BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

5

 

TIDAK MEMBACA BASMALLAH
SEBELUM DIBACAKAN SURAH
AL-FATIHAH

 

 

Antara kritikan yang biasa dilontarkan kepada wahhabi atau Ahl al-Sunnah adalah mereka tidak membaca Bismillahir rahmanir rahim sebelum membaca surah al-Fatihah.[1] Seorang pengamal tareqat telah memberitahu penulis bahawa Guru Mursyidnya menganggap solat golongan Wahhabi tertolak kerana tidak membaca Basmallah. Kekeliruan dan kejahilan ini muncul hanya kerana kurangnya perhatian dalam mengkaji pendapat-pendapat ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam hal ini. Sekiranya terdapat hanya sedikit usaha dari guru yang kononnya mursyid itu untuk mengkaji, beliau hanya perlu pergi bersolat di mana-mana Masjid India Muslim yang bermazhab Hanafi di Malaysia seperti yang berhampiran Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Pasti beliau akan mendapati bahawa imam di masjid tersebut juga tidak membaca Basmallah secara kuat (jahr). Adakah solat mereka juga kurang sempurna? Kenapa tidak bertanya dahulu apakah dalil yang dipegang oleh mereka yang tidak membaca Basmallah secara kuat? Tanpa mengetahui dalil-dalil membelakangi perbezaan pendapat ini pasti timbul sikap hanya mazhab aku sahaja yang betul dan yang lain semua tidak betul atau tidak sempurna.

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah pengarang kitab Fikih Sunnah, secara umumnya terdapat tiga pendapat berkaitan dengan pembacaan Basmallah ini.

 

Pertama: Bahawa ia merupakan salah satu ayat dari al-Fatihah dan dari setiap ayat. Dan Berdasarkan ini maka membacanya dalam al-Fatihah hukumnya wajib, dan mengenai sir ataupun jahr (disembunyikan pembacaannya atau dikeraskan – pen) hukumnya sama sahaja dan tiada bezanya dengan al-Fatihah.  Alasan terkuat bagi mazhab ini ialah hadis Na’im al-Mujammir radhiallahu’anh, katanya:

 

صَلَّيْتُ وَرَاءَ أَبِي هُرَيْرَةَ فَقَرَأَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

 

ثُمَّ قَرَأَ بِأُمِّ الْقُرْآنِ...

 

 قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِه ِ

 

إِنِّي لأَشْبَهُكُمْ صَلاَةً بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

 

Saya solat di belakang Abu Hurairah. Maka dibacanya Bismillahir rahmanir rahim lalu dibacanya Umm al-Qur’an (al-Fatihah).

Demikian seterusnya dimana akhirnya dia berkata:

“Demi Tuhan yang nyawaku dalam Tangan-Nya!

Saya ini adalah orang yang paling mirip solatnya dengan solat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam!”[2]

 

Menurut  (Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah) dalam al-Fath (Fathul Baari), hadis ini merupakan hadis yang paling sah menyatakan dibacanya Basmallah secara jahar (kuat).

 

 

Kedua: Bahawa ia (Bismillahir rahmanir rahim) merupakan suatu ayat yang berdiri sendiri yang diturunkan untuk mengambil berkah dan pemisah antara surah-surah, dan bahawa membacanya pada al-Fatihah hukumnya boleh bahkan sunat, dan tidak disunatkan menjaharnya (mengeraskan bacaan Basmallah – pen). Hal ini berdasarkan hadis Anas radhiallahu’anh katanya:

 

صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ

 

 عَنْهُمْ فَلَمْ أَسْمَعْ أَحَدًا مِنْهُمْ يَجْهَرُ بِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ.

 

Saya bersolat di belakang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam

dan di belakang Abu Bakar, Umar dan Uthman,

dan mereka tidaklah membaca Bismillahir rahmanir rahim

secara jahr (kuat – pen).[3] [4]

 

 

Ketiga: Bahawa ia bukan merupakan suatu ayat dari al-Fatihah atau dari surah yang lainnya, dan bahawa membacanya (Bismillahir rahmanir rahim - pen) dimakruhkan baik secara sir (disembunyikan) mahupun Jahr (dikeraskan), pada solat fardhu ataupun sunat. Mazhab ini tidak kuat.[5]

 

Tentang pendapat yang ke tiga Ibnu Hajar rahimahullah telah menolak pendapat ini, menurut beliau hadis-hadis yang menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam selepas takbir mengucapkan surah Al-Fatihah atau riwayat yang menyatakan, Mereka tidak biasa menyebut Bismillahir rahmanir rahim tidak menunjukkan mereka tidak membaca Basmallah secara perlahan (sir). Maka untuk mengkompromi hadis-hadis ini (membaca secara sir dan tidak membaca langsung), Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

…penafian bacaan diartikan tidak mendengar, sedangkan penafian mendengar diartikan tidak menjaharkan (mengeraskan bacaan Basmallah – pen). Pernyataan ini didukung oleh lafaz riwayat Manshur bin Zadzan:

 

 فَلَمْ يُسْمِعْنَا قِرَاءَة بِسْمِ اَللَّهِ الرَّحْمَن الرَّحِيم.

 

“Beliau tidak memperdengarkan kepada kami bacaan

Bismillahir rahmanir rahim.”

 

 

Lebih tegas lagi dinyatakan dalam riwayat al-Hassan dari Anas yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dengan lafaz:

 

كَانُوا يُسِرُّونَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَن الرَّحِيم.

 

“Mereka biasa membaca lafaz Bismillahir rahmanir rahim

dengan suara perlahan.”[6]

 

 

Dalam mengkompromikan hadis-hadis mengeraskan dan melembutkan bacaan Bismillahir rahmanir rahim, Ibnu Qayyim rahimahullah menyatakan: Adakalanya beliau menyaringkan bacaan Basmallah, tapi yang lebih sering adalah baginda (shallahu 'alaihi wasallam) menyembunyikannya.”[7]

 

Menurut al-‘Utsaimin rahimahullah pula:

Yang lebih kuat adalah bahawa membaca Basmallah dengan keras tidak dianjurkan, yang sunnah ialah dibacakan dengan suara perlahan kerana ia tidak termasuk dalam surah al-Fatihah. Tetapi jika sekali-sekala dikeraskan maka tidaklah mengapa, bahkan sebahagian ahli ilmu berpendapat ianya adalah lebih baik kerana ada riwayat dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bahawa beliau membacanya dengan keras. Tetapi riwayat yang lebih kuat dari baginda ialah, “baginda tidak membacanya dengan keras.” Dalil ini lebih kuat. Namun jika membacanya dengan keras kerana ini melembutkan sesuatu golongan yang mazhabnya mengeraskan Basmallah (sebagaimana di Malaysia – pen) maka saya berharap hal itu tidak mengapa.[8]

 

Menurut Abu Ubaidah Mashur bin Hassan:

Tidak benar jika pendapat yang menyatakan tidak mengeraskan suara ketika membaca Basmallah dianggap sebagai bid’ah, pendapat yang syadz (aneh) dan dhai’f (lemah) serta pendapat yang harus ditinggalkan. Malah sebaliknya, tidak membaca Basmallah dengan suara keras inilah yang dipilih oleh kebanyakan sahabat, tabi’in dan para ahli fikah. Di antara mereka itu adalah Umar, Ali, ‘Ammar dan Ibn Abbas. Akan tetapi masalah ini juga menjadi perselisihan pendapat di antara mereka (para sahabat). Sebab ada sebahagian dari mereka yang membaca Basmallah dengan suara keras. Namun Ibn Mas’ud dulu tetap membacanya dengan lirih (suara perlahan). Demikian pula dengan al-Hassan, Ibn Sirin dan Mazhab Sufyan (al-Thawri), seluruh penduduk Kufah dan ahli hadis seperti Ahmad, Ishaq, Abu ‘Ubaid dan para pengikutnya.

 

Kesimpulannya bahawa pendapat yang benar, sebenarnya masalah ini cukup longgar. Membatasinya dengan pelbagai sekatan justeru adalah satu hal yang dilarang. Siapa sahaja yang mengikuti sebuah riwayat sunnah, maka dia tidak boleh disalahkan. Ini adalah kerana, dia sebenarnya telah mengikuti ajaran sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang kadang-kadang mengeraskan Basmallah dan pada waktu yang lain melembutkan suaranya.[9]

 

Maka sewajarnya ada sikap berlapang dada dalam masalah dijaharkan atau disirkan bacaan Basmallah ini. Hanya kejahilan sahaja yang menyebabkan kita terlalu berkeras dalam perkara khilafiyah[10] sehingga menuduh mereka yang tidak sependapat sebagai tidak sempurna solatnya. Sepatutnya sebelum sesiapa mencela cara solat pihak lain, hendaklah mereka ini terlebih dahulu meneliti hujah dan dalil yang dipakai oleh pihak lain kerana ada kemungkinan pihak yang dicela itu mempunyai hujah yang lebih kuat dari pendapat yang dipegangnya. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman!

Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh

dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain,

(kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh

dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,

(kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain;

dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain

dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.

Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.[11]

 

 

 


 

[1] Sebelum membaca Basmallah disunnahkan bagi kita untuk membaca Ta’awwudz secara sirr (perlahan). Antara bacaan ta’awwudz yang terdapat dalam hadis-hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam adalah seperti berikut:

أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ.

Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui dari Syaitan yang terkutuk, dari semburannya (yang menyebabkan gila), dari kesombongannya dan dari hembusannya (yang menyebabkan kerusakan akhlak. [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 775]

Cuma para ulama’ berbeza pendapat samada ta’awudz itu dibaca hanya pada rakaat pertama sahaja atau di setiap rakaat. al-Syafi’i rahimahullah membolehkan kedua-dua cara tersebut diamalkan. [al-Umm, jld.1, ms. 252]

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dalam Sunannya, hadis no. 905. Berkata Ibn Khuzaimah: “Maka adapun menjaharkan Bismillahirrahmanirrahim di dalam solat, maka ia adalah sah lagi sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan sanad yang sabit lagi bersambungan. Kesahihan sanadnya dan kebersambungannya tidak disyaki dan tidak diragui di sisi para ahli yang mengetahui ilmu hadis (Ahl al-Ma’refah bi al-Akhbar).” Lalu kemudian beliau (Ibn Khuzaimah) menyebut hadis Abu Hurairah di atas. Demikian dikemukakan oleh al-Nawawi rahimahullah dalam Al-Majmu’, jld. 3, ms. 302.