Tazkirah hari ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ.

Dan kami telah perintahkan Nabi Ibrahim dan Ismail agar membersihkan rumah-Ku (Ka’bah) untuk orang-orang yang tawaf, i’tikaf, rukuk dan sujud. [al-Baqarah 2:125]

 

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan ibadah yang patut dilakukan ketika di Ka'bah, iaitu tawaf, i'tikaf, rukuk dan sujud (Solat).

Inilah juga yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat baginda dan generasi awal umat Islam (Salaf al-Soleh) sesudah mereka melakukan umrah.

Mereka hanya melakukan satu umrah bagi setiap perjalanan (one umrah for every trip).

Masa selebihnya di Kota Mekah dimanfaatkan untuk tawaf sunat, i'tikaf dan solat, baik yang wajib mahupun sunat di Masjidil Haram.

Dalam hayatnya, baginda melakukan umrah sebanyak 4 kali. Iaitu (1) Umrah Hudaibiyah yang kemudiannya terhalang, (2) Umrah qadha pada tahun berikutnya, (3) Umrah dari Ji'ranah dan (4) Umrah bersama haji.

Setiap kali di Kota Mekah untuk melakukan umrah, baginda berada di sana selama beberapa hari dan boleh boleh saja untuk baginda melakukan umrah lebih dari sekali.

Pada tahun penaklukan Kota Mekah misalnya, baginda berada di sana selama 19 hari. Kekuasaan dan keamanan sudah berada di tangan umat Islam.

Namun setiap kali baginda sampai ke Mekah, baginda tidak keluar ke daerah halal untuk melakukan umrah berulang kali.

------

Ada yang kata, mungkin Rasulullah bimbang jika baginda melakukan umrah berulang kali, umat akan anggap ia satu kewajipan.

Dijawab, baginda boleh mempelbagaikan bilangan umrah bagi setiap perjalanan. Ada yang sekali, ada yang dua kali dan ada yang tiga kali. Melalui cara ini, umat akan tahu bahawa ia sesuatu yang terbuka dan bukannya kewajipan mahupun ketetapan. Namun baginda tidak melakukannya.

Bahkan atas hujah yang sama, tindakan Rasulullah yang melakukan satu umrah bagi setiap perjalanan menunjukkan bahawa itulah yang diwajibkan serta ditetapkan.

-----

Para ulama' berbeza pendapat tentang hukum melakukan umrah berulang kali dalam satu perjalanan.

Ada yang membolehkannya atas dasar memperbanyakan amal soleh dan memanfaatkan masa yang ada di Mekah, khasnya bagi jemaah yang datang dari jauh.

Ada yang berkata tidak boleh kerana melakukan umrah berulang kali dalam satu perjalanan tidak ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w..

Dibimbangi umrah berulang kali itu tidak menghasilkan apa-apa pahala kerana,

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

"Sesiapa yang beramal dengan amalan yang tidak berada atas urusan kami (yakni agama Islam), maka ia tertolak." [Shahih Muslim 3243/1718]

Malah dibimbangi umrah berulang kali itu masuk dalam kategori bid'ah yang telah diberi peringatan dan amaran oleh Allah dan Rasulullah.

Selain itu peluang beramal soleh dan memanfaatkan masa di Mekah tetap ada, yakni melakukan tawaf sunat, i'tikaf dan melaksanakan solat (wajib serta sunat) di Masjidil Haram.

Bahkan mereka berpendapat inilah yang lebih utama ketika sudah berada di Mekah, berdasarkan ayat 125 surah al-Baqarah.

Saya memilih pandangan kedua ini (satu umrah bagi setiap perjalanan ke Mekah).