Sebelum ini dalam Dara.com edisi November 2010 kita telah mengulangkaji subjek mandi wajib sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah. Pada edisi bulan ini, kita akan mengulangkaji pula subjek mandi sunat. Mandi sunat ialah mandi yang membasahi rambut dan seluruh badan. Mandi sunat sebegini dianjurkan oleh Islam dalam beberapa suasana, iaitu:

Mandi Setiap Tujuh Hari.

          Rasulullah bersabda: “Merupakan hak Allah atas setiap muslim untuk mandi pada setiap tujuh hari, dengan mencuci kepala dan seluruh badannya.” [Shahih Muslim, no: 1402] Setiap lelaki dan wanita Muslim disunatkan mandi minima sekali bagi setiap tujuh hari. Ertinya dalam seminggu, kita boleh saja mandi mengikut kekerapan yang disukai dan dengan membasahi anggota badan terpilih. Namun minima sekali dalam minggu itu, kita disunatkan untuk mandi dengan mencuci kepala, rambut dan seluruh anggota badan.

Mandi Pada Pagi Jumaat.

          Muslimin dan muslimat disunatkan mandi pada pagi Jumaat. Tempoh waktu untuk mandi sunat ini ialah dari masuknya waktu Subuh sehingga sebelum masuknya waktu solat Jumaat atau solat Zohor. Berkenaan mandi sunat ini, Rasulullah bersabda: “Menjadi tuntutan ke atas setiap muslim untuk mandi pada hari Jumaat, bersiwak (membersihkan gigi) dan menyapu wangian jika keluarganya memilikinya.” [Musnad Ahmad, no: 16398 dengan sanad yang sahih]

          Sebagai maklumat tambahan, kebanyakan pengkaji berpendapat mandi pada pagi Jumaat hukumnya wajib ke atas lelaki. Ini kerana kebanyakan hadis dalam bab ini membawa hukum wajib ke atas lelaki. Namun untuk wanita, hukumnya sunat sahaja. [Syaikh Musthafa al-‘Adawy – Jami’ Ahkam al-Nisa’, jld. 1, ms. 45-48]

          Jika seorang muslimat sudah mandi sunat pada pagi Jumaat, dia tidak perlu lagi mandi sunat pada setiap tujuh hari. Ini kerana hari Jumaat berlaku pada setiap tujuh hari, maka memadai dia mandi pada pagi Jumaat sahaja.

Mandi Pada Pagi Hari Raya.

          Disunatkan mandi pada pagi Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Seseorang pernah bertanya kepada ‘Ali bin Abi Thalib berkenaan mandi yang disunatkan. Beliau menjawab: “(Mandi pada) hari Jumaat, hari Arafah, hari al-Nahr (Aidil Adha) dan hari al-Fitri (Aidil Fitri).” [Musnad al-Syafi’e, no: 114 dengan sanad yang sahih]

          Sekalipun hadis di atas merupakan jawapan seorang sahabat Rasulullah, ia tetap menjadi dalil agama kerana sahabat tidak akan berkata-kata dalam urusan ibadah melainkan mereka telah mempelajarinya daripada Rasulullah.

Mandi Selepas Sedar Dari Pengsan.

          Apabila seseorang sedar dari pengsan, koma atau sebagainya, disunatkan baginya untuk mandi. Ini merujuk kepada tindakan Rasulullah ketika baginda sakit di hujung hayatnya. Baginda pernah pengsan beberapa kali dan setiap kali sedar darinya, baginda akan mandi. [Shahih al-Bukhari, no: 646]

          Pengsan bererti seseorang hilang kesedaran akalnya. Maka atas dasar analogi (al-Qiyas), para ilmuan Islam juga menyatakan sunat untuk mandi bagi seseorang yang sembuh dari penyakit gila.

Mandi Ihram.

          Disunatkan mandi sebelum seseorang itu mengenakan pakaian ihram, iaitu bagi mereka yang ingin melakukan ibadah haji dan umrah. Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa beliau “…melihat Nabi (memulakan) ihram dengan melepas pakaian baginda beliau yang dijahit lalu mandi.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 830]

Mandi Sebelum Memasuki Kota Mekah.

          ‘Abdullah bin Umar al-Khattab tidak pernah memasuki Kota Mekah melainkan dia bermalam di satu tempat bernama Dzi Thuwa. Pada keesokan harinya, dia mandi lalu memasuki Kota Mekah. Beliau menyandarkan perbuatannya ini kepada Rasulullah. [Shahih Muslim, no: 2207]

Mandi Setelah Memandikan Jenazah.

          Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang memandikan maka hendaklah dia mandi dan sesiapa yang membawa maka hendaklah dia berwudhu, yakni (memandikan dan membawa) mayat.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 993]

Mandi Apabila Mengulangi Hubungan Seks.

          Apabila suami ingin mengulangi hubungan seks dengan isterinya, disunatkan baginya untuk mandi. Rasulullah pernah melakukannya dan apabila ditanya kenapa, baginda menjawab: “Ini lebih baik dan lebih suci” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 219]. Walaubagaimana pada ketika yang lain baginda pernah mengulangi hubungan seks tanpa mandi sunat di antaranya [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 140] Bagi yang tidak mandi sunat, dianjurkan untuk berwudhu’ apabila ingin mengulangi hubungan seks [Shahih Sunan Abu Daud, no: 220].

          Semua ini merujuk kepada mandi sunat apabila mengulangi hubungan seks. Adapun jika telah selesai seluruhnya (tiada pengulangan lagi), maka hendaklah mandi wajib.

         

          Demikianlah beberapa ketika dan suasana kita disunatkan untuk mandi, atau disebut sebagai mandi sunat. Adapun tatacaranya, maka ia dimulai dengan niat. Tidak perlu membaca apa-apa lafaz niat dengan susunan lafaz yang tertentu, memadai seseorang mengetahui bahawa dia akan mandi sunat kerana hari Jumaat, kerana sedar dari pengsan atau selainnya. Mandilah secara biasa, lebih utama dengan membasahkan kepala dan rambut. Wanita yang sedang haid, nifas dan istihadhah tetap dibolehkan untuk melaksanakan mandi-mandi sunat ini.