Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam

oleh:

Shabnam Mokhtar

 

 

 

Pertama: Gelagat Pengguna

 

Consumption didefinisikan sebagai aktiviti menggunakan barangan dan perkhidmatan bagi memuaskan kehendak (wants) manusia.[2] Oleh kerana kehendak pengguna adalah tidak terbatas, manakala pendapatannya (sumbernya) adalah terbatas, maka pengguna perlu membuat pilihan. Terdapat beberapa faktor yang akan mempengaruhi gelagat pengguna dalam membuat pilihan, namun ia dapat diringkaskan kepada dua konsep utama[3]:

 

1. Kekangan belanjawan (budget constrain):

Pengguna mempunyai jumlah pendapatan tertentu dan tidak boleh mempengaruhi harga barangan yang ingin dibeli. Maka harga barangan ini akan mempengaruhi kuantiti barangan yang dapat dibeli. Contohnya dengan jumlah wang RM 10 kita hendak membeli beberapa buku roti (RM2) dan beberapa batang pen (RM1). Kombinasi yang dapat dibeli akan terhad kepada jumlah wang yang kita ada. Kita tidak dapat misalnya membeli 4 buku roti (RM8) dan 5 batang pen (RM5) kerana jumlah harganya melebihi wang yang kita ada.

 

2. Kesukaan (preference):

Jadi bagaimana kita akan menentukan kombinasi roti dan pen yang hendak dibeli? Tentunya berdasarkan kesukaan (likes and dislikes) kita. Ahli ekonomi menggunakan konsep utiliti untuk menerangkan keutamaan yang kita pilih. Utiliti adalah kepuasan yang diperolehi apabila menggunakan sesuatu barangan dan perkhidmatan. Dalam ekonomi, pengguna yang rasional[4] dijangkakan dapat membuat pilihan yang terbaik untuk memuaskan kehendaknya. Jadi pengguna yang rasional akan membandingkan kepuasan yang akan diperolehi (manfaat) dengan harga barangan tersebut (kos) dan membuat pilihan yang akan memaksimakan kepuasannya. Namun begitu utiliti adalah sesuatu yang tidak dapat diukur dan berbeza dari satu individu ke individu yang lain. 

 

Dapat diringkaskan bahawa 3 faktor utama yang mempengaruhi gelagat pengguna adalah jumlah pendapatan (income), harga barangan (price) dan kesukaan (preference – diukur dengan kepuasan) menggunakan barangan tersebut.[5] Faktor-faktor ini akan menentukan berapa banyak dan apa yang akan dibeli oleh pengguna. Selain faktor diatas, satu lagi pilihan yang akan dihadapi oleh pengguna adalah berapa banyak simpanan yang hendak dibuat. Adakah semua pendapatan perlu dibelanjakan sekarang (current consumption) atau sebahagian hendak disimpan untuk dibelanjakan dimasa hadapan (savings = future consumption)?

Maka dapat disimpulkan bahawa dua keputusan utama yang perlu ditentukan oleh pengguna adalah:

 

  1. Berapa banyak hendak dibelanjakan kini dan disimpan untuk masa hadapan (present vs future consumption)?

 

  1. Apa dan berapa banyak barang yang hendak dibeli (pilihan antara barang pengganti[6])

 

 

 

[2]  Sloman, John, Economics 3rd Ed, Prentice Hall, 1997, ms 1 (Consumption is the act of using goods and services to satisfy wants. This will normally involve purchasing the goods and services)

[3]   Parkin, Micheal, Microeconomics, 3rd Ed, Addison Wesley, 1996, ms 147

[4]   Sloman, John, Economics, 3rd Ed, Prentice Hall, 1997, ms 102

[5]   Parkin, Micheal, Microeconomics, 3rd Ed, Addison Wesley, 1996, ms 179.

Terdapat faktor lain yang diterangkan oleh Keynes model misalnya seperti harta yang dimiliki (lebih banyak harta, lebih tinggi consumption), cukai (lebih tinggi cukai, lebih rendah pendapatan dan lebih rendah consumption), jangkaan harga akan datang (jika harga dijangka naik, pengguna akan membeli barang yang tahan lama lebih cepat, sebelum harga naik) dll. Penulis hanya meringkaskan faktor utama dalam risalah ini. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Sloman, John, Economics 3rd Ed, Prentice Hall, 1997, ms 496 –498.

[6]   Barang pengganti adalah barang yang boleh saling ganti mengganti antara satu sama lain. Contohnya kita boleh memilih hendak membeli mentega atau majerin? Kopi atau teh? Selalunya harga barang ini akan mempengaruhi kuantiti pembeliannya. Misalnya jika harga mentega naik, dan harga majerin kekal, mungkin lebih ramai yang akan membeli majerin. Inilah yang dimaksudkan dengan barang pengganti i.e “Jika harga barang A meningkat, kuantiti barang B yang dibeli akan meningkat kerana barang B boleh menggantikan barang A dengan harga yang lebih murah.”

 

 

 

 

Pengenalan

 

Kedua: Gelagat Pengguna dari perspektif Islam

 

Ketiga: Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam

 

Penutup

 

 

 

Kandungan