Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Enforcing Public Morality:
Satu Analisa Ke Atas Kertas Kerja Zainah Anwar

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

    Enforcing Public Morality. Demikianlah tajuk sebuah forum yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 April 2005 yang lalu. Forum ini, dengan ahli panel yang terdiri daripada saudari Zainah Anwar, Dr. Siti Mariah dan Dato’ Param Cumaraswamy, mengupas isu undang-undang moral yang kini agak hebat dibincang dalam negara kita daripada kalangan cerdik pandai sehinggalah kepada orang awam.

    Malang sekali disebabkan kesibukan kerja, saya tidak dapat menghadiri forum tersebut. Akan tetapi kertas kerja yang dibentang oleh saudari Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif  pertubuhan Sisters in Islam, dapat saya rujuk di laman web mereka: http://www.sistersinislam.org.my/zai%20speech.htm

Kertas kerja ini benar-benar menarik perhatian saya, khasnya apabila ia dimulakan dengan kata-kata:

 

    “I speak from the perspective of a Muslim, a believer, a feminist and an activist who believes that Islam is just, that God is just.”

   

    Ini kerana merupakan satu kejanggalan apabila seorang muslim (a muslim) dan mukmin (a believer) menulis sebuah kertas kerja tanpa mengisinya dengan apa-apa dalil daripada Allah yang Maha Adil bagi meneracai keadilan Islam yang sebenar. Apatah lagi memandangkan kertas kerja tersebut dibentangkan kepada hadirin yang terdiri daripada kalangan pelbagai agama dan pemikiran, ia sepatutnya menjadi peluang untuk membuktikan keadilan Allah dan keadilan Islam, sekali gus menjadi sarana dakwah kepada mereka semua. Kehadiran kalangan bukan Islam tidak sepatutnya menjadikan kita segan atau rendah diri, mengingatkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dari menyampaikan

ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu dan serulah mereka

kepada jalan Tuhanmu dan jangan sekali-kali kamu termasuk

orang-orang yang mempersekutukan Tuhan

[al-Qasas 28:78]

 

 

    Semua ini menyebabkan saya – dengan segala rendah diri – merasa perlu untuk melakukan satu analisa ke atas kertas kerja saudari Zainah Anwar. Analisa ini bukanlah untuk mengukur nilai muslim atau mukmin seseorang, tetapi untuk mengukur jauh atau dekat dasar-dasar kertas kerja tersebut daripada neraca al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Semoga analisa ini dapat membantu kita sebagai orang muslim dan mukmin membahas isu undang-undang moral berdasarkan kaca mata Islam yang diturunkan oleh Allah yang Maha Adil, tidak berdasarkan kaca mata agama lain atau doktrin ciptaan manusia

 

Analisa tidak dihadkan kepada dalil-dalil Ilahi sahaja (naqli), tetapi dipanjangkan kepada dalil-dalil pemikiran yang sihat lagi adil (aqli). Ringkasnya boleh dikatakan bahawa analisa akan dilakukan berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli kerana naqli yang sahih tidak akan bertentangan dengan aqli yang sihat.

 

Kertas kerja saudari Zainah Anwar dibahagikan kepada empat isu utama. Akan tetapi setelah menelitinya, saya mendapati hanya ada tiga dasar yang layak dianalisa:

 

 

Dasar Pertama:

Moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai.

 

Dasar Kedua:

Isu moral bukanlah urusan pemerintah atau undang-undang.

 

Dasar Ketiga:

Menyelaraskan rukun-rukun keimanan dengan arus semasa.

 

Kesimpulan

 

 

 

 

Kandungan