Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Meninjau Semula Hukum Kenajisan Khinzir

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Tinjauan # 1: Setiap Sesuatu Adalah Baik, Halal Dan Bermanfaat.

 

Tinjauan dimulakan dengan menjelaskan satu perkara yang amat asas lagi pokok dalam bab ini, iaitu setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah baik dan bermanfaat untuk manusia. Maha Suci Allah daripada mencipta sesuatu yang buruk, rosak, dan sia-sia sehingga tidak memiliki manfaat untuk manusia. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

 

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya.

[al-Sajdah 32:07]

 

Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

[al-Baqarah 2:29]

 

Dan Dia (Allah) memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

[al-Jatsiyah 45:13]

 

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri

dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,

Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

[Ali Imran 3:191]

 

 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1726 (Kitab al-Libas, Bab berkenaan pakaian kulit binatang)  Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

“Yang halal adalah apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitabnya dan yang haram adalah apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitabnya. Dan apa yang didiamkan oleh Allah maka ia adalah sebuah kelapangan daripada-Nya.”

 

 

Oleh itu setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah baik dan bermanfaat untuk manusia melainkan wujud dalil yang sahih lagi jelas (qathi’) yang menerangkan sebaliknya. Demikian juga, untuk ia menjadi baik dan bermanfaat, tentulah ianya suci bagi manusia. Maka dengan itu setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah suci melainkan wujud dalil yang sahih lagi jelas yang menerangkan kenajisannya.

 

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah menjelaskan dalam kitabnya Fikih Thaharah (edisi terjemahan oleh Samson Rahman; al-Kautsar, Jakarta, 2004), ms. 14:

 

Dari sini lahirlah sebuah kaedah umum yang mengatakan bahawa asal dari segala sesuatu adalah suci sehingga kita tahu kenajisannya berdasarkan dalil yang kuat. Kita tidak boleh menganggapnya menjadi najis kecuali dengan nas syari‘at yang sabit dan dengan adanya dalil yang kuat dari kitab Allah atau dari Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam hal ini tidak ada pandangan dan pendapat orang-orang tertentu dan ijtihad para mujtahid. Dan kita yakin bahawa hukum syari‘at di sini adalah sesuatu yang pasti bersesuaian dengan fitrah yang lurus dan akal yang sihat. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Ketahuilah bahawa asal dari segala sesuatu yang ada itu – dengan segala perbezaan bentuk dan sifatnya – adalah halal secara mutlak bagi anak Adam (manusia) dan suci serta tidak diharamkan ke atas mereka untuk menyentuh dan memegangnya.”

 

 

 

 

Tinjauan # 2: Hukum Asal Bagi Khinzir.

 

Khinzir termasuk dalam keumuman ayat-ayat, hadis dan kaedah yang terbina daripadanya sebagaimana yang dijelaskan di atas. Oleh itu hukum asal bagi khinzir adalah baik dan bermanfaat bagi manusia kecuali dagingnya di mana ia tidak suci dan tidak halal untuk dimakan. Pengecualian ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah najis.”

[al-An’aam 6:145]

 

 

Secara terperinci, ayat di atas terbahagi kepada dua bahagian.

·         Bahagian Pertama adalah firman-Nya: “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya……” Ini merujuk kepada hukum asal sebagaimana yang telah disebut sebelum ini, bahawa segala sesuatu adalah halal dan suci untuk dimakan.

 

·         Bahagian Kedua mengecualikan keumuman Bahagian Pertama di atas: “……melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah najis.” Berdasarkan pengecualian ini, dapat diketahui bahawa yang tidak suci dan tidak halal daripada khinzir hanyalah memakan dagingnya.

 

Dengan itu diulangi bahawa khinzir adalah baik dan bermanfaat bagi manusia kecuali dagingnya dimana ia adalah tidak suci dan tidak halal untuk dimakan. Para ilmuan telah meluaskan erti “daging khinzir” kepada seluruh anggota dan organ khinzir. Oleh itu kita dilarang daripada memakan atau menjadikan bahan pemakanan apa-apa yang berasal daripada khinzir.

 

 

 

 

Tinjauan # 3: Menganalisa Pendapat Yang Menajiskan Keseluruhan Khinzir.

 

Jelas dalam ayat 145 surah al-An’aam di atas bahawa yang najis hanyalah menjadikan khinzir sebagai bahan makanan. Sesuatu yang najis untuk dimakan tidaklah bererti najis secara keseluruhannya. Justeru pendapat yang menajiskan seluruh khinzir adalah pendapat yang tidak tepat. Ini kerana seandainya keseluruhan khinzir adalah najis, pasti Allah dan Rasul-Nya akan menetapkan sedemikian. Namun apabila Allah hanya mengkhususkannya kepada kenajisan khinzir dalam konteks pemakanan, bererti Allah sememangnya mengkehendaki pengkhususan tersebut. Tak perlu manusia bersikap lebih “bijak” daripada Allah dengan meluaskannya kepada keseluruhan khinzir.

 

 

 

 

Tinjauan # 4: Menganalisa Pendapat Yang Mewajibkan Samak Apabila Bersentuhan Dengan Khinzir.

 

Setelah jelas bahawa keseluruhan khinzir bukan najis kecuali dalam konteks pemakanan, maka apakah hukum bersentuhan dengan khinzir atau perkakas yang pernah digunakan untuk menyaji daging khinzir? Adakah ia perlu disamak dengan tujuh basuhan air dengan basuhan yang pertama disertai tanah atau memadai dengan basuhan air seperti biasa?

 

Hadis berikut yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 3839 (Kitab pemakanan, Bab makan dalam perkakas Ahl al-Kitab) menjadi rujukan:

 

Abi Tsa’labah al-Khusyani radhiallahu 'anh berkata,

saya bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

“Sesungguhnya kami bertetangga dengan Ahl al-Kitab.

Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk mereka

dan meminum khamar di dalam gelas mereka

(lalu bolehkah kami menggunakan periuk dan gelas tersebut?)”

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:

“Jika kalian dapat menggunakan perkakas yang lain maka makan

dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat perkakas yang lain maka

cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.”

 

 

Jawapan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan bahawa perkakas yang bersentuhan dengan daging khinzir tidak perlu disamak tetapi memadai dibasuh dengan air sahaja. Berdasarkan hadis di atas maka pendapat yang mewajibkan samak sebagai metode penyucian apabila bersentuhan dengan daging khinzir, atau keseluruhan khinzir, adalah pendapat yang tidak tepat.

 

 

 

 

Pengenalan

 

Tinjauan 5 - 7

 

Kesimpulan

 

 

 

 

Kandungan