ruqyaMajalah i (Sept 2015)


Hushain bin Abdurrahman berkata, aku pernah bersama Sa’id bin Jubair lalu dia bertanya: “Siapa di antara kalian yang melihat bintang jatuh (tahi bintang) malam tadi?” Aku menjawab: “Aku.” Kemudian aku berkata: “Sesungguhnya aku (ketika itu) bukan sedang solat tetapi (sedang kesakitan kerana) disengat binatang.”
Sa’id bertanya lagi: “Lantas apa yang kamu buat (untuk merawat sengatan itu)?” Aku menjawab: “Aku meminta untuk diruqyah.” Said bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu melakukan hal tersebut?” Aku menjawab: “Sebuah hadits yang diceritakan oleh asy-Sya’bi.” Said bertanya lagi: “Apakah yang diceritakan oleh asy-Sya’bi?” Aku menjawab: “Dia telah menceritakan kepada kami daripada Buraidah bin Hushaib al-Aslami, bahwa dia berkata, tidak ada ruqyah (yang lebih utama) kecuali terhadap penyakit ain dan sengatan.”

Maka Sa’id menjawab: “Baguslah orang yang melaksanakan sesuai dengan apa yang dia dengar, akan tetapi Ibn Abbas telah menceritakan kepada kami daripada Nabi, baginda bersabda: Aku diperlihatkan oleh Allah beberapa golongan umat manusia. Maka aku lalu melihat seorang Nabi yang bersamanya sekumpulan manusia, ada juga Nabi yang bersamanya satu atau dua orang (pengikut) sahaja dan seorang Nabi tanpa seorang jua pengikut.


Tiba-tiba diperlihatkan kepada aku sekumpulan orang yang banyak sehingga aku menyangka mereka adalah umatku. Akan tetapi dikatakan kepadaku: “Mereka adalah Nabi Musa dan kaumnya. Namun lihatlah ke hujung sana.” Maka apu pun melihat dan ternyata terdapat satu kumpulan yang banyak. Dikatakan lagi kepadaku: “Lihatlah ke hujung yang lain pula.” Ternyata di sana juga terdapat satu kumpulan yang banyak. Dikatakan kepadaku: “Inilah umatmu dan bersama mereka ada tujuh puluh ribu orang yang akan memasuki syurga tanpa dihisab mahupun diseksa.”


Kemudian Rasulullah bangun lalu masuk ke dalam rumahnya. Orang ramai mula berbincang mengenai golongan yang akan masuk syurga tanpa dihisab mahupun disiksa. Sebahagian dari mereka berkata: “Mungkin mereka itu adalah orang-orang yang selalu bersama Rasulullah.” Ada pula yang mengatakan: “Mungkin mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam Islam dan tidak pernah melakukan perbuatan syirik terhadap Allah.” Mereka mengemukakan pendapat masing-masing.
Maka keluarlah Rasulullah menemui mereka lalu bertanya: “Apakah yang kalian bincangkan?” Mereka pun menerangkan perbincangan tersebut. Maka Rasulullah bersabda: “Mereka itu adalah orang-orang yang tidak meruqyah, tidak meminta untuk diruqyah, tidak mempercayai sial dan hanya kepada Allah mereka bertawakkal.”
Ukkasyah bin Mihshan berdiri lalu berkata: “Doalah kepada Allah agar aku menjadi dari kalangan mereka.” Rasulullah bersabda: “Kamu dari kalangan mereka.” Kemudian seorang lelaki lain berdiri dan berkata: “Doalah kepada Allah agar aku menjadi dari kalangan mereka." Rasulullah bersabda: “Ukkasyah telah mendahuluimu.” [Shahih Muslim, no: 323/220]


Demikianlah sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang agung. Di dalamnya terkandung banyak pelajaran, namun yang akan saya sentuh dalam tulisan ini ialah lafaz: “Mereka itu adalah orang-orang yang tidak meruqyah, tidak meminta untuk diruqyah, tidak mempercayai sial dan hanya kepada Allah mereka bertawakkal.” Dalam lafaz lain yang lebih terpelihara lagi masyhur, baginda bersabda: “Meraka itu adalah orang yang tidak meminta diruqyah, tidak mempercayai sial, tidak melakukan pengubatan besi panas (kay) dan hanya kepada Allah mereka bertawakkal.” [Shahih Muslim, no: 321/218 dan Shahih al-Bukhari, no: 5311/5752]


Pada zahirnya hadis ini kelihatan bercanggah dengan hadis-hadis lain yang menganjurkan meruqyah orang lain, meminta diruqyah dan berubat apabila sakit. Marilah kita rujuk hadis-hadis yang saya maksudkan itu.


Anjuran Meruqyah Orang Lain
Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah pernah melarang ruqyah. (Pada satu hari) datang keluarga Amr bin Hazm kepada baginda seraya berkata: “Ya Rasulullah! Kami mempunyai ruqyah untuk sengatan kalajengking, namun anda melarang ruqyah.” Lalu mereka membacakan ruqyah itu di hadapan baginda. Maka baginda bersabda: “Aku lihat ini tidak apa-apa (maka teruskanlah). Sesiapa di antara kalian yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah ia.” [Shahih Muslim, no: 4078/2199]
Hadis ini menjadi dalil dianjurkan meruqyah orang lain dengan syarat ruqyah itu bebas daripada sebarang bentuk syirik dan khurafat. Hadis ini juga membentuk hukum dasar bagi ruqyah, iaitu semua ruqyah dilarang sehingga diperdengarkan secara jelas dari awal hingga akhir bagi memastikan ia bebas daripada syirik dan khurafat.


Perkara ini hendaklah diperhatikan kerana kebanyakan ustaz yang membaca ruqyah hanya berkomat-kamit sesuatu yang tidak dapat didengar secara jelas dari awal hingga akhir. Sekadar pakaian ala-ala ustaz, gelaran ustaz dan kemasyhuran dia menyembuhkan penyakit orang lain bukanlah lesen untuk menghalalkan ruqyah yang dibacakannya.


Anjuran Meminta Diruqyah
Daripada Umm Salamah bahawa Nabi melihat budak wanita di rumahnya. Ketika baginda melihat bekas hitam pada wajah budak wanita itu, baginda bersabda: “Mintalah ruqyah untuk dia kerana padanya terdapat kesan sihir pandangan.” [Shahih al-Bukhari, no: 5298/5739] Berdasarkan hadis ini, dianjurkan meminta ruqyah bagi mengubati kesan sihir, penyakit ain atau penyakit fizikal yang lain.


Anjuran Berubat
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Berubatlah wahai hamba Allah. Ini kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan menjadikan bersamanya ubat, melainkan penyakit tua. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3427/3499]
Hadis ini menjadi dalil bahawa dianjurkan berubat bagi sesiapa yang sakit. Adapun berubat dengan besi panas (kay), maka terdapat hadis yang membolehkannya serta yang melarangnya. Jalan pertengahan di antara hadis-hadis tersebut ialah berubat dengan besi panas hanyalah terhadap penyakit yang sesuai dengannya serta ia dilakukan sebagai pilihan terakhir.

Maksud Hadis “…masuk syurga tanpa dihisab mahupun diseksa”.


Kita kembali kepada hadis yang menerangkan 70,000 daripada umat ini yang akan masuk syurga tanpa dihisab mahupun diseksa. Berdasarkan zahir hadis ini sahaja, ada yang enggan meruqyah, meminta diruqyah atau berubat apabila mereka sakit. Mereka menyangka dengan keengganan tersebut, mereka akan mudah memasuki syurga.
Himpunan semua hadis-hadis dalam bab ini menunjukkan bahawa secara umumnya umat Islam dianjurkan meruqyah orang yang sakit, meminta diruqyah ketika sakit dan berubat ketika sakit. Bahkan perbuatan ini telah dilakukan sendiri oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika baginda sakit, bagi menunjukkan kebolehannya [Shahih al-Bukhari, no: 5294/5735].


Hanya di kalangan umat ini ada segelintir yang memiliki hubungan yang amat kuat dengan Allah. Mereka reda kepada Allah apabila diuji dengan penyakit dan mereka menyerahkannya kepada Allah sepenuhnya (tawakkal) sama ada untuk mencabut penyakit itu atau mencabut nyawa mereka disebabkan penyakit itu. Namun diulangi, hadis ini hanya merujuk kepada segelintir umat Islam, 70,000 dari sekian ramai umat Islam dari zaman Rasulullah sehingga Hari Kiamat. Justeru hadis ini hanya menerangkan keutamaan segelintir umat Islam. Ia tidak membawa hukum haram meruqyah, meminta diruqyah dan berubat selagi mana ruqyah dan ubatan yang digunakan adalah halal.


Bukan semua orang mampu ke tahap keutamaan ini. Dibimbangi ada yang hanya mampu reda apabila sakit itu berada ditahap awal, tetapi merungut, marah dan putus asa kepada Allah apabila penyakit merebak ke tahap kronik di kemudian hari. Pada tahap ini yang menjadi mudah baginya bukanlah syurga tetapi neraka. Moga Allah memelihara kita semua.