Bulan November 2008 ini genaplah dua tahun laporan muka utama
sebuah akhbar perdana tempatan yang berjudul “Fahaman Wahabi Menular”.
Kebanyakan kenyataan dalam laporan tersebut adalah tidak tepat sebagaimana yang
telah dijelaskan oleh sahabat saya, Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus dalam bukunya
Fahaman Wahabi Menular: Satu Analisis Terhadap Dakwaan Yang Ditimbulkan Oleh
Akhbar Utusan Malaysia terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006. Namun ada dua
kenyataan yang boleh dikatakan tepat:
- Pertama: Laporan tersebut menyatakan
bahawa fahaman Wahabi sedang menular. Ini tepat, bahkan yang lebih jitu
adalah fahaman Wahabi memang sungguh-sungguh sedang menular. Ia
seumpama arus tsunami yang menenggelamkan pelbagai fahaman, pengaruh,
jamaah dan aliran lain yang ada di Malaysia.
- Kedua: Laporan tersebut menyatakan
bahawa fahaman Wahabi mendapat tempat di kalangan cerdik pandai umat
Islam. Ini tepat, tetapi realiti masa kini membuktikan bahawa fahaman
Wahabi juga sudah mendapat tempat di kalangan mereka yang berada dalam
pelbagai lapisan dan latarbelakang.
Apa
Dan Kenapa Wahabi?
Saya biasa ditanya, apakah fahaman Wahabi? Jawapan saya
mudah sahaja: “Ia adalah pemikiran dan amalan Islam berdasarkan dalil dan hujah
yang berbeza dengan kebiasaan masyarakat”. Soalan seterusnya, kenapa fahaman
Wahabi mendapat tempat secara meluas di kalangan umat Islam? Terdapat beberapa
jawapan bagi persoalan ini:
Pertama: Fahaman ini memandang Islam sebagai
suatu agama yang berdasarkan ilmu. Oleh itu ia tidak membicarakan Islam
melainkan dengan metodologi ilmiah yang tinggi lagi berdisiplin. Fahaman ini
menolak bicara Islam yang berdasarkan mitos, khayalan, cerita-cerita dongeng
dan apa-apa yang seumpama. Dalam suasana umat Islam yang semakin meningkat
taraf keilmuannya, mereka mula beralih kepada Islam yang berdasarkan ilmu,
yakni dalil dan hujah.
Kedua: Fahaman ini meningkatkan lagi
penghayatan umat Islam terhadap agama Islam. Jika sebelum ini umat hanya
mengenal Islam berdasarkan hafalan “fardhu ain”, kini umat mula mengenal Islam
berdasarkan dalil dan hujah. Umat Islam mula mengenal kenapa mereka beribadah
dengan tatacara sekian-sekian, hikmah di sebalik sesuatu ibadah, tujuan di
sebalik sesuatu hukum dan objektif yang ingin dicapai oleh syari’at kepada
manusia.
Ketiga: Fahaman ini memberi penekanan kepada
usaha tajdid, iaitu usaha membersihkan agama Islam dari pelbagai pencemaran
sehingga ia kembali tulen. Ketulenan ini adalah sesuatu yang benar-benar asing
kepada masyarakat sehingga mereka menganggap ia adalah sesuatu yang baru,
sekali pun ia sebenarnya sudah wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Usaha
tajdid memberi nafas baru kepada umat Islam. Mereka mula melihat keindahan,
kemudahan dan kesyumulan Islam sebagaimana yang dilihat oleh generasi pertama
yang menerimanya secara tulen daripada Rasulullah s.a.w..
Keempat: Fahaman ini menyentuh isu-isu terkini
lagi relevan dengan suasana umat Islam. Sebagai contoh, apabila fahaman yang
lain masih memberi perhatian kepada hukum berwudhu’ dengan air perigi, fahaman
ini memberi perhatian kepada hukum berwudhu’ dalam kapalterbang. Apabila
fahaman lain memberi perhatian kepada cara berzikir di atas pokok, fahaman ini
memberi perhatian kepada cara beribadah di atas kenderaan moden seperti LRT,
Monorail, Komuter dan sebagainya. Oleh itu tidak asing juga apabila didapati
antara yang kehadapan dalam menangani isu-isu liberalisme, pluralisme,
feminisme dan athiesisme adalah tokoh-tokoh yang disandarkan kepada fahaman
ini.
Kelima: Fahaman ini tidak membataskan ahli-ahlinya
kepada jamaah tertentu. Tidak ada sistem mendaftar keahlian, berbai’ah kepada
amir, perlantikan ahli jawatan kuasa tahunan dan lain-lain yang biasa ditemui
dalam jamaah-jamaah Islam. Seseorang itu boleh sahaja mengikuti fahaman ini dan
pada waktu yang sama terus bergiat aktif dengan jamaah yang dianggotainya.
Hanya saja fahaman ini mengingatkan umat Islam agar membetulkan tujuan mereka
bergiat aktif di dalam sesuatu jamaah. Hendaklah tujuan tersebut demi kebaikan
Islam dan umatnya, bukan demi memelihara maruah jamaah dan menjaga kedudukannya
sebagai yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang lain.
Di
Mana Salahnya Fahaman Wahabi?
Secara umum, tidak ada yang salah dengan fahaman Wahabi
kecuali namanya. Memang, ada segelintir orang yang mengikuti fahaman ini dengan
semangat yang mendahului ilmu dan kematangan sehingga mereka berlebih-lebihan
dalam mengkritik dan mencela. Namun tindakan segelintir tidak boleh dijadikan
hujah untuk menghitamkan keseluruhan fahaman ini dan majoriti yang mengikutinya
berdasarkan ilmu dan kematangan.
Fahaman Wahabi bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam atau
terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Malah ia lebih mendekati
Islam yang sebenar dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tulen.
Terkecuali adalah nama “Wahabi” yang disandarkan kepada fahaman ini, ia adalah
nama yang sengaja digunakan oleh sebahagian agamawan sebagai senjata
untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka daripada fahaman yang murni
ini. Kenapakah perlu ditakut dan dijauhkan orang ramai daripada fahaman ini?
Paling kurang ada dua sebab utama:
Sebab Pertama: Apabila fahaman ini membicarakan Islam berdasarkan
metodologi ilmiah, akan terbongkar kesilapan, kedongengan dan kepalsuan apa
yang selama ini disampaikan oleh para agamawan tersebut. Dalam menghadapi
suasana ini, para agamawan terbahagi kepada dua kategori:
- Pertama adalah mereka yang
bekerjaya dalam jurusan agama berdasarkan sikap jujur lagi amanah. Mereka
membetulkan apa yang pernah disampaikan sebelum ini seandainya ia
sememangnya tidak tepat.
- Kedua adalah mereka yang
bekerjaya dalam jurusan agama kerana maruah dan status. Mereka sukar untuk
mengakui bahawa apa yang mereka sampaikan sebelum ini adalah tidak tepat.
Maka mereka mencari helah untuk menakutkan orang ramai dan menjauhkan mereka
dari kebenaran tersebut. Helah tersebut adalah: “Berhati-hatilah dengan
fahaman Wahabi kerana ia terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah……”
Sebab Kedua: Fahaman ini benar-benar mendapat sambutan daripada umat
Islam sehingga kuliah-kuliah pimpinan tokohnya dibanjiri oleh hadirin dari
pelbagai latarbelakang. Suasana ini bertolak belakang dengan kuliah-kuliah lain
yang semakin lengang sehingga akhirnya dibatalkan oleh pihak penganjur. Dalam
menghadapi suasana ini, sekali lagi para agamawan terbahagi kepada dua
kategori:
- Pertama adalah mereka yang
memiliki sikap yang positif dimana dengan sikap tersebut mereka berusaha
untuk mempertingkatkan mutu kuliah yang disampaikan, selari dengan
kehendak para hadirin.
- Kedua adalah mereka yang
memiliki sikap yang negatif dimana mereka enggan mempertingkatkan mutu
kuliah yang disampaikan. Pada waktu yang sama mereka tidak boleh berdiam
diri kerana semua ini melibatkan sumber pendapatan mereka. Dengan
berkurangnya jemputan, berkuranglah juga pendapatan. Maka mereka perlu
mencari helah untuk menjanakan kembali sumber pendapatan dengan berkata:
“Berhati-hatilah dengan kuliah orang-orang Wahabi, mereka itu ditaja oleh
pihak Barat……”
Siapa Yang Sebenarnya Salah?
Diharapkan melalui penjelasan yang ringkas di atas, para pembaca
sekalian dapat mengetahui kisah sebenar di sebalik gelaran atau tuduhan
“Wahabi”. Tidak percaya? Cubalah mengkaji salah satu dari kitab Mazhab
asy-Syafi’e yang muktabar dan pilih satu hukum atau amalan yang berbeza dari
kebiasaan masyarakat. Nescaya anda akan dituduh “Wahabi” sekalipun rujukan anda
ialah kitab muktabar Mazhab asy-Syafi’e.
Di sini ingin saya tambah, bahawa yang tidak benar bukan sekadar
tuduhan “Wahabi”, tetapi sikap orang yang menuduh itu sendiri adalah tidak
benar. Ini kerana Islam melarang umatnya daripada tuduh-menuduh, cemoh-mencemuh
dan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang tidak baik. Allah
s.w.t. berfirman, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kumpulan (dari kaum
lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana) boleh
jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah
pula sesuatu kumpulan dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan
perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih
baik daripada mereka;
Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain;
dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan
gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang
melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada
seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat
(daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [al-Hujurat
49:11]
Akhir kata, apabila anda mendengar seseorang berkata: “Si fulan Wahabi”, “Kumpulan itu Wahabi”, “Ini majalah Wahabi” atau apa-apa tuduhan seumpama, maka ketahuilah bahawa kesalahan tidak terletak pada yang dituduh tetapi pada yang menuduh.