikut-pengikut tasawwuf Mazhab al-Syafi�e.

Bagi kajian lanjut dan analisa kritis  ke atas beberapa nota tambahan dalam Relience of The Traveller oleh Nuh Ha Min Keller, lihat buku Warning The Muslims Against Deviant Creeds and Methologies (including those of Nuh Ha Min Keller) oleh Saleh as Saleh (Daar al-Bukharee Publishers and Distributers, Buraidah, Saudi Arabia 1998).

[5]               Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu �anh, diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Lihat Shahih al-Bukhari � no: 722 (Kitab Azan, Bab meluruskan saf termasuk kesempurnaan solat)

[6]               Riwayat al-Dahlawi di dalam Hujjat Allah al-Balighah, ms. 335.

[7]               Hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu �anh, diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Ya�la dan al-Thabarani. al-Haitsami menyebutnya di dalam Majma� al-Zawa�id (ed: �Abd Allah M. Darwaisy; Dar al-Fikr, Beirut 1994) � no: 8978 dan beliau berkata: Para perawi (dalam riwayat) Ahmad adalah terpercaya.

                al-Haitsami ialah al-Imam �Ali ibn Abu Bakar ibn Sulaiman Nur al-Din al-Haitsami. Lahir di Kaherah pada tahun 735H/1335M, beliau ialah seorang ahli hadis yang tersohor khasnya melalui karyanya Majma al-Zawa�id yang menghimpunkan 18,000 buah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar, al-Thabarani dan Abu Ya�la. Hadis-hadis tersebut kemudiannya disusun mengikut bab dan diterangkan status para perawinya. Beliau meninggal dunia pada 807H/1405M.

[8]               Demikian tulisan Abu Mansur Abd al-Qahar al-Tamimi sebagaimana di dalam buku Rahmat Allah di Sebalik Perbezaan Mazhab, ms. 37 oleh Muhammad Fadli Ismail, yang mana beliau berkata buku ini ialah tulisan al-Suyuti.

Perhatian: Menurut analisa penulis, buku ini bukan ditulis oleh al-Suyuthi rahimahullah. Ini kerana buku ini banyak mengandungi riwayat hadis yang dhaif dan maudhu' (palsu), di mana hal seperti ini tidak mungkin berasal daripada al-Suyuthi memandangkan beliau ialah seorang ahli dalam bidang hadis. Buku ini juga banyak mengandungi hujah-hujah yang merupakan ketaksuban yang tinggi kepada Mazhab al-Syafi�e sehingga tidak mungkin ia bersumber daripada seorang tokoh yang matang ilmunya. Buku ini juga ada menceritakan tentang gerakan kumpulan Wahabi, iaitu satu gerakan reformasi Islam pada kurun ke 18M padahal al-Suyuthi meninggal dunia pada awal kurun ke 16M ! Buku ini kemungkinan besar ialah karya seseorang lain lalu didustakan atas nama al-Suyuthi.

al-Suyuthi ialah al-Imam �Abd al-Rahman Jalal al-Din al-Suyuthi.  Seorang Mujtahid bagi Mazhab al-Syafi�e, merantau mencari ilmu dari Semenanjung Arab sehingga ke India dan Maghribi. Beliau mengarang kitab dalam pelbagai jurusan ilmu Islam dan jumlah tulisannya menjangkau angka 600 buah judul. Meninggal di Kaherah pada 911H/1505M.

al-Imam Muhammad al-Hasan al-Syaibani ialah salah seorang ulama� terkemuka selepas Abu Hanifah. Beliau lahir pada tahun 132H/750M dan menuntut bersama Abu Hanifah sehingga kewafatannya. Kemudian diteruskan berguru bersama Abu Yusuf. Muhammad al-Hasan terkenal dengan jasanya menulis dan membukukan ajaran-ajaran Abu Hanifah dan tulisan inilah menjadi bahan rujukan Mazhab Hanafi sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia pada 189H/805M.

al-Nakha�e - Terdapat tiga orang tokoh besar Kufah yang bergelar al-Nakha�e. Pertama ialah Alqamah bin Qais al-Nakha�e (wafat 62H/681M), kedua adiknya Aswad bin Yazid al-Nakha�e (wafat 95H/713M) dan ketiga Ibrahim bin Yazid al-Nakha�e (wafat 95H/713M). Kesemua mereka adalah ulama'-ulama' besar yang belajar dan mengajar hadis di Kufah. Alqamah bin Qais dan Aswad bin Yazid pernah belajar hadis daripada �Abd Allah ibn Mas'ud dan lain-lain sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

[9]               Penjelasan di atas adalah ringkasan daripada penerangan Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya Bagaimana Berinteraksi dengan as-Sunnah Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Huda Mohsin & Jawiah Dakir; Angkatan Belia Islam Malaysia, 1994), ms. 158.

[10]             Ibn al-Qayyim ialah al-Imam Muhammad bin Abu Bakar bin Ayyub bin Qayyim al-Jawziyya. Lahir di Damaskus pada 691H/1292M. Antara tulisan beliau yang masyhur ialah Zaad al-Ma'ad dan I'lam al-Muwaqqi�in, kedua-duanya telah diterjemahkan. Meninggal dunia di Damsyik pada 751H/1350M.

al-Dzahabi ialah al-Imam Muhammad bin Ahmad bin �Utsman al-Din al-Dzahabi, seorang ahli hadis dan ahli sejarah yang lahir di Damsyik pada 673H/1274M. Banyak berkarya khasnya dalam bidang biografi para tokoh dan perawi hadis. Meninggal dunia pada 748H / 1348M di Damaskus.

[11]             Majmu� al-Fatawa (Dar al-Wafa�, Kaherah 2002), jld 20, ms. 291-292.

[12]             Majmu� al-Fatawa, jld 20, ms. 292-293.