Soalan:

Saya ialah seorang suami berumur 32 tahun, memiliki seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil. Sejak dua tahun yang lepas, saya disahkan menghidapi penyakit yang sukar diubati. Banyak masa, tenaga dan belanja digunakan untuk tujuan perubatan. Di sini saya tertanya-tanya, apakah hukum berubat di dalam Islam apabila sakit? Bolehkah jika saya tidak mahu berubat? Terima kasih.

 

Jawapan:

Terdapat perbezaan pendapat dalam hukum berubat apabila sakit. Terdapat dua pendapat dan ia seperti berikut:

Pendapat Pertama: Dianjurkan (sunat) untuk berubat ketika sakit. Ini berdasarkan hadis berikut: Daripada Usamah bin Syarik dia berkata:

Saya menyaksikan beberapa orang Arab badui (pendalaman) bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah ke atas kami terdapat larangan melakukan ini? Apakah ke atas kami terdapat larangan melakukan itu?”

Maka baginda berkata kepada mereka: “Wahai hamba Allah, Allah telah menentukan apa yang dilarang. (Semua yang kalian tanya itu tidaklah dilarang) kecuali perbuatan orang yang mengambil sesuatu daripada harga diri saudaranya (yakni mengaibkannya, memalukannya, memfitnahnya), maka itulah yang dilarang.”

Mereka bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apakah ke atas kami kesalahan andai kami tidak berubat (ketika sakit)?” Baginda menjawab: “Berubatlah wahai hamba Allah. Ini kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menjadi suatu penyakit melainkan menjadikan bersamanya ubat, melainkan penyakit tua.”

Mereka bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apakah kebaikan yang boleh diberikan (oleh Allah) kepada seorang hamba?” Baginda menjawab: “Akhlak yang mulia.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3427/3499]

Berdasarkan hadis ini, hukum berubat ialah dianjurkan (sunat). Dalilnya ialah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Berubatlah wahai hamba Allah...” Sabda Rasulullah ini menunjukkan satu anjuran.

Hadis ini juga memberi motivasi kepada pakar-pakar dalam bidang perubatan untuk terus berusaha mencari ubat yang terbaik lagi halal bagi setiap penyakit  “…kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menjadi suatu penyakit melainkan menjadikan bersamanya ubat, melainkan penyakit tua.”

Pendapat Kedua: Diharuskan (mubah) untuk berubat ketika sakit. Maksudnya, seorang yang diuji dengan penyakit memiliki pilihan sama ada untuk berubat atau bersabar sahaja. Ini berdasarkan hadis berikut:

 ‘Atha’ bin Abi Rabah berkata, ‘Abdullah ibn ‘Abbas berkata kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita daripada Ahli Syurga?” Aku (‘Atha) berkata: “Sudah tentu!”

(Ibn ‘Abbas) berkata: “Inilah (sambil menunjuk kepada) seorang wanita berkulit hitam yang pernah datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Sesungguhnya aku menghadapi sakit sawan (epilepsy) dan aurat aku sering tersingkap (apabila aku diserang sawan), maka berdoalah kepada Allah untukku”.”

Rasulullah menjawab: “Jika kamu mahu, bersabarlah dan bagimu syurga. Namun jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.”

Wanita itu menjawab kembali: “Aku akan bersabar.” Dia berkata lagi: “Aurat aku sering tersingkap (apabila aku diserang sawan), maka berdoalah kepada Allah untukku  agar auratku tidak tersingkap lagi.” (Ibn ‘Abbas) berkata: “Maka Rasulullah mendoakannya”.

Wanita yang dimaksud dalam hadis ini namanya Umm Zufar. Dia seorang yang berbadan tinggi dan ‘Atha melihatnya berada di sisi tirai Ka’bah. [Shahih al-Bukhari, no: 5220/5662]

Berdasarkan hadis ini, hukum berubat ialah harus (mubah). Ini kerana jika hukum berubat ialah dianjurkan (sunat), nescaya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menganjurkan wanita itu untuk berubat. Antara cara berubat ialah doa dan ruqyah (jampi-jampian yang disyari’atkan) sementara doa dan ruqyah daripada Rasulullah pasti mujarab dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Pendapat Yang Kuat

Di antara dua pendapat di atas, yang terkuat tentang hukum berubat ialah ia bergantung kepada kemampuan setiap pesakit. Jika pesakit itu mampu bersabar, maka itulah yang terbaik baginya. Jika pesakit itu ingin berubat, maka itulah yang terbaik baginya.

Jika pesakit itu memiliki tanggungan di bawahnya, seperti suami yang menjaga ahli keluarganya atau ibu yang menjaga anak-anaknya yang masih kecil, maka berubat ketika sakit adalah lebih utama. Bahkan hukumnya boleh dikatakan wajib supaya hak-hak orang yang berada di bawah tanggungannya tidak teraniaya.

Oleh itu bagi tuan yang bertanya, yang lebih utama ialah anda dianjurkan untuk terus berubat. Bukan semua penyakit boleh sembuh dalam masa yang singkat. Sebahagian penyakit ada yang sembuh dalam masa sehari, ada yang sembuh dalam masa sebulan, ada yang sembuh dalam masa beberapa tahun. Teruskan usaha untuk berubat dan mencari dana bagi membiayai kos perubatan tersebut.

Ketahuilah bahawa penyakit ialah ujian daripada Allah dan adakalanya Allah memanjangkan ujian itu kerana cinta-Nya kepada seseorang hamba. Ini kerana Allah mencintai kesabaran, kesungguhan dan doa daripada seorang hamba.