Soalan:

Manakah yang lebih utama bagi seorang wanita, bersolat jamaah di masjid atau bersolat sendirian di rumahnya?

Anita, Kuching, Sarawak.


Jawapan:

Yang lebih utama ialah bersolat di rumah. Seorang isteri pernah mengadu: “Wahai Rasulullah, para suami melarang kami mendirikan solat bersamamu (berjamaah di masjid) padahal kami ingin sangat solat bersamamu.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Solat kalian (para wanita) di rumah kalian lebih utama berbanding solat kalian di anjung rumah kalian. Sedangkan solat kalian di anjung rumah kalian lebih utama berbanding solat kalian secara berjamaah (di masjid).” [Riwayat Ibn Abi Syaibah, al-Baihaqi dan Ibn Khuzaimah, Fiqh al-Sunnah li al-Nisa, ms. 249]

Namun hadis di atas hanya menerangkan keutamaan tempat solat bagi wanita, bukannya melarang wanita dari bersolat jamaah di masjid. Pada ketika yang lain baginda menerangkan: “Jangan larang wanita-wanita kalian ke masjid (untuk solat berjamaah) sekalipun rumah mereka lebih baik bagi mereka (untuk mendirikan solat).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 567]

Maka yang utama bagi para wanita ialah bersolat di rumahnya, atau bagi para pelajar wanita ialah bersolat di bilik asramanya. Jika ada sesuatu program yang selari dengan sunnah dianjurkan di masjid, maka boleh ke masjid untuk bersolat jamaah sambil mengikuti program itu.