|
||
C: Berbuat Baik Kepada Ibubapa Pada Masa Hidup Mereka. Memaafkan : Meminta pertolongan Allah : Memahami : Merendahkan diri : Mengorbankan diri
Kedua: Meminta pertolongan Allah.
Berbuat baik kepada ibubapa memiliki cabaran-cabarannya yang tersendiri kepada kita sebagai anak-anak. Perhatian terhadap pembelajaran, kesibukan kerjaya, tanggungjawab terhadap anak-anak sendiri, jarak yang jauh dari kampung dan sikap ibubapa yang mungkin cerewet atau degil adalah sebahagian daripada cabaran tersebut. Maka di samping berusaha menangani pelbagai cabaran ini, hendaklah juga kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah Mengetahui bahawa berbuat baik kepada ibubapa memiliki pelbagai cabaran, maka dengan itu Dia mengajar kita sebuah doa yang amat baik:
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal shalih yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” [al-Ahqaf 46:15]
Di antara kandungan doa ini adalah:
Ambillah iktibar daripada sikap Nabi Sulaiman ‘alahissalam, apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengurniakan kepada dia dan ayahnya (Nabi Daud ‘alaihissalam) hikmah dan ilmu, namun dilebihkan kepada Nabi Sulaiman kefahaman hukum:
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.
Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmah (kebijaksanaan) dan ilmu; dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. [Maksud surah al-Anbiya’ 21:78-79]
Sekalipun dengan kelebihan tersebut, Nabi Sulaiman tetap mendoakan ayahnya dengan berkata:
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal shalih yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang shalih.” [al-Naml 27:19]
Di antara sikap anak yang bersyukur dan berkongsi nikmat kurniaan Allah bersama ibubapanya adalah dia tetap memuliakan mereka di hadapan rakan-rakan dan suasana kehidupannya. Sekalipun ibubapanya adalah “orang kampung” manakala rakan-rakannya adalah daripada “kelas atasan” dan suasana kehidupannya adalah serba “canggih”.
Perhatikan sikap Nabi Yusuf ‘alahissalam apabila dia menjemput ibubapanya (Nabi Yaakub ‘alahissalam) dan ahli keluarganya yang berasal dari pendalaman ke istananya dan mendudukkan mereka di sampingnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengungkap kisah teladan ini dalam firman-Nya:
Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibubapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam keamanan.”
Dan dia dudukkan kedua ibubapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf:
“Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Dia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Dia mengeluarkan daku dari penjara; dan Dia membawa kamu ke mari dari pendalaman (Badwi) sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku.
Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbir-Nya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” [Maksud surah Yusuf 12:99-100]
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.
|
||
|