Sempena cuti sekolah yang panjang, boleh dikatakan bulan November dan Disember ialah musim perkahwinan. Menyebut tentang perkahwinan ini, terdapat satu firman Allah Subhanahu waTa'ala yang masyhur:Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [al-Rum 30:21]

Ayat ini sering dicatat di atas kad-kad jemputan. Atas harapan ayat ini tidak sekadar hiasan semata-mata, apa kata kita merenung dan mentaddabbur maksudnya secara ringkas.

muslimcouplenbaby

Tanda-Tanda Kebesaran Allah

Allah memulakan ayat ini dengan mengingatkan manusia akan tanda-tanda kekuasaan, kebesaran, keagungan dan rahmat-Nya dalam mencipta. Sebenarnya jika kita merenung kepada langit, bintang, matahari dan bulan, renungan ini akan segera membawa kita kepada yang menciptanya, iaitu Allah. Jika kita mengamati pergerakan angin, awan dan putaran bumi ini serta segala penghuninya seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan, kita akan segera terasa kehebatan Allah sebagai pencipta dan pengurusnya. Jika kita mengkaji tubuh badan kita sendiri, daripada DNA yang halus sehinggalah ke organ yang besar seperti hati (liver) dan otak, kita akan segera sujud kepada Allah.

Bahkan dalam bidang atau jurusan pengkhususan masing-masing, jika dicermati dan dihalusi akan ditemui tanda-tanda kebesaran Allah. Dalam bidang saya sebagai seorang juruterbang misalnya, saya dapat merasakan kebesaran Allah yang memberikan ilham kepada manusia untuk meniru cara burung-burung terbang, sehingga reka bentuk sayap kapal terbang diambil dari reka bentuk sayap burung. Saya juga dapat merasakan kehebatan Allah mencipta udara yang dengannya kapal terbang dapat terbang tinggi sehingga ke 40,000 kaki, meskipun kapal terbang itu beratus kali ganda lebih berat daripada udara.

Namun oleh kerana kita sering lupa kepada Allah, maka Allah di dalam al-Qur’an beberapa kali mengingatkan kita akan tanda-tanda kekuasaan, kebesaran, keagungan dan rahmat-Nya dalam mencipta. Salah satu daripadanya adalah ayat 21 surah al-Rum yang sedang kita tadabbur sekarang ini.

 

Allah Menciptakan Manusia Hidup Berpasangan-Pasangan

Asalnya Allah mencipta Adam dan daripada “model” Adam itu Allah mencipta Hawa. Ini diterangkan dalam ayat yang lain: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [al-Nisa’ 4:01]

Bayangkan jika Allah hanya mencipta satu jenis manusia yang bukan lelaki atau wanita, tentu dunia ini menjadi sangat hambar. Bayangkan jika manusia semuanya sama, tidak ada perbezaan ciri pemikiran, emosi dan perangai seperti mana perbezaan lelaki dan wanita, tentu kehidupan ini membosankan.

Bayangkan jika manusia terpaksa mencari pasangan dari jenis yang lain umpama harimau, gajah atau unta, tentu agak mustahil untuk hidup serumah. Bayangkan jika manusia terpaksa mencari pasangan dari jenis makhluk jin, tentu sukar untuk bermain-main dengan makhluk yang tidak kelihatan bentuknya yang asal.

Maka di sebalik penciptaan lelaki dan wanita, terdapat hikmah yang amat besar bagi kita, sekaligus membuktikan kebesaran, keagungan dan hikmah Allah dalam menciptanya. Oleh itu bagi yang akan berkahwin atau sudah berkahwin, hendaklah perkahwinan itu menjadi sarana yang mengingatkan kita kepada Allah. Hendaklah perkahwinan itu menjadi jalan yang mendekatkan kita kepada Allah, bersyukur dan menghadiahkan pujian kepada-Nya.

Bagi yang tidak cenderung untuk berkahwin atau yang cenderung kepada seks sejenis, moga ayat ini menjadi penyuluh bagi mereka. Kehidupan berseorangan atau sesama jantina bukanlah bentuk atau cara kehidupan yang disusun mahupun dikehendaki oleh Allah.

Bagi yang mengimpikan kehidupan monogami sahaja, moga ayat di atas menjadi pencerahan kerana Allah tidak mengatakan “pasangan (singular)” tetapi “pasangan-pasangan (plural)”, bererti kehidupan suami isteri itu boleh jadi monogami dan boleh jadi poligami.

 

Sakinah

Tujuan Allah menciptakan pasangan lelaki dan wanita ialah setelah mereka berdua diikat secara halal melalui pernikahan, setiap seorang daripada mereka dapat hidup bersenang hati dan mesra di antara satu sama lain. Suami dapat bersenang hati dan bermesra-mesraan dengan isterinya sementara isteri dapat bersenang hati dan bermesra-mesraan dengan suaminya. Inilah maksud firman Allah: supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya…

Apabila sifir ini diubah dengan salah seorang atau kedua-dua suami-isteri sibuk dengan kerjaya dan pulangan kebendaan, maka bermulalah bibit-bibit awal pergeseran rumahtangga. Rumahtangga tidak lagi menjadi tempat bersenang hati dan bermesra-mesraan tetapi tempat persinggahan sementara (transit) pada malam hari setelah sibuk mengejar kerjaya dan kebendaan pada siang hari.

Di sini saya bukan bermaksud untuk menafikan kepentingan kerja dan wang ringgit, akan tetapi hendaklah disusun keutamaan agar suasana bersenang hati dan bermesra-mesraan di antara suami-isteri tetap mendapat perhatian (priority) di tangga yang atas. Percayalah, apabila suami-isteri sering dalam keadaan sakinah, ia akan memberi motivasi dan kecemerlangan dalam peranan masing-masing, baik bagi suami di pejabat, anak-anak di sekolah dan isteri di rumah. Saya sendiri berpegang kepada formula: “Kejayaan bermula dengan kebahagian di rumah”.

 

Mawaddah dan Rahmat.

Apabila pasangan suami-isteri saling berkasih sayang di antara satu sama lain, tahukah, ingatkah dan sedarkah mereka bahawa Allah yang mencipta perasaan kasih sayang itu dan menjadikannya memutik dan mekar di hati masing-masing? Jika belum, maka ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Di sini terdapat dua pengajaran yang amat penting. Pertama, apabila kita sayang kepada pasangan kita, maka sayangilah Allah yang telah menjadikan kasih sayang tersebut. Bahkan dalam rangka mentauhidkan Allah, kita sayang kepada Allah dan kerana itu, kita sayang kepada pasangan yang telah Allah kurniakan kepada kita. Orang yang benar-benar mentauhidkan Allah (al-Muwahhidun) akan menyayangi pasangannya sebagai bukti kasih sayangnya kepada Allah sahaja. Jangan pula kasih sayang kepada Allah dikongsikan dengan kasih sayang kepada pasangan, kerana perkongsian itu adalah satu bentuk syirik kepada-Nya.

Kedua, apabila terasa kasih sayang di antara pasangan semakin berkurang atau telah hilang, maka kembalilah kepada Allah untuk berdoa kepada-Nya agar dikembalikan kasih sayang tersebut. Kerap kali kita mendengar pasangan yang sudah beberapa tahun mendirikan rumahtangga merungut bahawa “sudah tidak ada apa-apa di antara kami berdua”.

Di samping berdoa, hendaklah berusaha untuk menghidupkan dan memekarkan kembali kasih sayang di antara satu sama lain. Kerap kali selepas berkahwin, masing-masing pasangan berusaha untuk meningkatkan prestasi dalam kerjaya dan meningkatkan kedudukan kewangan sehingga mengabaikan usaha untuk meningkatkan kasih sayang di antara satu sama lain.

 

Di Sebalik Kehidupan Suami Isteri

Ayat di atas Allah akhiri dengan firman-Nya: Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Ya, semoga ayat 21 surah al-Rum tidak sekadar menjadi hiasan di atas kad jemputan kahwin. Sebaliknya jadikanlah ia sebagai satu sarana dan jalan yang mengingatkan kita kepada Allah, merasa kebesaran-Nya, bersyukur kepada-Nya dan merujuk kepada-Nya andai kehidupan suami isteri sudah hilang ciri Sakinah (ketenangan), Mawaddah (saling berkasih sayang) dan Rahmat (belas kasihan).