Islam bukanlah agama yang terbatas kepada aspek ibadah seperti solat, puasa dan haji, akan tetapi meluas kepada segala aspek kehidupan. Termasuk dalam keluasan ini ialah aspek budaya kerja, sebagaimana yang segera dapat difahami dari firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَقُلْ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ.

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” [al-Taubah 9:105]

Firman Allah “Bekerjalah” merujuk kepada semua jenis pekerjaan dan ia dalam bentuk kata perintah yang bererti suruhan. Maka Islam menolak semua jenis sikap malas tanpa pekerjaan, sebaliknya menyuruh umatnya bekerja dengan apa jua yang selari dengan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. 

Selain itu suruhan bekerja tidak dibiarkan begitu sahaja, ia diikuti dengan pemerhatian, pemantauan dan pengawasan daripada Allah, Rasul-Nya (Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) dan orang-orang yang beriman. Tidak penting bagaimana Allah dan Rasul-Nya melaksanakan pemantauan ini, yang penting ialah dengan adanya pemantauan itu seorang muslim tidak akan tergamak bekerja secara malas, khianat dan merugikan majikannya. Dia akan merasa malu, takut dan bertanggungjawab kepada Allah, Rasulullah dan sesama umat Islam. Dia mengetahui dirinya akan dikembalikan kepada Allah pada Hari Akhirat kelak dan Allah akan mengkhabarkan budaya kerjanya di mahkamah Padang Masyar nanti.

Justeru sekalipun ayat 105 surah al-Taubah ini merupakan ayat suruhan bekerja, dari sudut yang lain ia juga merupakan ayat ancaman, mengancam sesiapa jua yang enggan bekerja atau bekerja tetapi tidak dengan budaya yang cemerlang. Maka dalam tulisan yang serba ringkas ini, ingin saya kongsikan beberapa ciri budaya kerja yang cemerlang agar diri saya dan para pembaca sekalian lulus cemerlang dalam pemantuan di dunia dan pengadilan di Akhirat kelak.

 

Budaya # 1: Ikhlas.

Ikhlas ialah melakukan sesuatu dengan tujuan mengharapkan redha Allah sebagai prioriti pertama. Ikhlas tidak terbatas kepada aspek ibadah khusus tetapi meluas kepada semua aspek kehidupan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

Katakanlah: “Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [al-An’aam 6:162]

Ikhlas dalam bekerja menyebabkan seseorang itu tidak akan kehilangan motivasi seandainya hasil kerjanya tidak mendapat sanjungan majikan, kerana yang penting bagi dirinya ialah sanjungan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ikhlas juga menjadikan seseorang itu pekerja yang berani sebab dia mengetahui Allah akan melindunginya dari apa-apa perbuatan fitnah manusia seperti dengki dan politik kotor pejabat. Pengetahuan ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

مَنْ الْتَمَسَ رِضَا اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ وَمَنْ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ.

Sesiapa mencari keredhaan Allah dengan kebencian manusia, maka Allah akan melindunginya dari kesulitan perbuatan manusia. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia dengan kebencian Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia.[1]

 

Budaya # 2: Amanah.

Ketika menerangkan ciri-ciri orang yang berjaya dalam firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. [al-Mu’minun 23:01]

Salah satu ciri yang disenaraikan ialah:

وَالَّذِينَ هُمْ لأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ.

Iaitu orang-orang yang menjaga amanah dan janjinya. [al-Mu’minun 23:08]

Termasuk dalam kategori amanah dan berpegang kepada janji ialah:

  • Berpegang teguh kepada kontrak atau surat perjanjian antara majikan dan pekerja. Ini merujuk kepada dokumen yang ditandatangai ketika mula bekerja atau apa-apa perjanjian baru yang dipersetujui antara majikan dan persatuan pekerja.
  • Melaksanakan pekerjaan berdasarkan ilmu agar hasilnya seperti yang diharapkan oleh majikan, atau yang lebih baik dari itu. Dalam konteks ini ilmu terbahagi dua. Pertama ialah ilmu asas yang perlu diketahui oleh pekerja sebagaimana yang disyaratkan oleh majikan. Kadangkala ilmu ini disediakan oleh majikan melalui latihan dan kursus. Kedua ialah ilmu sampingan yang diusahakan sendiri oleh pekerja yang dapat menjadikan dirinya pekerja yang lebih mahir, efektif dan bermotivasi.
  • Bersikap jujur dalam semua tingkah lakunya. Antaranya ialah jujur dalam mengakui kesalahan, menerangkan ketidaktahuan, meminta cuti kecemasan, melaporkan penyelewengan di tempat kerja, menggunakan peralatan yang disediakan majikan, melaksanakan pekerjaan, membahagikan tugas dan memberi cadangan.

Pekerja yang melazimkan dirinya dengan sikap jujur akan dikenali di kalangan rakan kerja dan majikan sebagai orang yang jujur sehingga pelbagai kebaikan disandarkan kepada dirinya di dunia dan akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا.

Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan menunjuk kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan menunjuk kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan menunjuk kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.[2]

 

Budaya # 3: Sederhana Tetapi Berterusan.

Fahaman masyhur menyatakan, lebih banyak jenis dan jumlah pekerjaan yang dilakukan, lebih hebat seseorang itu. Namun fahaman ini perlu dikaji semula, sebab yang penting ialah kualiti dan bukannya kuantiti. Tidak ada faedah orang yang melakukan banyak jenis dan jumlah pekerjaan jika hasil kualitinya adalah minimum atau tidak memuaskan. Kemudian lazimnya pekerja seumpama akan menjadi letih, bosan dan nyah-motivasi hingga akhirnya kualiti kerja masuk ke skala negatif.

Berbeza dengan orang yang melakukan bukan sedikit tetapi sederhana jenis dan jumlah pekerjaannya berdasarkan kemampuannya, dia akan menghasilkan kualiti kerja yang jauh lebih baik dalam jangka masa yang panjang. Sederhana dalam jenis dan jumlah pekerjaaan berdasarkan kemampuan demi menjaga kualiti yang berterusan digalakkan oleh Islam. A’isyah radhiallahu 'anha, isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah menerangkan tentang seorang wanita yang berlebih-lebihan dalam mendirikan solat. Rasulullah menjawab:

مَهْ عَلَيْكُمْ بِمَا تُطِيقُونَ فَوَاللَّهِ لاَ يَمَلُّ اللَّهُ حَتَّى تَمَلُّوا وَكَانَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيْهِ مَادَامَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ.

Janganlah begitu, ke atas kalian apa yang sekadar mampu. Demi Allah! Allah tidak bosan memberi ganjaran sehinggalah kamu sendiri yang merasa bosan (untuk beramal). Agama yang paling disukai oleh Allah ialah apa yang dilakukan secara berterusan.[3]

 

Budaya # 4: Berhubung Dengan Sesama Pekerja.

Seorang muslim ialah wali kepada muslim yang lain, iaitu pendukung, penolong, pembela, penjaga rahsia, penutup aib, pemelihara maruah dan penyayang kepada sesama muslim yang lain. Termasuk dalam maksud wali ialah saling menghormati, memuliakan dan menjalin hubungan akrab. Inilah ciri seorang mukmin sebagaimana yang Allah Subhanahu wa Ta'ala terangkan:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ.

Dan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, setengahnya menjadi wali bagi setengahnya yang lain. [al-Taubah 9:71]

Maka dalam budaya kerja seorang muslim – bahkan mukmin – yang cemerlang, tidak sepatutnya timbul sikap dengki, saling menjatuhkan, bergossip, menuduh, menyembunyikan ilmu, membocorkan rahsia dan aib, berburuk sangka dan bermusuhan. Sebaliknya hendaklah setiap pekerja menjadi wali kepada pekerja yang lain. Jadikanlah hadis berikut sebagai contoh budaya sesama muslim:

أَفْضَلُ الأَعْمَالِ أَنْ تُدْخِلَ عَلَى أَخِيْكَ الْمُؤْمِنِ سُرُورًا، أَوْ تَقْضِيَ عَنْهُ دَيْنًا، أَوْ تُطْعِمَهُ خُبْزًا.

Seutama-utama amal ialah kamu menggembirakan saudaramu semukmin, atau kamu melunaskan hutangnya atau kamu memberinya makan roti.[4]

 

Budaya # 5: Berhubung Dengan Ahli Keluarga.

Bekerja bukanlah tujuan hidup tetapi alat demi mencapai kehidupan yang bahagia. Tidaklah kehidupan itu dikategorikan sebagai bahagia jika ahli keluarga tidak diturut sertakan. Maka seorang pekerja muslim yang cemerlang tidak akan melupakan ahli keluarganya, baik ibubapa mahupun anak isteri. Maka dalam rangka bekerja, dia akan memerhatikan keadaan keluarga, pulang ke pangkuan mereka, berbelanja untuk mereka dan berusaha untuk membahagiakan kehidupan bersama. Malah, kebahagiaan bersama akan menjadikan sang pekerja kembali ke pejabat keesokan harinya dengan lebih bertenaga, ceria dan bermotivasi. Tentu saja ini akan meningkatkan kualiti kerjanya.

Pendapatan yang diperolehi dari pekerjaan, janganlah dibelanja bersama rakan-rakan sahaja untuk minum teh tarik di gerai, menonton sukan dan pergi memancing. Sebaliknya berbelanjalah untuk keluarga dalam kadar yang tidak membazir kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menganjurkan:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ.

Satu dinar yang kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang kamu belanjakan untuk membebaskan seorang hamba, satu dinar yang kamu sedekahkan untuk orang miskin dan satu dinar yang kamu belanjakan untuk keluargamu, maka di antara semua itu yang paling agung ganjarannya ialah yang kamu belanjakan kepada keluargamu.[5]

 

Budaya # 6: Berhubung Dengan Allah.

Di belakang dalam susunan tidak semestinya di belakang dalam keutamaan. Maka di samping berhubung dengan sesama pekerja dan ahli keluarga, hendaklah seorang pekerja muslim yang cemerlang menjaga hubungannya dengan Allah. Janganlah sibuk bekerja hingga lupa untuk beribadah kepada Allah. Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

يَقُوْلُ رَبُّكُمْ: يَا اِبْنَ آدَمَ! تَفْرَغُ لِعِبَادَتِيْ أَمْلأُ قَلْبَكَ غِنًى وَأَمْلأُ يَدَيْكَ رِزْقًا، يَا اِبْنَ آدَمَ! لاَ تُبَاعِدَ مِنَّي فَأَمْلأُ قَلْبَكَ فَقْرًا وَأَمْلأُ يَدَيْكَ شُغْلاً.

Tuhan kalian berfirman: “Wahai anak Adam (manusia sekalian)! Hendaklah kamu sibuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku penuhi hatimu dengan rasa cukup dan Aku penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki.

Wahai anak Adam! Janganlah kamu menjauhi daripada-Ku, kerana tentu Aku akan penuhi hatimu dengan rasa serba tak cukup dan Aku penuhi kedua-dua tanganmu dengan kesibukan.”[6]

Perhatikan juga ayat-ayat berikut:

رِجَالٌ لاَ تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلاَ بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالأَبْصَارُ (37) لِيَجْزِيَهُمْ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (38).

Orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada mengingati Allah dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. [al-Nur 24:37-38]

Jangan dalam kesibukan bekerja kita lupa untuk mengadu kepada Allah, menceritakan masalah, meminta keinginan dan mengharapkan rahmat serta kurnia-Nya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ نَزَلَ بِهِ حَاجَةٌ فَأَنْزَلَهَا بِالنَّاسِ كَانَ قَمِنًا مِنْ أَنْ لاَ تَسْهُلَ حَاجَتُهُ وَمَنْ أَنْزَلَهَا بِاللَّهِ آتَاهُ بِرِزْقٍ عَاجِلٍ أَوْ بِمَوْتٍ آجِلٍ.

Sesiapa yang memiliki hajat (masalah, keinginan) lalu mengajukan hajatnya kepada kepada manusia, maka Allah akan mempersulitkan penyelesaiannya. Sebaliknya sesiapa yang mengajukan hajatnya kepada Allah, Allah akan mempercepatkan rezekinya atau mengakhirkan kematiannya.[7]

 

Budaya # 7: Membersihkan Diri Daripada Yang Tidak Halal.

Mutakhir ini, sukar untuk dicari kerjaya yang halal sepenuhnya, bersih sepenuhnya. Maka Islam memberi jalan keluar, iaitu elakkan diri daripada melakukan dosa besar, maka dengan itu Allah akan hapuskan dosa-dosa yang kecil. Dalam konteks pekerjaan, elakkan dari terlibat secara langsung dengan aktiviti haram syarikat (dosa besar), maka Allah akan hapuskan kesalahan bersubahat kerana bekerja dengan syarikat itu (dosa kecil). Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلاً كَرِيمًا.

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan hapuskan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). [al-Nisa’ 4:31]

Seterusnya perbanyakkan amal kebajikan seperti bersedekah dan kerja-kerja sukarelawan kerana amal kebajikan seperti ini juga menghapuskan dosa-dosa kecil. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ.

Sesungguhnya amal-amal kebajikan menghapuskan kejahatan (dosa-dosa kecil). [Hud 11:114]

Demikian tujuh budaya kerja yang patut dimiliki oleh setiap muslim yang cemerlang, yang ingin cemerlang. Semoga dengan budaya kerja ini, kita akan lulus pemantauan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman di dunia ini dan pengadilan Allah di Akhirat kelak.

 



[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2414.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6094.

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 43.

[4]               Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Abi Dunya dan al-Dailami, dinilai hasan oleh al-Albani berdasarkan beberapa jalan penguat. Rujuk Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 1494.

[5]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 995.

[6]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadraknya, hadis no: 7926 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih sanadnya tetapi tidak dikeluarkan (oleh al-Bukhari dan Muslim)” dan ia dipersetujui sahih oleh al-Zahabi.

[7]               Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 3696.