Ulasan oleh Abu Adam (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

Judul buku : Berlebih-lebihan Dalam Agama
Judul asal : Al-Ghuluwwu fi Al-Din
Penulis : Abud Bin Ali Bin Dar
Penerbit : Pustaka Azzam
Harga : RM34.80
Di mana : Pustaka Indonesia (Depan Masjid India)

Islam adalah agama rahmat yang memiliki ciri-ciri wasathiyah iaitu kesederhanaan dalam setiap ajarannya (Surah Al-Baqarah : 143). Ini berbeza dengan agama Nasrani sebagai contoh yang memiliki konsep kerahiban yang jelas adalah sesuatu perkara berlebih-lebihan yang tidak pernah disyariatkan di dalam ajaran asalnya.

Banyak lagi contoh ritual-ritual dan amalan-amalan dari agama-agama rekaan yang lain yang keterlaluan serta ekstrem yang dapat kita perhatikan. Amalan-amalan ini diamalkan atas pelbagai nama contohnya ibadat untuk para dewa, membayar nazar, perayaan tertentu, manifestasi kesyukuran dan sebagainya.

Di dalam Al-Quran Allah Subhanahu wa Taala beberapa kali telah memberi amaran kepada ahli-kitab agar tidak berlebih-lebihan dalam agama mereka iaitu menambah-nambahkan perkara yang tiada. (Surah Al-Maidah : 77 dan An-Nisa :171). Oleh kerana itu Rasulullah SAW melarang umatnya dari bersikap berlebih-lebihan dalam agama. Dalam sebuah hadisnya Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud : “Jauhilah oleh kalian akan sikap berlebihan dalam agama kerana binasanya umat terdahulu adalah kerana sikap melampaui batas dalam agama” (Sahihah no. 1283).

Berkata Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah “Apabila Allah memerintahkan sesuatu perkara maka syaitan akan menggoda manusia kepada dua perkara, samada kepada mengabaikan perintah tersebut atau melakukan lebih dari yang sepatutnya. Sedangkan agama Allah adalah agama pertengahan, iaitu seperti lembah di antara dua buah bukit, seperti petunjuk antara dua kesesatan.” Sikap yang kedua inilah yang menjadi perbahasan utama (central theme) kepada buku ini, di mana penulis membicarakan dengan terperinci asal-usul, ciri-ciri serta persamaan yang wujud antara golongan yang bersikap melampau atau berlebihan-lebihan dalam beragama (Al-ghuluw).

Perlu dinyatakan bahawa buku ini tidaklah terbatas kepada membicarakan sikap melampau gerakan teroris Islam dan amalan kafir-mengkafir sepertimana yang banyak dibicarakan, tetapi buku ini juga membicarakan semua aspek Al-ghuluw dalam Ad-Din yang lainnya bermula dari persoalan akidah hinggalah kepada peribadatan.

Pengarang buku ini mendahulukan topik berpegang teguh kepada istilah Al-Quran dan Al-Sunnah dari topik lainnya kerana topik ini sering dipinggirkan dalam kita membicarakan tentang sikap-sikap berlebihan. Menurut pengarang antara tanda-tanda akan sesuatu itu memiliki ciri-ciri ingin berlebihan dari apa yang disyariatkan ialah bila wujudnya istilah-istilah baru yang bukan dari Al-Quran dan Hadis Nabawi mahupun Atsar para sahabat yang biasa digunakan golongan Salaf-us-Soleh. Apabila wujudnya istilah-istilah baru pasti ianya merujuk kepada sesuatu yang baru, dan sesuatu yang ‘baru’ itu secara lumrahnya samada ingin menyaingi, menambahi atau memperbaharui sesuatu yang sedia ada. Berkata Imam Malik rahimahullah “tidak akan menjadi baik umat ini melainkan dengan apa yang menjadikan baik umat terdahulu (golongan salaf)”. Perlu difahami bahawa istilah-istilah yang berupa istilah-istilah kaedah yang dirumus untuk membantu pemahaman ilmu-ilmu agama seperti istilah dalam ilmu usul tidaklah dikira sebagai melampau, apa yang dimaksudkan ialah istilah-istilah baru yang bercorak maqasid (maksud atau tujuan) dalam beragama. Contohnya istilah-istilah falsafah atau ideologi asing yang tiada asalnya dari sumber Al-Quran dan Al-Sunnah yang berjaya menyusup masuk dalam ajaran Islam dan mempengaruhi penganutnya.

Perbahasan istilah ini adalah yang pertama daripada beberapa perbahasan penting lainnya yang disusun penulis mengikut turutan berikut:

2. Faktor-faktor yang menyebabkan timbulnya sikap melampaui batas dalam beragama.
3. Gejala-gejala sikap melampaui batas dalam beragama.
4. Penyelesaian terhadap fenomena melampaui batas dalam beragama.

Dua manfaat besar yang dapat diambil dari buku ini ialah:

Pertama, dengan mengetahui akan ciri-ciri Al-ghuluw maka mudah bagi kita mengenalpasti akan pemikiran dan amalan yang bersifat ghuluw dalam agama. Pemikiran dan amalan ini kadang-kadang tidak mudah untuk dikenali kerana sifatnya yang berselindung di sebalik berbagai-bagai istilah, amalan, gerakan dan kefahaman agama, tetapi apabila dinilai semula dari sudut ilmu dan neraca Al-Quran dan Al-Sunnah ternyata pemikiran dan amalan itu sebenarnya tersasar dari apa yang sebenarnya dituntut oleh Islam.

Kedua, dengan mengetahui akan ciri-ciri Al-ghuluw adalah mudah bagi kita sendiri untuk menilai semula pendekatan beragama diri kita, di manakah posisi kita sebenarnya? Mungkinkah kita berlebih-lebihan dalam sesuatu aspek amalan tetapi memperlekehkan aspek yang lain? Mungkinkah kita juga sudah terjerumus ke dalam perangkap Al-ghuluw tanpa kita sedari? InsyaAllah, segala pertanyaan kita akan terjawab di dalam bab dua buku ini bila penulis menjelaskan sekian banyak sikap-sikap umat manusia yang menjurus kepada Al-ghuluw.

Akhir kata, tiada ubat yang lebih baik untuk kejahilan dan salahfaham selain dari ilmu yang benar dari Al-Quran dan Al-Sunnah, dan inilah yang menjadi sumber hujah-hujah penulis di dalam buku ini. Semoga para netters pencinta ilmu diberi kelapangan oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk mendapatkan buku menarik ini, Amin.