Di Permukaan Bumi……

          “Kapten! Jika kapten sakit, sanggupkah kapten berjumpa dengan seseorang yang menjadi doktor semata-mata dengan membaca buku? Atau sanggupkah kapten melalui pembedahan dengan doktor bedah yang hanya membaca buku?”

          “Ahaa! Soalan yang menarik! Kesimpulan yang akhi hendak tanyakan ialah, bolehkah seseorang itu membicara isu agama semata-mata berdasarkan pembacaan buku?” 

          “Tepat sekali kapten!”

          arabic_books1.jpgMaksud soalan dapat saya tangkap dengan mudah kerana ia bukan kali pertama diajukan. Kali ini ia ditanya oleh seorang pelajar jurusan medic dalam sesi soal-jawab kuliah saya beberapa ketika yang lalu. Sesi soal-jawab merupakan bahagian yang paling saya gemari ketika memberi kuliah. Para hadirin berhak bertanya apa saja yang mereka inginkan sementara pihak penceramah tidak dapat membuat persiapan awal apa yang hendak dijawab. Berbeza semasa sesi penyampaian, penceramah telah membuat persiapan awal. Selain itu soalan juga dilontar dalam pelbagai format, sinis, provokatif, ingin tahu, ingin menunjukkan dia lebih tahu dan pelbagai lagi kemungkinan yang jumlahnya seramai hadirin yang ingin bertanya. Dalam suasana pelbagai format itu, penceramah hendaklah tetap tenang dan hikmah dalam merangka format jawapan. Menjawab jika mengetahui, menangguh jika tidak, hikmah jika provokatif, tajam jika sinis. Memberi perhatian jika yang bertanya benar-benar ingin tahu, ucapkan terima kasih jika yang bertanya ingin menunjuk dia lebih tahu.

          Semua ini menyebabkan saya teringat kepada seorang pensyarah UiTM sekali gus rakan dan jiran saya – Prof Ghafarullahudin Din – yang pernah berkata bahawa keilmuan penceramah diukur bukan ketika sesi penyampaian tetapi ketika sesi soal jawab.

          Hmm….jadi bagaimana agaknya format terbaik untuk saya jawab soalan di atas?

M

36,000 Kaki Di Atas Permukaan Laut……

          “Kapten, kapten ada kaji tentang Zulkarnain?” tanya co-pilot saya penuh semangat. Kami ketika itu dalam penerbangan balik dari Incheon, Seoul ke Kuala Lumpur.

          “Saya baru habis baca buku tentang Zulkarnain, nak tanya pandangan kapten sama ada yang yang diceritakan tu betul atau tidak, sahih atau tidak” lanjut co-pilot yang masih muda itu sambil mengeluarkan tiga buah buku dari begnya. Beliau menunjukkan buku-buku itu kepada saya, salah satu darinya khusus berkenaan Zulkarnain.

          “Tidak ada melainkan sekadar apa yang diterangkan dalam al-Qur’an. Apa yang penting untuk perlu diketahui, sudah diterangkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Apa yang tidak diterangkan, bererti tidak penting untuk kita mengetahuinya. Amboi! Rajin membaca?” saya bertanya setelah menjawab soalannya, sambil melihat buku-buku tersebut. Suasana cuaca di atas East China Sea ketika itu tenang dan selesa.

          “Tentulah kapten. Sehari suntuk di Incheon, apa nak buat? Duduk baca buku sajalah.”

          Saya tersenyum sambil mengangguk, teringat kepada diri saya sendiri ketika umur dua puluhan, mula berjinak-jinak dengan ilmu agama melalui pembacaan. Sama ada di hari cuti atau bertugas ke destinasi tertentu, minimum sebuah buku agama pasti menemani saya sehinggalah ke hari ini.

          “Teruskan membaca dan banyakkan membaca. Satu hari nanti anda akan menjadi orang yang berilmu dalam agama.” Pesan saya kepada beliau sambil teringatkan firman Allah s.w.t. yang terakhir dalam surah al-Ankabut, bermaksud:

          “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

M

Kembali Ke Permukaan Bumi……

          “Owh! Jika itu soalannya, izinkan saya menambah. Jika saya menjadi penumpang dalam sebuah penerbangan dan mendapati juruterbangnya menjadi juruterbang hanya dengan membaca buku, sayalah orang pertama yang akan lari keluar dari pesawat itu.” Tanda soal yang besar jelas terserlah di air muka para hadirin kuliah, termasuk kepada yang mengajukan soalan.

          “Begini,” saya lanjutkan, “umpamakan ilmu itu pada skala satu hingga sepuluh. Jurusan medic seperti kalian, atau jurutera, undang-undang, seni bina, ekonomi, akaun, juruterbang dan sebagainya, ia berada pada skala tujuh atau lapan. Pada skala yang tinggi ini, kita memerlukan guru, pengajian dan buku untuk menguasainya dengan baik.

          Adapun jurusan agama, ia berada pada skala lima. Tidak mudah hingga diremehkan, tidak sukar hingga ditakutkan. Islam adalah agama pertengahan yang boleh dikuasai dengan baik melalui kajian dan pembacaan. Berdasarkan skala pertengahan inilah Islam dapat dikuasai oleh semua pihak, baik orang Arab badwi yang hidup di pendalaman padang pasir sehinggalah ahli matematik yang hidup di menara gading. Yang penting ialah keyakinan diri dan keikhlasan.”

          Demikian jawapan saya kepada yang bertanya, sekali gus kepada semua pembaca Majalah i yang dikasihi sekalian, seandainya ada yang tertanya-tanya.