Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian 1     Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9

1 Niat Wudhu'

Meniatkan sesuatu amal perbuatan adalah satu kewajipan dalam Islam bagi membezakan apakah perbuatan itu dan kenapakah perbuatan itu dilakukan. Contohnya dalam perbuatan mandi, niat itu membezakan antara mandi harian yang biasa atau mandi wajib bagi membersihkan diri dari hadas besar. Niat juga membezakan sesuatu perbuatan itu samada kerana Allah atau kerana sesuatu tujuan duniawi yang lain. Oleh itulah niat sebenarnya adalah suatu iradah gerak hati dan bukannya sesuatu yang dilafazkan susunan kata padahal gerak hati membisikkan sesuatu yang lain atau lalai dengan kealpaan.

Justeru itu kita dapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak pernah mengajar kita apajua bentuk lafaz niat dan demikian juga dari para sahabat yang sekian ramai, kita tidak menerima khabar bahawa mereka ada membaca susunan lafaz niat. Dalam seluruh kajian sirah Nabawiyah, kita dapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam memulakan sesuatu perbuatan ibadahnya dengan sebutan perkataan hanya dalam ibadah umrah / hajinya dengan berkata: "Labbaika ! Inilah umrah dan haji." Apa yang disebut oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam di atas hanya khusus bagi ibadah umrah / haji dan berkemungkinan besar beliau melakukan sedemikian sebagai menandakan mulanya beliau berihram dan menjaga segala syarat-syarat pantang-larang berihram. Seandainya sebutan seumpama di atas adalah merupakan niat yang wajib dilafaz bagi setiap perbuatan ibadah sudah tentu beliau akan mengajarnya kepada para sahabat dan sudah tentu ia akan sampai kepada kita melalui berbagai-bagai riwayat hadith atau atsar sahabat.

Apa yang pasti ajaran sedemikian tidak pernah ada yang diriwayatkan termasuk bagi perbuatan mengambil wudhu' sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Ibnu Qayyim: Pada permulaan wudhu' Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak pernah mengucapkan 'Aku berniat menghilangkan hadas' atau 'Aku berniat mencari syarat sah solat' . Hal ini tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mahupun para sahabat. Tidak ada satupun yang meriwayatkan tentang perbuatan ini baik riwayat yang sahih mahupun yang
daif.
[1] 

Di masa kini kita melihat lafaz niat telah direka-tambah sehingga berjela-jela panjangnya dimulai dengan sebutan usolli……atau nawaitu……kemudian ditambahai pula syarat lintasan hati dalam terjemahan Bhs. M'sia selengkapnya. Perbuatan sebegini hanyalah menyusahkan umat dengan sesuatu yang tidak mereka fahami atau ketahui dan ianya pula jauh menyimpang dari tujuan asal tuntutan  'niat'  dalam syariat Islam yang murni ini. Justeru itu berdasarkan ajaran tulen al-Qur'an dan as-Sunnah, seseorang itu tidak perlu melafazkan apa-apa sebutan kata sebagai niat wudhu'. Yang dituntut hanyalah kesedaran tentang apa yang sedang dilakukan dan keikhlasan melakukannya.

 

Kesimpulan

1.      Niat bertindak sebagai faktor utama penentu ibadah seseorang itu. Niat yang dituntut oleh Islam ialah kesedaran di hati akan apa yang dilakukan dan bukannya lafaz atau susunan kata-kata di mulut.


 

[1]               Imam Ibnu Qayyim - Zaad-ul-Ma'ad, 1/157.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan