Soalan: Kenapa Berdoa Jika Semuanya Sudah Ditakdirkan?

Jawapan:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menyatakan,

لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ وَلاَ يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِرُّ.

Tidak ada yang dapat mencegah takdir melainkan doa dan tidak ada yang menambahi umur melainkan amal kebaikan.[1]

Malah baginda sendiri lazim berdoa, sebagaimana ungkap Abu Hurairah radhiallahu 'anh,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ مِنْ سُوءِ الْقَضَاءِ وَمِنْ دَرَكِ الشَّقَاءِ وَمِنْ شَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ وَمِنْ جَهْدِ الْبَلاَءِ.

Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa untuk berlindung daripada taqdir buruk, kesialan, cacian musuh dan daripada ujian yang menyusahkan.[2]

Oleh itu berdasarkan perkataan dan perbuatan Rasulullah, maka doa benar-benar dapat memberi pengaruh kepada takdir. Bagi memahami perkara ini, hendaklah diketahui bahawa takdir terbahagi kepada dua:

  • Pertama adalah taqdir mubram, ia adalah takdir muktamad yang tertulis sejak 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi. Ia tersimpan di Luh Mahfuz dan tidak menerima apa-apa pengurangan, penambahan atau ubah suai padanya.
  • Kedua adalah taqdir mu’allaq, ia adalah beberapa arahan daripada taqdir mubram dari masa ke semasa untuk dilaksanakan oleh malaikat ke atas alam ini, termasuklah ke atas manusia.

Dalil bagi kedua-dua jenis takdir ini adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ.

Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab (Luh Mahfuzh). [al-Rad 13:39]

Firman Allah, “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki)” merujuk kepada taqdir mu’allaq.

Firman Allah, “Dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab (Luh Mahfuzh)” merujuk kepada taqdir mubram.

Contoh lain tentang taqdir mu’allaq adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala tentang peranan malaikat pada malam al-Qadar (Lailatul Qadar),

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam al-Qadar (Lailatul-Qadar),

وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ؟

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia (kebesaran) Malam al-Qadar itu?

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ.

Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ.

Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ.

Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! [al-Qadar 97:1-5]

Oleh itu hendaklah kita terus berdoa dengan yakin kerana doa dapat memberi pengaruh kepada taqdir mu’allaq. Sejauh mana pengaruh tersebut, ia bergantung kepada kehendak dan hikmah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apa yang penting adalah kita terus berdoa dengan yakin dan terus berusaha secara sungguh-sungguh kerana kedua-dua perbuatan ini disuruh oleh Allah dan Rasulullah. Seandainya doa dan usaha tidak memberi pengaruh ke atas takdir, nescaya Allah dan Rasulullah tidak akan menyuruh kita melakukannya.[3]

 

Penjelasan Tambahan

Berdasarkan penjelasan di atas dan surah al-Qadar, hendaklah memperbanyakkan dan bersungguh-sungguh berdoa pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Ini kerana pada malam tersebut para malaikat membawa turun taqdir mu’allaq bagi urusan setahun yang akan datang sementara doa akan dapat memberi pengaruh kepada takdir tersebut. Lebih lanjut tentang keutamaan berdoa pada waktu malam, sila ulangkaji soalan sebelum ini, Apakah Keutamaan Berdoa Pada Waktu Malam?

 

 

Notakaki

[1]  Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2065/2139 (Kitab al-Qadar, Bab takdir tidak boleh ditolak kecuali dengan doa). Sementara itu Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah menilainya hasan li ghairihi dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 2276.

[2]  Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4880/2707 (Kitab al-Zikr, al-Dua, al-Taubat wa al-Istighfar, Bab berlindung dari buruknya takdir buruk dan kesialan).

Penjelasan tambahan: Semua takdir Allah adalah baik. Namun di sisi manusia, kerana tidak faham hikmah Allah di sebalik sesuatu takdir, akan menganggapnya buruk.

[3] Lebih lanjut, jemput mengkaji buku penulis berjudul 47 Persoalan Qadar dan Qadha terbitan Jahabersa, atau boleh dimuat turun di www.hafizfirdaus.com