Soalan:

Sebagai anak, bolehkah saya menegur sikap ibu saya yang suka mengambil tahu akan jiran-jiran atau menjaga tepi kain orang. Saya takut kalau saya tegur nanti boleh mengguris hati ibu saya. Sebaiknya teguran yang bagaimana yang boleh saya berikan?

Hartina Kasim, Pontian, Johor.

 

Jawapan:

Islam mewajibkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa. Termasuk dalam rangka berbuat baik itu ialah menegur mereka andai ada sesuatu keyakinan atau perbuatan mereka yang tidak selari dengan Islam. Tidaklah dikatakan “berbuat baik” jika seorang anak dalam keadaan sedar membiarkan ibubapanya dalam kesalahan.

Menegur dari kesalahan kepada kebenaran juga termasuk ciri-ciri orang yang beruntung dunia dan akhirat. Allah berfirman: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Asr 103:1-3]

Cara teguran terbaik ialah bersama-sama membaca dan menelaah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang adab-adab berbicara, menjaga mulut dan menutup aib. Baca dan telaah secara umum, ibu secara bertahap-tahap akan sedar kesalahannya.

Selain itu jangan lupa berdoa kepada Allah agar diberikan kesedaran dan kefahaman Islam yang baik kepada semua ahli keluarga. Ini kerana ramai yang faham Islam itu sekadar wudhu’ dan solat sementara mata dan mulut mereka lebih buruk daripada orang yang tidak beragama.