Dalam isu ini kelihatan seperti ada dua dalil yang saling bertentangan.

Dalil pertama, firman Allah s.w.t.,

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ

Dan kamu mengira mereka itu bangun padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang ANJING mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. [al-Khaf 18:18]

Ayat ini mengisahkan beberapa pemuda yang menyelamatkan diri ke sebuah gua bersama anjing mereka.

Ayat ini dijadikan dalil, khususnya oleh pihak yang menolak atau meragui hadis, bahawa boleh memelihara anjing.

Malah boleh memelihara anjing di dalam rumah sebagaimana para pemuda tersebut memelihara atau membawa anjing mereka ke dalam gua.

Dalil kedua, sabda Rasulullah s.a.w.,

مَنْ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبَ مَاشِيَةٍ أَوْ ضَارِي نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ

Sesiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing penjaga haiwan ternak dan anjing berburu, (pahala) amalannya berkurang dua qiraat setiap hari. [Shahih Muslim, no.: 2940/1574]

Hadis ini dijadikan dalil bahawa makruh hukumnya memelihara anjing sebagai binatang kesayangan (pet).

Sabda Rasulullah "...pahala amalannya berkurang dua qiraat..." menunjukkan hukumnya adalah makruh. Seandainya haram, nescaya ia akan mengakibatkan dosa dan bukannya pahala yang berkurangan.

Pun begitu ada juga yang berpendapat hukumnya haram kerana sengaja menghilangkan pahala amalan. Dalam hadis lain tentang keutamaan solat jenazah, diterangkan bahawa pahala satu qiraat adalah sebesar Bukit Uhud.

Pengecualian diberikan jika tujuan memelihara anjing adalah untuk menjaga keselamatan haiwan ternak atau berburu. Berdasarkan analogi (qiyas), boleh juga memelihara anjing untuk menjaga keselamatan ladang dan rumah.

Berdasarkan analogi juga, boleh memelihara anjing panduan (guide dog) oleh orang buta. Ini kerana anjing tersebut memelihara daripada sesuatu bahaya yang tidak dapat dilihat oleh tuannya.

 

Jika dicermati kedua-dua dalil ini, tidak ada pertentangan. Ini kerana para pemuda yang menyembunyikan diri dalam gua juga memelihara anjing atas tujuan keselamatan.

Buktinya terdapat dalam ayat 18 itu sendiri, "...mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua." Hanya anjing keselamatan yang duduk berjaga di pintu gua.

Jika anjing kesayangan, ia akan baring dan tidur bersama tuannya di dalam gua.

 

Orang-orang Islam yang memelihara anjing, pastikan tujuan utama adalah keselamatan.

Kemudian, hendaklah memelihara anjing itu dengan kasih sayang kerana Islam melarang kita daripada menzalimi haiwan.