BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

11

 

ZIKIR-ZIKIR SELEPAS SOLAT

 

 

Di dalam bab ini penulis akan membawa beberapa hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berkaitan zikir-zikir yang dibacakan oleh baginda setelah selesai bersolat. Mungkin para pembaca akan sedar bahawa wujud perbezaan di antara zikir-zikir dari hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dengan apa yang biasa kita bacakan selama ini. Saranan penulis agar kita semua tetap mengamalkan apa yang diamalkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam kerana baginda adalah contoh ikutan kita yang terbaik yang wajib kita ikuti sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

            Demi sesungguhnya,

adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[1]

 

Zikir-zikir baginda shalallahu 'alaihi wasallam adalah seperti berikut:[2]

 

 

Pertama:

 

Tsauban radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila selesai bersolat, baginda beristighfar tiga kali, kemudian menyebut:

 

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ.

 

Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kesejahteraan, dan daripada-Mu asalnya kesejahteraan itu, segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.”

 

Al-Walid kemudiannya bertanya kepada al-Auzai, bagaimana cara beristighfar yang dimaksudkan? Al-Auzai menjawab:

 

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ.

 

(Dengan mengucapkan): Astaghfirullah (Saya mohon ampun kepada Allah), Astaghfirullah.”[3]

 

 

 

Kedua:

 

Abdullah ibnu al-Zubair radhiallahu 'anh berzikir sesudah selesai solat (dan beliau berkata, hal ini dilakukan juga oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam):

 

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ

 

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

 

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ

 

لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ.

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.

 

Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya,

bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu. Tiada daya mahupun tenaga kecuali dengan Allah.

Tiada Tuhan melainkan Allah, dan tiada yang berhak disembah melainkan Allah. Tuhan empunya kurnia, empunya keutamaan serta puji yang sebaik-baiknya.

Tiada Tuhan melainkan Allah, kami bulatkan pengabdian kepada-Nya semata-mata walaupun tidak disukai oleh orang-orang kafir.[4]

 

 

 

Ketiga:

 

Mughirah bin Syu’bah radhiallahu’anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam setiap kali selesai solat berzikir:

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ

 

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

 

اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ

 

وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.

 

Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu. Ya Allah, tiadalah yang dapat menahan apa-apa yang Engkau berikan, tiadalah pula yang dapat memberikan apa-apa yang Engkau tahan, dan tiadalah bermanfaat kepada orang yang mempunyai kebesaran-kebesarannya itu.[5]

 

 

 

Keempat:

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, sesiapa yang membaca zikir berikut sepuluh kali sesudah solat Maghrib dan Subuh:

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ

 

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ

 

يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

 

Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya,

bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, ditangan-Nya  kebaikan,

Yang menghidupkan dan mematikan serta Dia berkuasa membuat segala sesuatu.

 

Maka dicatatlah ganjaran untuk setiap kali bacaan sepuluh pahala, dihapuskan sepuluh buah dosa, dinaikkan darjatnya sepuluh tingkat dan di samping itu menjadi tangkal bagi segala bahaya, dan penolak syaitan terkutuk, dan tak satu dosa pun yang akan dapat mencelakakannya kecuali jika syirik. Maka dia adalah orang yang terbaik amalannya, tak ada yang melebihinya kecuali orang yang lebih utama iaitu yang mengucapkan yang lebih baik pula.[6]

 

 

 

Kelima:

 

Muslim bin al-Harits al-Tamimi radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajarnya untuk membaca zikir berikut tujuh kali sesudah solat Subuh, sebelum berbicara dengan sesiapa:

 

اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ النَّارِ.

 

“Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka” 

 

dan tujuh kali sesudah solat Maghrib:

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ النَّارِ.

 

“Ya Allah, aku memohon dimasukkan ke syurga,

Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka”

 

Sesiapa yang membaca zikir ini kemudian secara kebetulan meninggal dunia pada hari tersebut, nescaya Allah akan melindunginya daripada api neraka.[7]

 

 

 

Keenam:

 

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِ صَلاَةٍ

 

لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ إِلاَّ أَنْ يَمُوتَ.

 

Barangsiapa membaca ayat al-Kursi setiap kali selesai solat, maka tak ada yang akan menghalanginya masuk syurga kecuali maut.[8]

 

Ayat al-Kursi adalah seperti di bawah:

 

 

 

Allah,

tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup,

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).

Yang tidak mengantuk usahkan tidur.

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya

melainkan dengan izin-Nya.

Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka

dan apa yang ada di belakang mereka,

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah

melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi;

dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.[9]

 

 

 

Ketujuh:

 

 

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ أَنَّهُ قَالَ:

 

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

أَنْ أَقْرَأَ بِالْمُعَوِّذَاتِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ.

 

Dari ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata: “Saya diperintah oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam agar membaca surah-surah al-Mu’awwidzat setiap kali selesai solat.”[10]

 

Surah-surah al-Mu’awwidzat adalah seperti di bawah:

 

 

Katakanlah: "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tiada beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".[11]

 

 

 

Katakanlah:

"Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,

Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan;

Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;

Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya."[12]

 

 

 

Katakanlah:

"Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.

Yang Menguasai sekalian manusia,

Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,

Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,

Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,

(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia."[13]

 

 

Tentang pembacaan zikir tasbih, tahmid dan takbir selepas solat maka ianya terdapat variasi dari segi jumlah dan tatacara bacaannya dan kesemuanya bersumber dari hadis-hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang sahih. Tentang hal ini Muhammad Sallih al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

 

Bentuk Tasbih mana saja diamalkan maka hukumnya boleh berdasarkan kaidah syar’iyah: Bahawa bentuk ibadah dengan berbagai bentuk asalkan kesemuanya ada sumber (yang sahih) maka disunnahkan untuk mengerjakan kesemuanya dengan dilakukan berganti-ganti agar seseorang boleh melakukannya sunnah dengan berbagai ragamnya.[14]

 

Berikut dikemukakan bentuk-bentuk bacaan zikir tasbih, tahmid dan takbir daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Pertama:

 

Membaca Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali, kemudian ditutupi dengan:

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ

 

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

 

Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya,

bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian,

dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa sesiapa yang membaca zikir di atas, maka diampunilah kesalahan-kesalahan walaupun sebanyak buih di laut.[15]

 

 

Kedua:

 

Membaca Subhanallah 10 kali, Alhamdulillah 10 kali dan Allahu Akbar 10 kali. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa jika hal yang mudah ini dilakukan secara terus menerus selepas solat nescaya ia akan memasukkan orang tersebut ke dalam syurga.[16]

 

Demikianlah beberapa zikir sesudah solat yang sabit datangnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Tentang bacaan surah al-Fatihah dengan ucapan “Ilaa Hadhratin Nabiyy” yang dibacakan setiap kali setelah selesai solat fardhu sepertimana yang diamalkan di kebanyakan masjid di Malaysia, maka ianya tidak ada sumber dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Shalih al-Fauzan berpendapat bacaan tersebut: Hukumnya adalah bid’ah yang tidak pernah terjadi pada masa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan juga pada masa Khulafa’ al-Rasyidin.”[17] Tentu sekali apa yang lebih utama untuk kita amalkan adalah amalan yang benar-benar telah diputuskan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan meninggalkan amalan zikir yang ditokok-tambah dari sumber yang tidak maksum. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan

- apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.[18]

 

 

 


 

[1] al-Ahzaab (33): 21

[2] Catitan penyunting: Di sini hadis-hadis diringkaskan kecuali terhadap bacaan zikir itu sendiri. Ini supaya para pembaca dapat mengamalkan terus bacaan-bacaan zikir tersebut.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 591.

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 594.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 7292.

[6] Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 17990 (jld. 4, ms. 227) dan dalam sanadnya terdapat kelemahan. Akan tetapi hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan yang lain, lalu ia dinilai hasan lighairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth.

[7]  ---: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 18054 (jld. 4, ms. 234), dalam sanadnya terdapat Muslim bin al-Harits dan beliau tidak dikenali di sisi ahli hadis kecuali Ibn Hibban, dimana beliau menilainya thiqah. Para perawi selainnya adalah thiqah.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dalam al-Sunan al-Kubra, hadis no. 9928 dan ‘Amal al-Yaum wa al-Lail, hadis no. 100; al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, hadis no. 8068 dan Musnad al-Syamiyyin, hadis no. 824 dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman, hadis no. 2395. al-Munziri menyebutnya dalam al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no. 2468 dan beliau berkata: “Diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Thabarani dengan sanad yang salah satu daripadanya adalah sahih. Berkata syaikh kami – Abu al-Hasan: (Kesahihannya) adalah di atas syarat al-Bukhari.” Al-Suyuthi menyebutnya dalam al-Jami’ al-Shagheir, hadis no. 8926 dan beliau mensahihkannya. Ibn al-Jauzi menganggap hadis ini adalah maudhu’ akan tetapi ini telah ditolak oleh para ahli hadis yang lain seperti Ibn al-Qayyim, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan al-Dimyathi. Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Shagheir oleh al-Munawi, jld. 6, ms. 197.

[9] Al-Baqarah (2): 255

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no. 17417 (jld. 4, ms. 155) dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth.

[11] al-Ikhlas (112): 1 - 4

[12] al-Falaq (113): 1 - 5

[13] al-Nas (114): 1 - 6

[14] Muhammad Bin Sallih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, ms. 376.

[15] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 597.

[16] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”, juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 3410.

[17] Fayiz Musa Abu Syaikhah, Fatwa-Fatwa al-Fauzan, (edisi Terjemahan oleh Ali Murtadho Syahudi, Pustaka Azzam, Jakarta, 2004), ms. 186

[18] al-Ahzaab (33): 36

 

Ke atas