Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah

(Buku 3)

 

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah

 

Indeks

 

Maklumat Buku

 

Kata Pengantar

 

Tajuk 1

 

Tajuk 2

 

Tajuk 3

 

Tajuk 4

 

Tajuk 5

 

Tajuk 6

 

Tajuk 7

 

Tajuk 8

 

Tajuk 9

 

Tajuk 10

 

 

 

 

Tuhan Islam Kejam?

oleh:Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Tuhan Islam kejam!” komen salah seorang kenalan saya.

 

Kenapa anda beranggapan demikian?” saya bertanya, kehairanan.

 

Bukankah semua kesalahan kecil atau besar, sedikit atau banyak, akan dihukum dosa dan diazab di dalam neraka?

 

Oooh begitu, teruskan…

 

Setelah itu mereka akan kekal di dalam neraka kerana di dalam al-Qur’an disebut bahawa semua penghuni neraka akan kekal di dalamnya, tidak ada yang keluar daripadanya.

 

Itu hanyalah pada pandangan anda” komen saya secara ringkas, cuba untuk membetulkan salah fahamnya.

 

Bukan pandangan saya tetapi pandangan al-Qur’an dan inilah yang diajar kepada saya tentang Islam sejak dari kecil. Pandangan Bible jauh berbeza dengan pandangan al-Qur’an. Di dalam Bible, Tuhan adalah Maha Pengampun dan Pengasih. Siapa sahaja yang percaya kepada Jesus akan memperoleh keselamatan dan kehidupan yang abadi, yakni mereka akan dimasukkan ke dalam syurga sekalipun di dunia pernah melakukan pelbagai kesalahan.

 

Adakah atas sebab ini anda meninggalkan Islam dan memilih agama Kristian?

 

Ada beberapa sebab lain tetapi inilah antara yang utama.” Demikian pengakuan kenalan saya yang telah memeluk agama Kristian sejak lebih kurang setahun.

 

 

Adakah Ini Kes Terpencil?

Salah faham di atas bukanlah kes terpencil bagi kenalan saya sahaja tetapi boleh dikatakan meluas di kalangan kebanyakan orang Islam. Sememangnya dari kecil kita diperkenalkan kepada Allah sebagai tuhan yang menghukum dan mengazab. Bukan itu sahaja, kita sering digeruni dengan perkataan “dosa” dan “neraka” terhadap apa sahaja perintah larangan agama.

Perkara ini masih berlaku sehingga kini. Anak saya sendiri yang baru di darjah satu tidak mengenal Allah dan Islam melainkan dosa dan neraka.

 

Pernah sekali gurunya mengajar bahawa “Sesiapa yang menghafal nama-nama Allah akan masuk syurga, sesiapa yang tidak akan masuk neraka.” Pucat muka anak saya sekembalinya dari sekolah. Bukan sekadar itu sahaja, hampir semua ajaran agama dikaitkan dengan dosa dan neraka… “Siapa tak tahu baca al-Qur’an masuk neraka” , “Siapa malas sembahyang masuk neraka” , “Siapa sembahyang cincai berdosa” , “Siapa tak puasa hari ini masuk neraka” , “Siapa buat jahat masuk neraka” dan begitulah seterusnya.

 

Guru-guru yang mengajar agama menganggap demikian adalah konsep yang efektif untuk memastikan anak murid mereka mempraktikkan perintah larangan agama. Ini bukanlah salah mereka kerana guru-guru mereka sendiri sebelum itu, generasi demi generasi, telah mengajar agama dengan konsep “menggerunkan anak murid” mereka. Konsep ini pada zahirnya mungkin efektif tetapi pada hakikat ia hanyalah cara mudah untuk memaksa anak murid mempraktikkan agama. Anak-anak murid ini sepanjang hayat akan mempraktikkan perintah larangan agama tanpa apa-apa kefahaman dan penghayatan, kecuali sebahagian daripada mereka yang terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama adalah mereka yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengkaji agama sehingga akhirnya mereka dapat memahami dan menghayati agama secara benar. Kedua adalah mereka yang menjadi mangsa kepada strategi dakwah Kristian yang memanfaatkan kelemahan konsep “Tuhan Islam Maha Penghukum dan Pengazab” dengan konsep mereka “Tuhan Kristian Maha Pengampun dan Pengasih.”

 

 

Pengenalan Kepada Tuhan Islam Yang Sebenar.

Allah, tuhan Islam, bukanlah tuhan yang suka menghukum dan mengazab sewenang-wenangnya. Jika kita meluangkan sedikit masa untuk berkenalan dengan Allah, kita akan sedari bahawa Dia adalah tuhan yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim). Sifat ini bukan sesuatu yang asing bagi umat Islam. Setiap hari paling kurang kita membaca surah al-Fatiha sebanyak 17 kali. Kita mulakannya dengan:

 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [al-Fatiha 1:01]

 

Kemudian kita ulangi semula dalam ayat ketiga:

 

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [al-Fatiha 1:03]

 

Apa yang kita baca ini sebenarnya telah memberi pengenalan kepada dua sifat Tuhan Islam. Allah, tuhan Islam, adalah tuhan yang Maha Pemurah (al-Rahman) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim). Kedua-dua sifat ini Allah tekankan di dalam al-Qur’an dengan firman-Nya:

 

Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya (sifat) al-Rahman (untuk memberi rahmat yang melimpah-limpah); bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian dia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun (al-Ghaffar) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim). [al-An‘aam 6:54]

 

Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun (al-Ghaffar) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim). [al-Hijr 15:49]

 

Empat ayat di atas adalah sebahagian kecil daripada puluhan lain yang menerangkan sifat Maha Pemurah dan Maha Pengasih Allah. Bukan sahaja sekadar itu, dua ayat terakhir juga menerangkan sifat Allah yang Maha Pengampun yang disebut bersama sifat-Nya yang Maha Pengasih. Dalam ertikata lain, dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih, Allah sentiasa mengampunkan kesalahan hamba-hamba-Nya.

 

 

Allah Mengazab Sewenang-wenangnya?

Terdapat beberapa ayat yang sering disalahfahami, bahawa kononnya Allah menghukum dan mengazab sewenang-wenangnya sehingga memberi gambaran kepada sebahagian kita bahawa tuhan Islam bersikap zalim. Salah satu daripadanya adalah:

 

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan dia menyeksa (mengazab) sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:129]

 

Selain itu rujuk juga al-Baqarah 2:284, al-Maidah 5:18 dan 40, al-Ankabut 29:21 dan al-Fath 48:14.

 

Ayat di atas dan yang seumpama sebenarnya berperanan menerangkan kekuasaan Allah yang mutlak dalam mengampuni atau mengazab para hamba-Nya. Akan tetapi kekuasaan Allah ini tidaklah bermakna Dia melakukannya secara sewenang-wenangnya tetapi Dia melakukannya berdasarkan sifat-sifat-Nya. Antara sifat tersebut adalah al-Rahman, al-Rahim dan al-Ghaffar yang telah kita kenali di permulaan tadi. Selain itu Allah juga memiliki sifat Maha Mengetahui dan Maha Adil sehingga Dia tahu hamba mana yang berbuat kebajikan untuk diberi ganjaran yang berlipat ganda dan yang berbuat kesalahan untuk diberi azab. Atas sifat-sifat ini juga Allah tidak akan menganiaya atau menzalimi hamba-Nya dengan memberi ganjaran kepada yang membuat kesalahan dan memberi azab kepada yang membuat kebajikan. Firman Allah:

 

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat debu) itu amal kebajikan, nescaya Allah akan menggandakannya dan akan memberi dari sisi-Nya pahala yang amat besar. [al-Nisaa’ 4:40]

 

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri. [Yunus 10:44]

 

Bukanlah satu sifat yang Pengasih dan Adil jika ganjaran pahala dan syurga diberikan kepada semua individu tanpa membezakan antara yang berbuat kebajikan dan kesalahan. Konsep yang cuba ditonjolkan oleh para da’i Kristian sebenarnya memberi pengertian bahawa tuhan mereka memiliki sifat Zalim sehingga menyamakan taraf antara orang yang berbuat kebajikan dan kesalahan. Malah konsep ini juga akan menyebabkan orang jahat dengan sewenang-wenangnya menzalimi orang yang baik. Ini kerana bagi orang yang jahat, berbuat baik atau salah adalah tetap sama di mana mereka tetap akan memiliki kehidupan yang abadi dan dimasukkan ke dalam syurga. Justeru bagaimana mungkin dikatakan tuhan Kristian adalah Pengasih jika Dia membiarkan orang yang baik terbuka kepada kezaliman orang yang jahat?  Semua ini tidak lain adalah helah para da’i Kristian untuk menarik orang ramai ke arah agama mereka.

 

Yang benar adalah konsep tuhan Islam di mana orang yang berbuat kebajikan akan diberi ganjaran pahala dan syurga manakala orang yang berbuat kesalahan akan diberi azab. Akan tetapi tuhan Islam, yakni Allah, tidak akan mengazab seseorang melainkan diperhatikan-Nya terlebih dahulu beberapa perkara. Perkara-perkara tersebut adalah:

 

 

Allah Tidak Mengazab Hamba Yang Tidak Sampai Kebenaran Kepadanya.

Berdasarkan sifat-Nya yang al-Rahman dan al-Rahim, Allah tidak mengazab orang yang tidak sampai kepada mereka pengetahuan tentang kebenaran. Yakni pengetahuan tentang Islam dan perintah larangannya. Firman Allah:

 

Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). [al-Isra’ 17:15]

 

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa Dia tidak akan mengazab sesiapa jua selagi mana Dia tidak mengutus seorang Rasul kepada mereka. Oleh itu mana-mana individu atau kaum yang tidak sampai kepada mereka seorang Rasul yang menerangkan tentang Islam dan perintah larangannya, maka mereka tidak akan dihukum atau diazab oleh Allah. Demikian juga seterusnya selepas kewafatan Nabi Muhammad, mana-mana individu atau kaum yang tidak sampai kepada mereka pengetahuan yang menerangkan tentang Islam dan perintah larangannya, maka mereka tidak akan dihukum atau diazab oleh Allah.

 

Sebagai contoh sehingga masa kini masih ada orang yang tinggal di pendalaman benua Afrika, Amerika Selatan, Rusia, kawasan Artik dan lain-lain yang tidak pernah sampai kepada pengetahuan mereka tentang Islam, apatah lagi tentang perintah larangannya. Tidak ketinggalan ialah sebahagian Orang Asli di Malaysia. Kepada orang seperti ini Allah tidak akan mengazab mereka. Termasuk dalam cakupan ayat di atas adalah umat Islam minoriti yang hidup di negara bukan Islam seperti di Amerika Utara, Australia dan Eropah. Telah sampai kepada mereka tentang Islam lalu mereka memeluknya. Akan tetapi terdapat sebahagian daripada ilmu dan perintah larangan Islam yang belum sampai kepada pengetahuan mereka sehingga adakalanya mereka melanggar hukum tersebut. Maka Allah tidak akan mengazab perbuatan mereka kerana belum sampai kepada mereka ilmu tentang hukum yang sebenar.

 

Oleh itu hukuman atau azab Allah hanyalah kepada orang yang telah sampai kepada mereka pengetahuan tentang kebenaran, lalu mereka menolak dan mendustakannya. Firman Allah:

 

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”

 

Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!” [al-Mulk 67:6-9]

 

 

Allah Tidak Mengazab Hamba-Nya Yang Keliru.

Dengan sifat-Nya yang al-Rahman dan al-Rahim, Allah bukan sahaja tidak mengazab orang yang tidak sampai kepada mereka kebenaran, bahkan Allah juga tidak mengazab orang yang terkeliru atau salah faham dalam menerima kebenaran. Firman Allah:

 

Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. [Ibrahim 14:04]

 

Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Dia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [al-Taubah 9:115]

 

Dalam ayat-ayat di atas jelas bahawa Allah tidak mengazab sesiapa atau menghukumnya sesat sehinggalah sampai kepada dia pengetahuan tentang Islam dan perintah larangannya secara jelas dan terang dalam bahasa yang dia fahami. Daripada ayat-ayat di atas juga dapat kita fahami bahawa Allah tidak akan mengazab orang-orang seperti berikut:

 

  1. Orang yang sampai kepada mereka pengetahuan tentang Islam tetapi dengan cara yang negatif sehingga menyebabkan dia menjauhinya. Penyampaian tentang Islam dengan cara yang negatif lazimnya dilakukan oleh media antarabangsa dan tempatan. Tidak mereka laporkan apa-apa tentang Islam melainkan keganasan, kezaliman dan kemunduran.

  2. Orang yang sampai kepada mereka pengetahuan tentang Islam tetapi dengan cara yang menakutkan sehingga dia keberatan menerimanya. Penyampaian tentang Islam dengan cara yang menakutkan lazimnya dilakukan oleh umat Islam sendiri. Mereka mendakwahkan Islam bukan dengan memberi tumpuan ke arah menyembah Allah, Tuhan yang satu (tauhid) tetapi dengan memberi tumpuan kepada perintah larangan semata-mata (hukum hakam) seperti haram minum arak, haram makan daging tidak halal, haram dedah aurat, wajib potong kemaluan (bersunat), wajib sembahyang lima kali sehari, wajib puasa sebulan dan sebagainya.

  3. Orang yang sudah beragama Islam akan tetapi pengetahuannya tentang Islam bercampur aduk antara kebenaran dan penyelewengan. Penyelewengan ini bersumber sama ada daripada orang bukan Islam seperti para orientalis atau daripada orang Islam sendiri seperti penulis-penulis modenis yang beraliran Islam Liberal.

 

Kesemua di atas memang merupakan sebahagian daripada syari‘at Islam akan tetapi jika ia disampaikan tanpa bertahap-tahap ataupun tanpa dijelaskan hikmahnya, ia akan menjadi berat bagi orang yang baru hendak berkenalan dengan Islam. Selain itu kita di Malaysia menambah beberapa lagi kesusahan kepada orang yang hendak memeluk Islam seperti wajib tukar nama sendiri dan nama ayah, wajib ucap syahadah dalam bahasa Arab dan wajib mengamalkan semua perintah larangan secara serta merta. Jika tidak dilakukan semua ini, kita pantas menghukum mereka berdosa dan akan masuk neraka. Tidak ketinggalan, kita juga mengikat kesamaan antara Islam dan Melayu, sehingga mana-mana bangsa bukan Melayu yang memeluk Islam perlu menukar kebudayaan mereka kepada budaya Melayu.

 

Cara kita mendakwahkan Islam sebagaimana di atas menyebabkan orang bukan Islam merasa berat untuk menerimanya. Kita memberi gambaran yang tidak jelas kepada mereka, bahawa kononnya Islam adalah agama yang dipenuhi dengan pensyaratan dan pantang larang. Di sini kesalahannya tidak terletak kepada orang bukan Islam tetapi kepada orang Islam sendiri kerana Allah telah memerintah kepada kita:

 

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. [al-Nahl 16:125]

 

Sebagai contoh, sebahagian pelajar Islam daripada Malaysia yang pergi menuntut di negara Barat telah terpengaruh dengan karya-karya orientalis yang melemahkan kedudukan ilmu hadis di dalam Islam. Akhirnya para pelajar ini, yang sememangnya tidak memiliki apa-apa pengetahuan tentang ilmu hadis, terpengaruh dan cenderung kepada aliran Anti Hadis. Dalam kes ini Allah tidak akan mengazab mereka kerana mereka tidak didedahkan kepada ilmu hadis secara jelas dan terang, apatah lagi untuk menjawab penyelewengan-penyelewengan karya para orientalis. Beban kesalahan tidak terletak pada bahu para pelajar ini tetapi pada bahu para ilmuan Islam yang lalai daripada kewajipan menyampaikan ilmu hadis yang sebenar secara jelas kepada mereka.

 

Contoh kedua ialah hukum menutup aurat bagi para muslimah. Akhir-akhir ini para penulis modenis rancak menyebarkan fahaman mereka dalam media tempatan bahawa memakai tudung bagi menutup kepala dan rambut sehinggalah ke dada bukan kewajipan Islam tetapi budaya Arab yang ditiru semata-mata. Natijahnya sebahagian muslimah ada yang menjadi ragu, ada yang terus membuka tudung dan ada yang merancang untuk memakai tudung “satu hari nanti” terus tak jadi pakai. Dalam kes ini juga, Allah tidak akan mengazab muslimah tersebut kerana sememangnya sejak awal mereka tidak didedahkan secara jelas dan terang dalil-dalil kewajipan bertudung (menutup aurat) dan hikmahnya. Yang ada hanyalah paksaan turun temurun. Beban kesalahan sekali lagi terletak di bahu para ilmuan Islam yang leka daripada kewajipan menyampaikan ilmu yang benar kepada para muslimah ini.

 

Khas dalam kategori ketiga ini, tercatit di dalam kitab-kitab peninggalan para ilmuan Islam terdahulu, semoga Allah merahmati mereka semua, bahawa orang Islam yang duduk di dalam negara yang majoritinya beragama Islam tidak diberi keuzuran untuk tidak mengetahui atau terkeliru dalam ilmu-ilmu yang melibatkan asas-asas agama Islam. Perkara ini memang benar akan tetapi ia tidak tepat untuk diaplikasi ke atas umat Islam Malaysia pada masa kini. Ini kerana pada masa kini ilmu-ilmu Islam tidak diajar secara benar melainkan sekadar hafalan poin-poin penting semata-mata untuk lulus peperiksaan dan temuduga perkahwinan. Dari sudut perlaksanaan pula, ia tidak lain adalah ikutan turun temurun tanpa diketahui dalil-dalil perintah larangan, jauh sekali daripada hikmah ia disyari‘atkan. Oleh itu majoriti umat Islam Malaysia masa kini tidak tahu apa itu Islam dan kenapa mereka beragama Islam, kecuali sebahagian yang benar-benar berusaha untuk mengkaji Islam secara sendiri.

 

Pada waktu yang sama para orientalis dan penulis beraliran modenis aktif menyebarkan fahaman yang menyeleweng supaya dapat menarik umat Islam kepada agama yang selari dengan nilai-nilai Barat. Lazimnya para orientalis dan penulis ini menyampaikan mesej mereka dengan cara yang amat baik sehingga dapat memberi keyakinan kepada orang yang membacanya. Ini diperhebatkan lagi oleh peranan media tempatan, khasnya akhbar-akhbar perdana yang turut menyokong pemikiran mereka.

 

Atas faktor-faktor ini, apa yang sebenarnya menjadi ilmu yang asas tentang Islam menjadi sesuatu yang asing. Apa yang dahulunya menjadi ilmu yang “sepatutnya diketahui ramai” menjadi sesuatu yang “janggal lagi tidak pernah diketahui”. Oleh itu sekalipun umat Islam kini hidup di negara yang majoritinya beragama Islam, mereka tetap diberi keuzuran seandainya mereka jahil atau keliru dalam sesuatu ilmu yang merupakan asas Islam.

Kesimpulannya, azab Allah hanyalah kepada orang yang telah sampai kepada mereka pengetahuan secara jelas tanpa sebarang kekeliruan atau kesamaran di dalamnya, lalu mereka menolaknya. Firman Allah:

 

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. [al-Nisaa’ 4:115]

 

Dalam penjelasan-penjelasan di atas, kita berbicara tentang orang yang tidak tahu atau terkeliru. Bagaimana pula dengan orang yang sudah tahu dan jelas kepadanya apa yang salah dan betul lalu tetap berbuat salah? Ikutilah penjelasan seterusnya.

 

Allah Tidak Mengazab Orang Yang Tidak Sengaja Berbuat Salah.

Allah sebagai Tuhan yang Maha Pengampun (al-Ghaffar) dan Maha Mengasihani (al-Rahim) tidak akan mengazab seseorang yang secara tidak sengaja melanggar perintah larangan-Nya, sekalipun orang tersebut telah mengetahui secara benar lagi jelas hukum-hakam agama. Firman Allah:

 

Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:05]

 

Contoh kesilapan yang tidak disengajakan ialah orang yang tertinggal sembahyang subuh kerana tertidur, orang yang minum air ketika puasa Ramadhan kerana terlupa, orang yang membayar zakat tahunannya kurang daripada kadar sepatutnya kerana tersilap kiraan, orang yang tersebut perkataan yang kasar kerana dipengaruhi perasaan marah pada saat itu dan sebagainya.

 

Allah Tidak Mengazab Orang Yang Tidak Mampu Mengelak Kesalahan.

Sebagai tuhan yang mencipta manusia, Allah Maha Mengetahui akan kemampuan makhluk ciptaannya yang berbeza-beza. Oleh itu Allah telah berfirman:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286]

Kerana itu Allah telah berfirman:

 

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu. [al-Taghabun 64:16]

 

Malah sebahagian daripada doa yang diajar oleh Allah kepada kita adalah:

 

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.” [al-Baqarah 2:286]

 

 

Dalam konteks pengetahuan berkenaan Islam dan ilmu tentang perintah larangannya, kemampuan seseorang diukur dari tiga sudut:

 

  1. Kecerdasan fikirannya, yakni kepandaian dan ketajaman seseorang dalam mengkaji dan menganalisa tentang Islam dan ilmu-ilmunya sehingga apa yang tidak diketahui menjadi diketahui dan apa yang keliru menjadi jelas bagi dirinya. Ada orang yang memiliki kecerdasan yang tinggi sehingga dia mampu mengkaji dan menganalisa dengan sendiri sementara ada orang yang memiliki kecerdasan yang rendah sehingga sekalipun diajar berulang kali, dia masih tidak dapat menangkapnya.

  2. Kemudahan memperoleh sarana-sarana yang membolehkan dia mengkaji dan menganalisa seperti kewujudan guru yang mengajar secara benar dan jelas, lokasi perpustakaan dan sumber kewangan bagi membolehkan dia menyara kos pengajian serta membeli sumber rujukan. Ada orang yang memiliki kemudahan-kemudahan di atas sehingga dapat dia memanfaatkannya sepenuhnya. Manakala ada orang yang tidak memiliki kemudahan di atas. Di tempatnya tidak ada guru yang menyampaikan ilmu agama berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, tidak ada perpustakaan yang memiliki koleksi rujukan ilmiah manakala dia sendiri tidak mampu untuk membeli sumber-sumber ilmiah tersendiri.

  3. Kekuatan jatidiri, di mana ada orang yang memiliki jatidiri (keyakinan diri) yang mantap sehingga dia dapat berpegang teguh kepada kebenaran yang jelas baginya sekalipun ia berbeza dengan praktik kebiasaan. Berbeza pula dengan sebahagian lain yang memiliki jatidiri yang rendah sehingga sekalipun telah sampai kebenaran kepadanya dengan jelas, dia merasa serba salah untuk berpegang kepadanya selagi mana ia bukan menjadi praktik orang ramai.

 

 

Daripada tiga sudut di atas, jika seseorang itu benar-benar tidak mampu untuk mengetahui kebenaran secara jelas dan berpegang kepadanya, maka Allah, tuhan yang Maha Pengampun (al-Ghaffar) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim) tidak akan mengazabnya. Azab Allah hanyalah kepada orang yang mampu tetapi dia sengaja menzalimi dirinya dengan kesalahan. Sebagai contoh perhatikan ayat berikut:

 

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.”

 

Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

 

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [al-Nisaa’ 4:97-99]

 

 

Dalam ayat di atas Allah menerangkan tentang sikap segelintir umat Islam yang sengaja enggan berhijrah kerana Islam sehingga membiarkan agama dan diri mereka dianiaya oleh musuh-musuh Islam. Mereka ini akan diazab oleh Allah kecuali sebahagian yang tidak mampu untuk berhijrah kerana kelemahan mereka. Maka “mudah-mudahan” Allah akan memaafkan mereka. Allah menggunakan perkataan “mudah-mudahan” supaya hal ini tidak diambil enteng oleh seseorang itu. Dalam ertikata lain, kemaafan Allah hanya bagi orang yang benar-benar tidak mampu, bukan kepada orang yang malas atau sengaja bersikap remeh.

 

Sekalipun ayat di atas merujuk kepada peristiwa segelintir umat Islam yang sengaja enggan berhijrah, pengajarannya adalah umum kepada semua suasana. Sebagai contoh, di kalangan umat Islam Malaysia ada yang mendisiplinkan diri dengan puasa sunat sempena bulan Rejab berdasarkan beberapa hadis yang menganjurkannya. Akan tetapi hadis-hadis tersebut tidak ada yang sahih untuk dijadikan rujukan dalam hukum Islam. Justeru yang benar tidak ada puasa sunat sempena bulan Rejab. Maka bagaimanakah hukumnya bagi orang-orang yang berpuasa, adakah mereka dihukum sebagai pengamal bid‘ah yang dilarang agama? Untuk menjawab persoalan ini, perlu dibahagikan orang yang berpuasa kepada dua kategori:

 

  1. Orang-orang yang tidak sampai kepada pengetahuan mereka bahawa hadis-hadis tersebut adalah tidak sahih. Di mana sahaja mereka pergi untuk mendengar kuliah agama, para ustaz dan ustazah menganjurkan amalan puasa sunat sempena bulan Rejab tanpa membezakan sama ada hadis-hadis tersebut adalah sahih atau tidak. Atau dalam kes yang berbeza, orang-orang yang telah sampai kepada mereka tentang kelemahan hadis-hadis tersebut namun mereka tidak dapat memahami apa, kenapa dan bagaimana sesebuah hadis itu dapat dikategorikan sebagai sahih, hasan, dha‘if, maudhu’ dan sebagainya. Ini kerana ilmu takhrij hadis sememangnya sesuatu yang agak sukar difahami khasnya oleh orang-orang yang sudah lanjut umurnya. Justeru ia menjadi sesuatu yang tidak jelas atau mengelirukan bagi mereka. Dalam kategori ini mereka digolongkan sebagai orang yang tidak mampu mengelak kesalahan. Mereka tidak digelar ahli bid‘ah dan tidak akan diazab. Malah kemungkinan besar amalan mereka akan diberi ganjaran oleh Allah selari dengan sifat-Nya yang Maha Adil lagi Maha Mengasihani.

  2. Orang-orang yang telah sampai kepada pengetahuan mereka bahawa hadis-hadis tersebut adalah tidak sahih. Mereka memahami kenapa sesebuah hadis itu menjadi sahih atau sebaliknya. Mereka juga sedia mengetahui daripada pelbagai rujukan, sama ada daripada buku atau alam maya (internet) bahawa puasa sunat Rejab tidak memiliki asal usul di dalam agama. Akan tetapi mereka tetap sengaja berdegil untuk mengamalkannya. Dalam kategori ini mereka digolongkan sebagai orang yang mampu mengelak kesalahan namun sengaja ingin bergelimang di dalamnya. Hukuman mereka diserahkan kepada Allah.

Ketidakmampuan seseorang untuk mengetahui dan berpegang kepada perintah larangan agama tidak terhad kepada contoh di atas sahaja. Individu yang berbeza pasti memiliki kemampuan yang berbeza. Selagi mana seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh, Allah tidak akan mengazab terhadap apa yang tidak mampu dia laksanakan.

 

 

Allah Tidak Mengazab Orang Yang Terpaksa Membuat Kesalahan.

Tetap berdasarkan sifat Allah yang Maha Pengampun (al-Ghaffar) dan Maha Mengasihani (al-Rahim), Allah tidak akan mengazab seseorang yang terpaksa melakukan kesalahan. Keterpaksaan yang dimaksudkan di sini ialah dalam suasana darurat. Dalam ilmu usul fiqh, darurat didefinisikan sebagai suasana yang melibatkan keselamatan nyawa atau anggota badan. Dalam suasana darurat, seseorang itu boleh melakukan apa yang pada asalnya dihukum haram. Firman Allah:

 

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Baqarah 2:173]

 

Pengajaran yang dapat diambil dari ayat di atas tidak terhad kepada soal pemakanan sahaja tetapi umum kepada apa-apa persoalan yang melibatkan keselamatan nyawa dan anggota badan. Contohnya ialah pesakit yang terpaksa mengambil ubat yang diperbuat daripada bahan yang tidak halal. Jika sakit yang dihadapinya benar-benar mengancam nyawa manakala ubat yang diperbuat daripada bahan halal tidak ada, maka atas dasar darurat dia boleh mengambil ubat yang diperbuat daripada bahan yang tidak halal.

 

Suasana darurat boleh berlaku dalam pelbagai kemungkinan sehinggalah kepada kes yang paling berat, iaitu apabila seseorang itu dipaksa menukar agamanya. Jika hal ini berlaku dalam suasana darurat, maka Allah tidak akan mengazabnya sebagaimana firman-Nya:

 

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman. [al-Nahl 16:106]

 

 

Allah Ampunkan Kesalahan Seseorang Jika Dia Menjauhi Dosa Besar.

Sehingga kini jelas kepada kita bahawa Allah tidak mengazab orang yang tidak tahu, terkeliru, tidak sengaja, tidak mampu mengelak dan terpaksa melakukan kesalahan. Maka bagaimana jika seseorang itu melakukan kesalahan yang bebas daripada keuzuran di atas?

Kesalahan yang dilakukan oleh seseorang tetap akan dipandang oleh Allah berdasarkan sifat-sifat-Nya yang Maha Pengampun (al-Ghaffar) dan Maha Mengasihani (al-Rahim). Kerana itu Allah membahagikan kesalahan kepada dua kategori, dosa besar dan dosa kecil. Ini berdalilkan firman Allah:

 

Dan ‘Kitab-kitab Amal’ tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang (dosa) kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. [al-Kahf 18:49]

 

Dosa besar melibatkan sesuatu yang penting seperti derhaka kepada ibubapa, berzina, menjadi saksi palsu sehingga menzalimi orang lain dan sebagainya. Dosa kecil pula melibatkan hal-hal yang lebih kecil daripada di atas. Atas sifat-Nya yang Maha Pengampun (al-Ghaffar) dan Maha Mengasihani (al-Rahim), Allah mengampunkan dosa-dosa kecil seseorang selagi mana dia berusaha untuk menjauhi dosa-dosa besar. Firman Allah:

 

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). [al-Nisa 4:31]

 

Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya. (Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil (maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya. [al-Najm 53:31-32]

 

 

Demikian juga, apabila seseorang itu melazimkan dirinya dengan amal-amal kebajikan, ia akan menghapuskan dosa-dosanya yang kecil. Firman Allah:

 

Sesungguhnya amal-amal kebajikan menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. [Hud 11:114]

 

Perkara penting yang perlu diperingatkan di sini adalah, sekalipun dosa kecil terampun dengan menjauhi dosa besar, ia tidaklah bererti seseorang itu boleh meremehkan dosa kecil. Bersenang-senangan dengan kesalahan yang mengakibatkan dosa kecil akhirnya, secara bertahap-tahap, akan mengarah kepada perbuatan salah yang mengakibatkan dosa besar. Oleh itu kita semua tetap perlu berusaha untuk menjauhi dosa kecil sebagai langkah untuk memelihara diri daripada dosa besar.

 

Allah Ampunkan Dosa Besar Dengan Taubat.

Sifat Allah yang Maha Pengampun (al-Ghaffar) dan Maha Mengasihani (al-Rahim) menyebabkan dia bukan sahaja mengampun dosa-dosa kecil tetapi juga dosa-dosa besar. Semua dosa besar diampunkan oleh Allah asalkan ia bukan syirik. Firman Allah:

 

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar. [al-Nisaa’ 4:48]

 

 

Sebesar mana atau sebanyak mana dosa besar seseorang, dia tidak patut berputus asa daripada rahmat dan pengampunan Allah. Firman Allah:

 

Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53-54]

 

 

Untuk memperoleh keampunan daripada dosa besar, hendaklah seseorang itu bertaubat. Bertaubat bukan sahaja mengampunkan dosa malah ia menukar dosa-dosa tersebut menjadi pahala kebajikan. Ini adalah satu kurniaan agung daripada Allah yang tiada tandingannya. Firman Allah:

 

Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Fuqran 25:70]

 

 

Proses taubat memiliki beberapa langkah yang mudah, iaitu:

 

Pertama: Menyesali Perbuatan Salah.

Langkah pertama untuk bertaubat ialah mengakui bahawa dia telah melanggar perintah larangan Allah. Dengan pengakuan ini dia merasa bersalah dan menyesali pelanggarannya itu. Dalam al-Qur’an Allah menerangkan bagaimana perasaan tiga orang yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka sehinggalah mereka merasa bersalah dan menyesali kesalahan mereka. Firman Allah:

 

Dan tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. [al-Taubah 9:118]

 

Kedua: Memohon Keampunan Kepada Allah.

Taubat bukan sekadar merasa bersalah dan menyesal tetapi segera ingat kepada Allah dan memohon keampunan-Nya. Firman Allah:

 

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). [Ali Imran 3:135]

 

Perbezaan besar antara agama Islam dengan agama lain dalam proses keampunan adalah orang yang bersalah itu memohon ampun secara terus kepada Allah. Dia tidak perlu merasa dirinya amat kotor sehingga tidak layak memohon secara terus kepada Allah melainkan melalui perantara seseorang lain seperti tok wali, tuan syaikh, orang-orang mulia dan sebagainya.  Perlu diingat bahawa yang menerima taubat dan yang mengampunkan adalah Allah dan bukan selain-Nya. Firman Allah:

 

Dan Dia-lah (Allah) Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. [al-Syura 42:25]

 

Seseorang itu tidak perlu merasa rendah diri, kotor dan hina disebabkan dosa-dosa yang dilakukannya. Hendaklah dia tetap memohon kepada Allah dan jangan berputus asa daripada rahmat-Nya. Diulangi firman Allah:

 

Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Zumar 39:53-54]

 

 

Perhatikan bahawa Allah memanggil orang-orang yang berdosa besar dengan Wahai hamba-hamba-Ku…”, menunjukkan betapa rapat dan intim perhatian Allah kepada mereka. Allah tidak memandang mereka kotor atau hina tetapi tetap dengan pandangan yang penuh kasih sayang dan rahmat. Oleh itu janganlah seseorang itu berputus asa daripada rahmat dan pengampunan Allah. Pohonlah ia secara terus kepada Allah, nescaya Allah menerimanya.

 

Ketiga: Berhenti Melakukan Kesalahan.

Orang yang bertaubat juga perlu berhenti daripada melakukan kesalahannya. Perhatikan semula firman Allah dalam ayat 135 surah Ali Imran:

 

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu……

 

Jika orang yang bertaubat kembali melakukan kesalahan, hendaklah dia bertaubat semula. Selepas itu jika dia kembali juga, hendaklah dia bertaubat semula dan begitulah seterusnya sekalipun ia berulang berkali-kali. Yang penting jangan seseorang itu berputus asa daripada bertaubat dan memohon keampunan Allah.

 

Keempat: Beriman dan Beramal Salih.

Seterusnya orang yang bertaubat hendaklah mengukuhkan semula imannya dan melazimkan dirinya dengan amal-amal kebajikan dan bermanfaat, yakni amal soleh. Firman Allah:

 

Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya. [Ta-Ha 20:82]

 

Antara hikmah taubat perlu dilengkapi dengan iman dan amal soleh adalah supaya orang yang bertaubat dapat benar-benar menjaga dirinya daripada mengulangi perbuatan salahnya. Tidak diragukan lagi bahawa antara punca seseorang itu cenderung kepada melakukan kesalahan adalah keimanan yang rendah dan lazim membuat perkara yang sia-sia. Semua ini, secara bertahap-tahap, akan menarik seseorang itu kepada melanggar perintah larangan Allah. Maka kerana itu untuk melengkapkan proses taubat, seseorang itu perlu mengukuhkan kembali imannya dan menyibukkan dirinya dengan amal soleh.

 

 

Tuhan Islam Sebenarnya Tidak Kejam.

Daripada ayat-ayat-Nya di atas, terbukti bahawa Tuhan Islam, yakni Allah adalah tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, jauh sekali daripada sifat kejam yang disalahfahami oleh sebahagian kita. Daripada ayat-ayat-Nya di atas serta penjelasan yang mengikutinya, dapat kita ringkaskan keampunan dan kasih sayang Allah sebagai:

 

1.      Allah tidak mengazab orang yang tidak sampai kepadanya kebenaran.

2.      Allah tidak mengazab orang yang terkeliru dalam menerima kebenaran.

3.      Allah tidak mengazab orang yang tidak sengaja berbuat kesalahan.

4.      Allah tidak mengazab orang yang tidak mampu mengelak kesalahan.

5.      Allah tidak mengazab orang yang terpaksa melakukan kesalahan kerana darurat.

6.      Allah tidak mengazab kesalahan orang yang menjauhi dosa-dosa besar.

7.      Allah tidak mengazab orang yang bertaubat daripada dosa-dosa besar.

 

Demikianlah keagungan dan keluasan Keampunan dan Kasih Sayang Allah, Tuhan Islam kepada manusia. Maka timbul soalan seterusnya, siapakah yang akan Allah timpakan azabnya? Mereka yang bakal ditimpa azab terbahagi kepada dua golongan:

 

Golongan Pertama:

Mereka ialah orang-orang kafir, iaitu orang-orang yang telah sampai kepada mereka kebenaran secara jelas untuk mentauhidkan Allah namun mereka tetap menyekutukan-Nya (syirik) kerana sikap zalim dan angkuh. Di sini perlu dibezakan bahawa bukan semua orang bukan Islam adalah orang kafir kerana bukan semua orang bukan Islam terdiri daripada mereka yang telah sampai kepadanya kebenaran secara jelas untuk mentauhidkan Allah. Seseorang itu hanya dinamakan “kafir” apabila telah sampai kebenaran kepadanya secara jelas sehingga dia menyedari kebenaran tersebut, namun dia tetap mengingkarinya. Firman Allah:

 

Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan. [al-Naml 27:14]

 

Mereka inilah satu-satunya golongan yang kekal di dalam neraka. Firman Allah:

 

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. [al-A’raaf 7:40]

 

Bagaimana caranya kita dapat mengenal bahawa seseorang itu telah menerima kebenaran secara jelas atau tidak, supaya dapat kita membezakannya antara “orang kafir” atau “orang bukan Islam”? Jawapannya adalah, pada asalnya kewajipan kita bukanlah untuk membezakan seseorang itu adalah “orang kafir” atau “orang bukan Islam”. Ini kerana kita tidak tahu keadaan sebenar seseorang, sama ada dia telah menerima kebenaran atau tidak, sama ada ia jelas atau keliru, sama ada ia mampu atau sengaja, sama ada dia akan beriman hari ini atau esok. Penentuan iman atau syirik, ganjaran atau azab, syurga atau pahala terpulang kepada Allah semata-mata kerana hanya Allah yang sentiasa Memerhati dan Menyaksi setiap keadaan para hamba-Nya. Allah telah berfirman:

 

Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Saabi’en dan orang-orang Nasrani dan orang-orang Majusi serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukum-Nya di antara mereka pada Hari Kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu. [al-Hajj 22:17]

 

Hanya Allah yang berhak memanggil seseorang kafir, musyrik dan sebagainya sebagaimana yang tercatit di dalam al-Qur’an. Adapun kita umat Islam, kewajipan kita ialah menjadi pendakwah dan bukan penghukum. Al-Qur’an mengajar kita memanggil mereka dengan gelaran “Wahai manusia…..” atau “Wahai ahli kitab…..” dan bukannya “Wahai orang kafir…..” atau “Wahai orang yang dilaknat Allah…..” dan sebagainya. Kita bukan sahaja dituntut memanggil mereka dengan gelaran yang baik tetapi juga melayani mereka dengan baik dalam rangka menyampaikan kebenaran kepada mereka. Perhatikan tunjuk ajar Allah kepada Nabi Musa dan saudaranya Harun cara berdakwah kepada Fir’aun yang sangat dikenali kezalimannya:

 

Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut. [Taha 20: 43-44]

 

Demikian juga tunjuk ajar Allah kepada Nabi Muhammad terhadap beberapa orang musuh peperangan yang meminta perlindungan kepada umat Islam:

 

Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). [al-Taubah 9:06]

 

Perhatikan dalam kedua-dua ayat di atas, kita bukan sahaja tidak disuruh melayan mereka dengan buruk tetapi juga tidak disuruh untuk memastikan bahawa orang-orang tersebut menerima Islam serta merta. Yang disuruh adalah supaya mereka mendengar dan beroleh peringatan berkenaan Islam. Di sini dapat kita perolehi satu lagi pengajaran penting bahawa kita tidak boleh memaksa seseorang mentauhidkan Allah dan menerima Islam secara serta merta. Sekalipun telah disampaikan kepadanya kebenaran secara jelas, kita tetap perlu memberi mereka ruang untuk memikirkannya. Ini kerana manusia lazimnya memiliki sifat keberatan untuk menerima sesuatu yang baru secara serta merta, apatah lagi sesuatu yang baru itu jauh berbeza daripada apa yang mereka fahami sejak awal.

 

Golongan Kedua:

Mereka ialah segelintir orang-orang Islam yang tidak bertaubat daripada dosa-dosa besar sekalipun telah jelas kepada mereka hukum-hakam dan mereka mampu mengelaknya. Allah akan mengazab mereka selari dengan kadar dosa mereka tanpa dizalimi sedikit jua.

Di sini perlu dibetulkan salah faham bahawa kononnya apabila Allah memasukkan seseorang ke dalam neraka, dia akan berada di dalam neraka selama-lamanya. Banyaknya ayat yang menerangkan kekekalan ahli neraka bukanlah bermaksud semua ahli neraka kekal di dalamnya. Akan tetapi ia bermaksud sebagai amaran keras kepada manusia agar berusaha menjauhkan diri daripada azab neraka.

 

Yang benar-benar kekal di dalam neraka hanyalah satu golongan, iaitu orang yang telah sampai kepadanya kebenaran secara jelas untuk mentauhidkan Allah tetapi dia tetap enggan lalu berterusan menyekutukan-Nya (syirik). Hanya golongan ini yang tetap kekal di dalam neraka. Diulangi ayat 40 surah al-A’raaf:

 

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

 

Adapun bagi orang-orang Islam, mereka hanya berada di neraka pada kadar dosa-dosa mereka. Setelah itu mereka akan keluar dan di masukkan ke syurga. Dalilnya adalah firman Allah:

 

 (Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.

 

Adapun orang-orang yang celaka, maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

 

Adapun orang-orang yang berbahagia, maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu, sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus. [Hud 11:105-108]

 

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan berkenaan penghuni neraka dan syurga yang kekal di dalamnya. Akan tetapi bagi kedua-dua penghuni ini ada yang terkecuali daripada sifat kekal tersebut. Mereka itulah orang-orang Islam yang tidak bertaubat daripada dosa-dosa besar mereka, mereka akan memasuki neraka pada kadar dosa mereka lalu kemudian akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka tidak kekal di dalam neraka melainkan sekadar dosa besar mereka dan mereka tidak kekal di dalam syurga melainkan perlu dibersihkan dosa-dosa mereka di dalam neraka terlebih dahulu.

 

Firman Allah: …kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu… bukanlah bererti Allah bertindak memasuk dan mengeluarkan seseorang itu daripada syurga dan neraka dengan sewenang-wenangnya, akan tetapi Allah bertindak berdasarkan sifat-sifat-Nya. Berdasarkan sifat-Nya yang Maha Mengetahui, Allah tahu siapa sama ada seseorang itu telah menerima kebenaran atau tidak, sama ada ia jelas atau keliru, sama ada ia mampu atau sengaja dan sebagainya sehingga Dia tidak akan masukkan ke dalam neraka orang yang tidak menerima kebenaran, terkeliru, tidak sengaja, tidak mampu mengelak atau terpaksa melakukan dosa besar. Berdasarkan sifat-Nya yang Maha Adil, Allah tidak akan mengazab melainkan sekadar dosa-dosa besar seseorang. Allah tidak akan menambah atau menggandakannya. Malah berdasarkan sifat-Nya yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani, kemungkinan besar Allah akan memberi syafaat kepada orang yang bersalah tersebut sehingga terampun dosa-dosa besarnya lalu dia terus ke syurga.

 

Semoga dengan penjelasan di atas, dapat kita kenali siapakah Allah, Tuhan Islam yang sebenar. Kenalilah Allah sebagaimana Dia memperkenalkan Diri-Nya, bukan sebagaimana yang diperkenalkan oleh selain-Nya. Nescaya kita akan dapati Allah adalah tuhan yang Maha Pemurah (al-Rahman), Maha Mengasihani (al-Rahim), Maha Adil (al-‘Adl) lagi Maha Pengampun (al-Ghaffar) yang tiada tandingannya dengan tuhan-tuhan yang lain.

 

TOP