Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

MUQADDIMAH

 

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.

 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

Amma Ba’du.

 

Buku apakah yang dinilai semula ?

Tajuknya ialah Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian yang disusun oleh seorang anak Malaysia: Zamihan bin Mat Zin yang diterbitkan oleh Terta Jaya Enterprise sekitar awal tahun 2001. Buku bersaiz sederhana ini bertujuan menilai apakah benar pegangan orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai bermanhaj al-Salaf. Golongan ini juga masyhur dengan label Wahabi.

 

Hampir keseluruhan buku ini membahas subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat kerana inilah antara subjek yang paling menonjol dalam membezakan antara mereka yang bermanhaj al-Salaf dan mereka yang bermanhaj al-Khalaf.

 

Orang-orang yang bermanhaj al-Salaf mendakwa bahawa nas-nas al-Sifat seperti Tangan Allah, Mata Allah dan Wajah Allah hendaklah diterima sebagaimana ada tanpa ditanya bagaimana dan seperti apa bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya. Mereka mendakwa bahawa inilah merupakan pegangan atau mazhab generasi al-Salaf, iaitu mereka yang hidup sebelum tahun 300 hijrah yang terdiri daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat, para tabi‘in sehinggalah ke para imam mazhab yang empat, radiallahu ‘anhum.

 

Manakala orang-orang yang bermanhaj al-Khalaf, yakni mereka yang hidup selepas tahun 300 hijrah, kebanyakannya menganggap nas-nas al-Sifat tersebut adalah satu kiasan semata-mata sehingga ia perlu ditakwilkan di mana Tangan Allah bererti kuasa-Nya, Mata Allah bererti pengawasan-Nya dan Wajah Allah bererti kewujudan-Nya.

 

Dalam bukunya tersebut, saudara Zamihan telah menilai semula dakwaan ini dan membuktikan bahawa ia adalah salah dan tertolak. Yang benar menurut penilaian beliau, generasi al-Salaf juga telah menganggap nas-nas al-Sifat sebagai satu kiasan sehingga mereka juga mentakwilkannya.

 

Dengan penemuan ini beliau telah menyimpulkan bahawa yang benar-benar berpegang kepada mazhab generasi al-Salaf ialah orang-orang yang bermanhaj al-Khalaf itu sendiri. Dengan itu juga sebenarnya tidak wujud pembahagian al-Salaf dan al-Khalaf.  Orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai bermanhaj al-Salaf hanyalah merupakan pengikut mazhab Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke 8 hijrah.

 

Memandangkan orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai bermanhaj al-Salaf sebenarnya hanyalah merupakan pengikut-pengikut mazhab Ibn Taimiyyah, saudara Zamihan selanjutnya telah menilai apakah pegangan (i’tiqad) sebenar Ibn Taimiyyah dalam lain-lain perkara yang melibatkan asas-asas ‘aqidah yang setakat ini tidak diketahui oleh orang awam termasuk para pengikutnya sendiri. Dalam penilaiannya ini telah dibongkarkan sejumlah pegangan Ibn Taimiyyah yang menyalahi jumhur termasuk sebahagian daripadanya yang membawa kepada kekufuran.

 

Di bahagian akhir bukunya dibuktikan pula sejumlah penyelewengan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh mutakhir yang mendakwa diri mereka sebagai bermanhaj al-Salaf.

 

Demikian secara ringkas rumusan-rumusan penting yang dapat diambil dari buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian.

 

 

Kenapakah perlu dinilai semula buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian ?

Ada beberapa faktor yang menyebabkan buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian perlu dinilai semula:

 

Pertama:

Kebanyakan fakta yang dikemukakan dalam buku tersebut adalah tidak benar. Sekalipun telah diberi sumber-sumber rujukan bagi setiap hujah yang dikemukakan, kajian semula terhadap sumber-sumber tersebut mendapati ianya berlainan dari apa yang dikemukakan. Contohnya:

  1. Nukilan dari sesuatu rujukan hanyalah secara separa-separa sehingga melindungi maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh pengarang asal rujukan tersebut.

  2. Sesetengah perkara yang diperhujahkan telah disandarkan kepada sesebuah kitab namun apabila dikaji kitab tersebut didapati ianya tidak langsung memiliki apa-apa kaitan. Dianggap penyusun Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian melakukan hal ini semata-mata untuk menambah nilai kekuatan hujah yang ingin dikemukakannya.

  3. Adakalanya penyusun Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian menyandarkan sesuatu perkara yang diperhujahkannya kepada seseorang tokoh bersama kitab karangannya namun apabila dikaji semula ia hanyalah merupakan penjelasan seseorang peneliti dan pengulas (pentahqiq) di bahagian notakaki dan bukannya merupakan penjelasan pengarang asal kitab tersebut.

  4. Wujud juga pendustaan dalam bentuk terjemahan yang dilakukan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian. Dalam beberapa kes beliau menterjemah kata-kata seseorang tokoh untuk menepati cita rasanya namun apabila disemak kembali teks Arab yang asal didapati ia adalah satu pendustaan semata-mata.

  5. Apabila berhadapan dengan sesebuah riwayat yang tidak selari dengan penilaiannya, penyusun Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian akan mengkaji sanad riwayat tersebut dan menerangkan kelemahannya. Namun apabila mengemukakan sesebuah riwayat yang selari dengan penilaiannya, beliau hanya mendiamkan sahaja status sanadnya. Apabila disemak kembali nyata di dalamnya terdapat kelemahan.

  6. Apabila menilai ‘aqidah Ibn Taimiyyah, penyusun Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian akan mengambil kata-kata golongan lain seperti Ahl al-Kalam, Falsafah, al-Jahmiyyah, al-Karamiyyah dan sebagainya lalu dikatakan ia adalah pegangan (i’tiqad) Ibn Taimiyyah. Padahal Ibn Taimiyyah sebenarnya mengemukakan kata-kata golongan tersebut hanya untuk dibahas dan dijelaskan kesilapannya.

Perkara-perkara di atas berlaku dengan sangat kerap sehingga mustahil untuk menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak disengajakannya. Atas faktor-faktor inilah dianggap telah berlaku satu Jenayah Ilmiah yang sangat besar dalam buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian.

 

Kedua:

Penafsiran atau penjelasan terhadap sesuatu perkara fakta secara tidak tepat. Ia lebih bersifat “memaksa” kepada satu fahaman yang dikehendaki dan “menyembunyikan” fahaman yang sebenar.

 

Ketiga:

Dengan nukilan fakta yang tidak benar dan penjelasan yang bersifat memaksa, akhirnya buku tersebut telah menyandarkan pelbagai perkara yang tidak benar ke atas diri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabatnya, para tabi‘in dan seluruh umat Islam yang hidup di tiga kurun yang pertama tersebut. Hal yang sama juga berlaku ke atas lain-lain tokoh besar Islam tanpa terhad kepada Ibn Taimiyyah sahaja.

 

Keempat:

Buku tersebut disusun dengan metode ilmiah sehingga mudah memperoleh keyakinan daripada para pembaca yang terdiri daripada orang awam. Malah ada juga segelintir para ustaz, penceramah dan pegawai institusi agama yang terpengaruh sama. Namun di sisi para ahli yang mengetahui apakah ukuran ilmiah yang sebenar, mereka menyedari bahawa metode penyusunan tersebut sebenarnya hanyalah satu solekan demi mengelabui mata para pembacanya.

 

Kelima:

Penilaian semula juga adalah perlu demi membetulkan fahaman majoriti masyarakat yang berpendapat bahawa jika sesuatu ajaran agama itu disampaikan oleh seseorang yang berkelayakan atau memiliki sijil pengajian yang diiktiraf, ia bererti apa sahaja yang disampaikannya adalah betul dan sahih. Melalui penilaian semula ini akan dibuktikan bahawa benar atau tidak ajaran yang disampaikan tidaklah diukur dengan kelayakan seseorang tetapi adalah berdasarkan keikhlasan dan sifat rendah diri serta takut kepada ‘Allah Azza wa Jalla. Firman Allah:

 

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Fatir 35:28]

 

 

Beberapa sebab lain penilaian semula ini adalah penting.

Selain faktor-faktor di atas, ada dua faktor lain yang menyebabkan penilaian semula ini adalah penting.

 

Pertama:

Yang sebenarnya dinilai semula adalah Hasan ‘Ali al-Saqqaf.

Buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian sebenarnya bukanlah merupakan hasil kajian dan penelitian saudara Zamihan Mat Zin. Ia sebenarnya adalah himpunan dan susunan semula hujah-hujah yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh yang terpilih, khasnya Hasan ‘Ali al-Saqqaf. Kerana itu dalam buku ini penulis tidak menyebut saudara Zamihan Mat Zin sebagai pengarang tetapi hanya sekadar penyusun.

 

al-Saqqaf adalah seorang tokoh yang sangat menonjol di Jordan khasnya dan di dunia Islam umumnya. Buku-buku dan risalah-risalah beliau memiliki ciri-ciri ilmiah sehingga mudah mempengaruhi orang awam. Ramai di antara anak-anak muda kita yang belajar di Jordan terpengaruh dengan tulisan beliau.

 

Antara yang terpengaruh ialah saudara Zamihan Mat Zin. Beliau telah menghimpun hujah-hujah al-Saqqaf dan menyusun semula dengan tertib yang baru beserta beberapa tambahan. Di samping itu dihimpun juga hujah-hujah daripada beberapa tokoh lain yang terpilih. Hasilnya ialah buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian.

 

Oleh itu apabila penulis menilai semula buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, penulis sebenarnya menilai dan menjawab hujah-hujah Hasan ‘Ali al-Saqqaf. Buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian bertindak sebagai satu perantaraan antara penulis dan al-Saqqaf.

Daripada penilaian ini dapat diperhatikan berbagai permainan kotor al-Saqqaf, dua yang utama adalah:

1.      Tidak berlaku jujur apabila menukil sesuatu hujah sesuatu sumber rujukan.

2.      Membuat tafsiran tersendiri yang menyalahi tafsiran para tokoh al-Salaf yang sebenar.

 

Kedua:

Sebagai sumber kajian dalam subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat.

Subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat adalah antara subjek yang paling tidak diketahui oleh umum umat Islam padahal ia adalah adalah satu subjek yang sangat penting yang melibatkan ‘aqidah umat. Melalui subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat umat akan mengenali Allah dan segala sifat kesempurnaan-Nya dan pada waktu yang sama menafikan apa-apa sifat kekurangan dan negatif yang bukan merupakan sifat-Nya.

 

Insya-Allah buku ini tidak sahaja akan menumpukan perbahasan kepada menilai semula buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian tetapi akan juga memberi tumpuan kepada menjelaskan sesuatu subjek yang sedang dibahas. Diharapkan melalui kaedah penjelasan dan perbahasan, buku ini dapat menjadi sumber rujukan yang baik dalam subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat.

 

Siapakah yang menilai semula buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian ?

Yang benar-benar menilai semula buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian ialah para pembaca sendiri yang terdiri daripada orang-orang yang berpegang kepada kebenaran. Para pembaca tidak perlu terdiri daripada orang-orang yang menyandarkan diri mereka sebagai yang bermanhaj al-Salaf atau al-Khalaf. Yang penting para pembaca adalah mereka yang inginkan kebenaran dan kesahihan dalam sesuatu perbincangan agama.

 

Penulis (Hafiz Firdaus) hanyalah bertindak sebagai pengkaji, penyampai dan penjelas.

 

 

Aspek penilaian semula.

Pertama:

Penulis tidak akan menilai keseluruhan buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian melainkan sekadar hujah-hujah penting yang membentuk dasar penilaian penyusunnya. Perkara-perkara yang tidak penting atau tidak berkaitan akan didiamkan sahaja. Demikian juga terhadap apa-apa kesilapan yang jelas tidak disengajakan seperti susunan bahasa dan kesalahan menaip.

 

Kedua:

Jika dikaji buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian akan didapati ianya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama khas ditujukan kepada menilai dasar-dasar yang menjadi pegangan generasi al-Salaf dalam subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat. Bahagian kedua khas ditujukan bagi mengkritik beberapa tokoh Salafiyyah seperti Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.

 

Di sini penulis akan memberikan tumpuan dalam menilai semula dan menjawab bahagian pertama buku, iaitu yang berkaitan dengan dasar-dasar pegangan generasi al-Salaf. Hal ini adalah kerana ia melibatkan kepentingan seluruh generasi al-Salaf yang terdiri daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat, para tabi‘in sehinggalah ke para imam mazhab  yang empat.

 

Penilaian semula dan jawapan ke atas kritikan yang dilakukan terhadap para tokoh Salafiyyah memerlukan kepada sebuah buku yang berasingan insya-Allah.

 

Ketiga:

Penulis hanya berminat untuk menilai hujah yang dikemukakan dan bukannya peribadi saudara Zamihan. Selain itu apabila merujuk kepada buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, penulis akan meringkaskannya kepada Salafiyah Wahabiyah sahaja. Oleh itu dalam menilai sesuatu hujah, penulis hanya akan berkata: “Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. xx bahawa ……” atau “Penyusun Salafiyah Wahabiyah telah berkata……”

 

Metode penyampaian dan perbahasan.

Setiap penilaian semula akan dinomborkan diikuti dengan tajuk tentang subjek yang sedang dinilai semula. Contohnya:

Penilaian semula no: 15

Dakwaan Ibn ‘Abbas mentakwil ayat……

 

Ini bererti dalam PENILAIAN SEMULA nombor 15 akan dinilai semula dakwaan penyusun Salafiyah Wahabiyah bahawa Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu telah mentakwil sekian-sekian ayat al-Qur’an. Penomboran setiap penilaian semula adalah bagi memudahkan penulis mengarah para pembaca untuk merujuk kepada sesuatu bahagian tertentu tanpa perlu diulangi semula apa yang telah diterangkan di bahagian tersebut. Pemberian tajuk secara terperinci adalah bagi memudahkan para pembaca mencari sesuatu topik yang tertentu apabila perlu.

 

Bagi setiap hujah Salafiyah Wahabiyah yang akan dinilai semula, penulis akan menyalin hujah tersebut dan akan dibezakan dengan birai (margin) yang lebih besar dan di letakkan dalam kotak sepertimana perenggan yang sedang dibaca sekarang ini.

 

Penulis tidak akan menyalin keseluruhan hujah melainkan bahagian yang berkaitan sahaja. Segala perhatian telah diberi untuk mengelak dari menyalin sesuatu hujah secara separa-separa sehingga ia tersasar daripada maksud asal penyusun Salafiyah Wahabiyah. Selari dengan perhatian ini penulis sangat mengesyorkan para pembaca agar memiliki buku Salafiyah Wahabiyah supaya dapat dikaji sebelah menyebelah bersama buku ini.

 

Setelah mengemukakan hujah Salafiyah Wahabiyah barulah disusuli dengan penilaian semula oleh penulis. Akan diterangkan di manakah salah silapnya hujah yang dikemukakan. Dalam beberapa kes tertentu yang melibatkan Jenayah Ilmiah sepertimana yang telah diterangkan di atas, penulis akan mengkritik dengan tegas kerana kita tidak boleh bersikap toleran dalam hal-hal seperti ini.

 

Nukilan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah akan penulis condongkan (italic) dan hitamkan (bold). Nukilan daripada sesebuah sumber rujukan akan penulis besarkan birai (margin) di sebelah kiri. Nukilan daripada sumber Arab yang berkaitan dengan subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat akan dikemukakan teks Arabnya sekali. Ini adalah penting kerana bahasa lain tiada yang dapat mewakili secara tepat al-Asma’ dan al-Sifat bagi Allah Ta’ala yang asalnya dikhabarkan oleh-Nya dalam bahasa Arab.

 

Istilah-istilah yang berasal daripada bahasa Arab akan penulis condongkan (italic) supaya ia dapat difahami mengikut maksudnya yang sebenar dalam bahasa Arab. Jika istilah tersebut disertai dengan imbuhan maka penulis akan mencondongkannya secara keseluruhan. Contohnya al-Takwil, mentakwil, ditakwil, ditakwilkan dan takwilan. Untuk menarik perhatian para pembaca kepada sesuatu hujah penting, penulis akan menggariskan teks tersebut.

 

Di bahagian akhir buku ini disertakan beberapa salinan imej kitab tertentu supaya para pembaca dapat menilai sendiri sejauh mana kejujuran penyusun Salafiyah Wahabiyah ketika menukil sesuatu hujah daripada sesuatu sumber rujukan.

 

Sumber Rujukan.

Teks ayat-ayat al-Qur’an Resam Uthmani disalin terus (copy & paste) dari edisi cdrom al-Mushaf v1.0 keluaran Harf Information Technologies, Kaherah (www.harf.com). Terjemahan ayat-ayat al-Qur‘an al-Karim dirujuk kepada kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Qur‘an oleh Abdullah Basmeih yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan al-Qur’an dan Terjemahan yang diterbitkan oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah & Penafsir al-Qur’an, Indonesia. Kedua-duanya dirujuk terus dari edisi cdrom keluaran Harf IT, Kaherah, setiapnya dikenali sebagai Holy Qur’an v6.31 (edisi Malaysia) & Holy Qur’an v6.5 (edisi Indonesia).

 

Hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dirujuk kepada kitabnya yang asal sepertimana yang akan penulis catitkan di bahagian notakaki. Hadis-hadis ini diterjemahkan sendiri oleh penulis. Setiap hadis yang dikemukakan akan diterangkan sumber dan status kekuatannya. Hadis-hadis selain kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim akan penulis terangkan status kekuatannya dengan merujuk kepada semakan mereka yang pakar dalam bidang ini. Jika sesuatu hadis itu belum disemak oleh seseorang ahli hadis maka penulis sendiri yang akan menyemaknya sekadar mampu.

 

Setiap pendapat atau athar seseorang tokoh terdahulu yang wujud dalam bentuk riwayat akan juga disemak status kekuatan sanadnya. Hal ini adalah penting kerana apabila kita hendak menggunakan pendapat seseorang tokoh sebagai hujah, kita perlu pastikan bahawa pendapat tersebut benar-benar berasal daripada tokoh tersebut. Jika pendapat tersebut telah sedia ditulis oleh tokoh itu sendiri atau oleh salah seorang anak muridnya yang terpercaya (thiqah) dalam sesebuah kitab, maka adalah memadai untuk merujuk kepada kitab tersebut sahaja.

 

Lain-lain sumber rujukan akan penulis catitkan di bahagian notakaki. Seboleh mungkin penulis akan gunakan sumber rujukan yang diterbitkan oleh penerbit yang sama sebagaimana yang disebut penyusun Salafiyah Wahabiyah. Hal ini adalah penting kerana memang adakalanya wujud sedikit perbezaan antara dua buah kitab yang sama apabila diterbitkan oleh penerbit yang berbeza. Jika sesebuah sumber rujukan itu telah diterjemahkan, penulis akan juga mencatitkannya bagi memudahkan para pembaca yang ingin mengkaji dengan lebih lanjut. Tajuk buku bagi sumber rujukan terjemahan adalah sepertimana yang ditulis oleh penterjemah bagi memudahkan para pembaca mencarinya di laman web penerbit buku tersebut.

 

Penghargaan.

Semoga buku ini dapat mencapai tujuan yang dikemukakan sebelum ini: Kenapakah perlu dinilai semula buku Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian. Semoga semua penyelewengan fakta dan fitnah ke atas para tokoh dapat dibetulkan. Lebih penting adalah supaya para pembaca sendiri dapat memahami subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dengan lebih mendalam dan mendudukkannya pada tempat yang sebenar.

 

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah membantu penulis dalam menyiapkan buku ini, antaranya ialah Azwira b. Abdul Aziz, Ghaffarullahuddin b. Hj. Din, Haezal Hezri b. Omar, Hazman b. Hasan, Mohd. Yaakob b. Mohd. Yunus dan Muhammad Zuhal. Buku ini tidak akan dapat disiapkan melainkan dengan bantuan mereka. Walaubagaimana seandainya wujud apa-apa kesilapan maka ia berada di atas tanggung jawab penulis sepenuhnya.

 

Selain itu buku ini juga memiliki perbincangan yang mendalam lagi terperinci tentang subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat. Segala perhatian telah dicurahkan agar perbincangan dan terjemahan tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah dilakukan dengan setepat mungkin. Seandainya wujud kesalahan atau ketidak-tepatan maka penulis memohon maaf kepada Allah ‘Azza wa Jalla sebagaimana yang telah dilakukan oleh ‘Abd al-Qadir al-Jilani ketika membahas subjek yang sama ini: Kami memohon kepada Allah kemaafan dan keselamatan dan perlindungan seandainya kami telah berkata sesuatu tentang-Nya atau sifat-sifat-Nya yang sebelum ini tidak dikhabarkan kepada kami oleh-Nya dan oleh Rasul-Nya, ke atas baginda selawat dan salam.

 

Wassalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

Hafiz Firdaus Abdullah.

21 April 2002 – 18 Febuari 2003

hafizfirdaus2@yahoo.com.my

 

KANDUNGAN