Soalan: Bolehkah Meminta Orang Lain Mendoakan Saya?

Jawapan:

Dibolehkan meminta orang lain mendoakan anda, khasnya orang yang diyakini ketaqwaan dan kesolehannya. Ini disebut sebagai bertawassul dengan doa orang soleh. Dalam al-Qur’an, terdapat kisah anak-anak Nabi Ya’kub yang meminta ayah mereka mendoakan mereka,

قَالُوا يَا أَبَانَا اسْتَغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا إِنَّا كُنَّا خَاطِئِينَ. قَالَ سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّي إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.” Nabi Ya’kub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu daripada Tuhanku; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Yusuf 12:97-98]

Para sahabat radhiallahu 'anhum juga pernah memintakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendoakan mereka, sebagaimana seorang Arab Badwi yang meminta,

يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكَ الْمَالُ وَجَاعَ الْعِيَالُ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا!

Wahai Rasulullah, harta benda telah binasa sementara kaum keluarga kebuluran (kerana kemarau yang panjang). Maka berdoalah kepada Allah bagi kami!

فَرَفَعَ يَدَيْهِ.

Maka baginda mengangkat kedua tangannya (untuk berdoa).[1]

Apabila meminta didoakan oleh orang lain, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

  • Setiap orang hendaklah yakin bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala mendengar doanya dan akan memakbulkan doanya, sehingga dia bersungguh-sungguh dalam berdoa. Jangan meragui perkara ini sehingga dia perlu meminta orang lain mendoakan dia. Ini seperti mana yang telah diterangkan dalam soalan Apakah Adab Paling Utama Ketika Berdoa?
  • Sama ada berdoa sendiri atau meminta orang lain mendoakan, setiap orang hendaklah menghiasi dirinya dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan kadar kemakbulan doa dan menjauhi perkara-perkara yang dapat mengurangkan kadar kemakbulan doa. Ini seperti mana yang telah diterangkan dalam soalan Apakah Persiapan Sebelum Berdoa?
  • Apabila meminta orang lain mendoakan, hendaklah dengan tujuan supaya orang itu dapat memperbanyakan amal solehnya dan ia adalah untuk kebaikan orang itu. Ini kerana doa adalah ibadah dan semua orang yang berdoa akan memperoleh pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
  • Apabila meminta orang lain mendoakan, jangan bergantung, mengadu, merayu dan meraih simpati daripada orang tersebut. Sebaliknya hendaklah bergantung, mengadu, merayu dan meraih simpati secara terus daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
  • Apabila meminta orang lain mendoakan, hendaklah dia (peminta) turut berdoa. Janganlah pula yang meminta menyerahkan urusan doa kepada orang lain dan dia berlepas diri sepenuhnya.
  • Apabila meminta orang lain mendoakan, hendaklah diperhatikan agar permintaannya itu tidak menjadikan orang tersebut terasa hebat dan ujub. Jika dijangka permintaannya akan memberi kesan negatif kepada orang itu, maka janganlah meminta dia mendoakan anda.
  • Meskipun dibolehkan bertawassul dengan doa orang soleh, adalah lebih utama berdoa sendiri. Ini kerana orang yang menghadapi masalah atau menghajatkan sesuatu akan lebih “merasai” masalah dan hajatnya, sehingga doanya menjadi lebih khusyuk, merendah diri, terasa faqir, bersungguh-sungguh dan bererti, bahkan mungkin sehingga melinang air mata. Ini tentunya lebih berkesan berbanding meminta orang lain yang tidak “merasai” masalah atau hajatnya untuk mendoakannya.

 

Penjelasan Tambahan

Sudah menjadi budaya yang merebak pada masa kini, orang ramai memilih menceritakan ujian yang Allah berikan kepada mereka di media-media sosial dan meminta para pengunjung (netizen) mendoakan mereka. Kemudian mereka tertunggu-tunggu apakah komen para pengunjung. Jika ada banyak komen positif, mereka menjadi gembira dan bersemangat. Jika hanya sedikit komen positif atau tiada komen langsung, mereka menjadi sedih dan hampa.

Tanpa disedari, ini adalah satu perbuatan mengadu, merayu dan meraih simpati daripada orang ramai. Selain itu timbul soalan, di kalangan para pengunjung media sosial mereka itu, berapa ramai yang benar-benar berdoa kepada Allah untuk kebaikan mereka?

Sikap yang benar apabila diuji oleh Allah ialah kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan kekurangan harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar;

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kepada Allah jualah kami kembali.”

أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ.

Mereka itulah yang mendapat selawat dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. [al-Baqarah 2:155-157]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ: ((إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ))

Tidaklah seorang muslim yang apabila ditimpa musibah dia menyebut apa yang diperintahkan oleh Allah, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kepada Allah jualah kami kembali.

اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا.

(lalu berdoa) Ya Allah, berilah pahala kepadaku pada musibah yang menimpa aku ini dan gantilah bagiku sesuatu yang lebih baik daripadanya.”

إِلَّا أَجَرَهُ اللَّهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا.

melainkan Allah akan memberikan pahala pada musibahnya itu dan menggantikan baginya sesuatu yang lebih baik daripadanya.[2]

 

Notakaki

[1]  Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 881/933 (Kitab al-Jumu’ah, Bab al-Istisqa’ ketika khutbah Jumaat). Teks lengkap hadis telah dikemukakan sebelum ini.

[2]  Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1526/918 (Kitab al-Jana’iz, Bab apa yang diucapkan saat ditimpa musibah).